PAPTI sambut baik langkah MAIJ hantar pelajar ke Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Jun 19, 2014
LAPORAN Bernama seperti dipetik daripada Utusan Online.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menyambut baik langkah Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAIJ) yang mahu menghantar pelajar ke Indonesia bagi melanjutkan pelajaran di peringkat lebih tinggi mulai tahun depan.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail barkata, langkah yang diambil oleh MAIJ itu tepat pada masanya memandangkan situasi politik di Indonesia jauh lebih baik berbanding keadaan di Timur Tengah khususnya di Mesir, Jordan dan Syria selain kos sara hidup dan pengajiannya juga lebih murah.

Menurutnya, negara jiran itu juga tidak kurang institusi pengajian tinggi dalam bidang keagamaan khususnya di bawah Institusi Agama Islam Negeri (IAIN) yang ada di seluruh pelosok negara, dari Acheh hingga ke Makassar dan kualitinya setanding institusi pengajian di Timur Tengah malahan ada di antaranya sudah mendapat pengiktirafan kerajaan Malaysia.

"PAPTI berharap langkah MAIJ ini dapat diikuti oleh majlis-majlis agama Islam negeri lain kerana selain menimba ilmu, para pelajar kita yang belajar di Indonesia juga dapat menjalin hubungan baik dengan masyarakat di negara jiran itu, sekali gus membantu meningkatkan hubungan kedua-dua negara," katanya hari ini.

Beliau mengulas laporan media hari ini berhubung penghantaran pelajar negeri Johor ke Indonesia hasil kerjasama Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah) dan IAIN Sultan Thaha Saifudin, Jambi dan Universitas Islam Negeri Ar-Raniry, Darusalam, Acheh.

Pengerusi Jawatankuasa Agama Negeri Johor, Abdul Mutalip Abdul Rahim berkata,  ini bagi memberikan pilihan kepada pelajar melanjutkan pelajaran ke luar negara selain Mesir memandangkan negara itu sering dilanda pergolakan.

Beliau berkata menerusi kerjasama itu, mahasiswa mahupun mahasiswi Marsah boleh menyambung pengajian ke peringkat Ijazah Sarjana Muda di kedua-dua institusi berkenaan.

Lukman berkata, selama ini kebanyakan pelajar Malaysia yang melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi tetapi tidak banyak dalam bidang pengajian Islam.

"Kalau ada pun kebanyakannya adalah pelajar persendirian yang memasuki IAIN atau belajar di pondok-pondok pesantren," katanya.

Katanya, pertambahan jumlah pelajar Malaysia di Indonesia boleh memberikan kesan positif kepada hubungan kedua-dua negara yang selama ini sering berlaku pasang dan surut.