PAPTI terlibat dalam diskusi berfokus hubungan Malaysia-Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, Mei 07, 2014
Tan Sri Mohammed Salleh Yassin (duduk paling kanan) dan Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir (berdiri tiga dari kanan) bersama Dr. Khadijah Md Khalid (duduk dua dari kanan) dan Prof Dr Rusdi (berdiri tiga dari kiri) ketika menghadiri Perbincangan Kumpulan Berfokus hubungan Malaysia-Indonesia di Universiti Malaya baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) baru-baru ini telah terlibat dalam program Perbincangan Kumpulan Berfokus mengenai hubungan Malaysia dan Indonesia yang diinisiatifkan oleh Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (INPUMA), Universiti Malaya (UM).

Program yang berlangsung di Bangunan Canseleri UM di sini pada 22 April lalu itu menemukan wakil-wakil daripada kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia dengan PAPTI diwakili oleh Tan Sri Mohamed Salleh Yassin dan Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir.

Turut serta dalam diskusi itu ialah Pengarah Eksekutif INPUMA, Dr. Khadijah Md. Khalid dan Atase Pendidikan Indonesia di Malaysia, Prof. Dr. Rusdi.

Perbincangan yang bertajuk "Hubungan Malaysia-Indonesia; Isu, Cabaran Masa Kini dan Hala Tuju" itu antara lain bertujuan membahaskan isu-isu serta permasalahan baharu dan lama tentang hubungan kedua-dua negara berjiran ini.

Selain itu ia juga bagi meninjau usaha masyarakat dua negara dalam mengukuhkan hubungan serta mengenal pasti hala tuju hubungan Malaysia dan Indonesia.

Pada November tahun lalu, INPUMA telah mengadakan satu persidangan khas tentang hubungan kedua-dua negara tersebut, yang mana PAPTI turut terlibat secara langsung dalam persidangan bertajuk Panas Dingin Hubungan Malaysia-Indonesia sebagai panel speaker dan peserta.

Bagi INPUMA, ini merupakan siri perbincangan kumpulan berfokus kelima diadakan sepanjang tahun ini yang menemukan kumpulan terdiri daripada kalangan akademik, badan bukan kerajaan, perangka polisi awam dan individu dari pelbagai sektor dalam memahami dinamika penggubalan serta pelaksanaan polisi awam di negara ini serta pembahasan isu-isu semasa.