PAPTI mohon Indonesia jamin keselamatan pelajar Malaysia

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Mei 20, 2014
KENYATAAN MEDIA:

KUALA LUMPUR - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) begitu kesal dengan kejadian seorang pelajar Malaysia di Universitas Padjajaran yang menjadi mangsa culik dan pemerkosaan oleh sekumpulan lelaki tidak dikenali di Bandung, Jawa Barat malam tadi.

Lebih mendukacitakan kejadian buruk ke atas pelajar Malaysia di negara itu berulang selepas kes seorang pelajar perubatan di Malang, Jawa Timur maut selepas ditikam ketika cuba menyelamatkan motosikalnya daripada dicuri, tiga tahun lalu.

PAPTI menilai kes-kes jenayah berat seperti ini boleh menimbulkan ketakutan dalam kalangan pelajar asing khususnya anak-anak Malaysia kerana  bimbang nyawa dan keselamatan mereka terancam.

Justeru, PAPTI  memohon agar kerajaan Indonesia khususnya kepada Presiden baharu Republik Indonesia yang bakal dipilih tidak lama lagi, dapat mengambil langkah segera dan komprehensif bagi memastikan keselamatan pelajar asing terjamin sepanjang kuliah di negara itu.

PAPTI tidak mahu kes-kes seperti di Malang dan Bandung, walaupun terpencil, berulang kerana ia boleh mencetuskan kebimbangan di kalangan ibu bapa yang mempunyai anak-anak yang sedang melanjutkan pelajaran di Indonesia.

Selain itu, PAPTI juga mendesak agar pihak berkuasa Indonesia menjalankan siasatan menyeluruh sehingga pelaku pemerkosaan itu dapat diheret ke muka pengadilan serta dikenakan hukuman setimpal.

PAPTI tidak mahu pihak berkuasa Indonesia memandang mudah kes ini kerana masih ramai pelajar  Malaysia yang sedang belajar di Bandung dan mereka kini berada dalam ketakutan untuk ke kuliah atau menjalankan aktiviti harian lain.

Akhir sekali, PAPTI menasihatkan seluruh pelajar Malaysia di Indonesia agar menjaga keselamatan masing-masing khususnya para pelajar perempuan dengan tidak keluar secara bersendirian sebaliknya sentiasa berteman khususnya ketika berada di luar rumah.

Sekian.

LUKMAN ISMAIL
Presiden
Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia