PAPTI adakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, Mac 05, 2014
Presiden PAPTI, Lukman Ismail (kiri) bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) hari ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia ke Malauysia, Bpk Herman Prayitno di pejabatnya, di sini.

Kunjungan yang diketuai oleh Presiden PAPTI, Lukman Ismail bersama empat ahli majlis itu berlangsung selama sejam bermula pukul 3 petang.

Pelbagai topik telah dibincangkan antara kedua-dua pihak terutama dalam usaha terus mengeratkan hubungan antara rakyat kedua-dua negara.

Bpk Herman percaya PAPTI yang dianggotai para lulusan Indonesia itu dapat memainkan peranannya dalam meningkatkan saling kepercayaan antara rakyat Malaysia dan Indonesia menerusi pelbagai program yang boleh dilaksanakan.

"Kami mengalu-alukan kunjungan PAPTI hari ini. Saya berharap persatuan ini dapat berperanan meningkatkan jalinan mesra antara kedua-dua negara yang diakui kadang kala berlaku pasarng surutnya.

"Dan sememang tugas saya sebagai duta besar untuk mensejahterakan hubungan Malaysia dan Indonesia," kata beliau pada pertemuan itu. Hadir sama, Atase Pendidikan Indonesia, Profesor Dr. Rusdi.

Sementara itu Lukman pula berkata, kunjungan tersebut bertujuan memperkenalkan PAPTI kepada Bpk Herman memandangkan Duta Besar itu baharu sahaja bertugas di negara ini kira-kira enam bulan lalu.

"Saya berharap melalui kunjungan ini dapat mengeratkan hubungan KBRI dan PAPTI yang sememangnya sedia terjalin sejak dahulu, walaupun Duta Besarnya silih berganti," katanya.

Sementara itu, Bpk Herman juga mengalu-alukan cadangan untuk mengadakan pertandingan golf amal anjuran bersama KBRI dan PAPTI yang dicadangkan dilangsungkan Jun ini.

Pertandingan golf itu bukan sahaja bagi mengeratkan hubungan antara para pegawai KBRI dan ahli-ahli PAPTI sebaliknya membawa misi untuk mengumpul dana bagi disumbangkan kepada pertubuhan-pertubuhan kebajikan anak-anak Indonesia di negara ini.

"Diharapkan melalui penganjuran golf ini, kami dapat mengutip seberapa banyak sumbangan daripada badan-badan korporat dan individu dari kedua-dua negara," kata Lukman.