Presiden PAPTI adakan pertemuan dengan Atase Pendidikan KBRI

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Februari 16, 2014
Lukman Ismail (dua kanan) bersalaman dengan Prof. Rusdi selepas kedua-duanya mengadakan pertemuan di Pejabat Kedutaan Republik Indonesia di Kuala Lumpur baru-baru ini. Turut serta Onn Mohd. Yusoff (kiri) dan Prof. Dr Jambari Ali. 
PRESIDEN Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Lukman Ismail telah mengadakan pertemuan dengan Atase Pendidikan Indonesia, Prof. Dr. Rusdi di pejabat Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur. Pertemuan berlangsung pada Rabu, 12 Februari lalu.

Pertemuan berlangsung kira-kira 45 minit itu turut dihadiri oleh Ahli Mahlis PAPTI, Sdr Onn Mohd. Yusoff serta bekas Ahli Majlis PAPTI, Prof. Dr. Jambari Ali serta Nasrullah Ali Fauzil, pegawai bahagian pendidikan KBRI.

Misi utama kunjungan tersebut bertujuan menyampaikan hasrat PAPTI untuk mengadakan pertandingan golf amal dengan kerjasama pihak KBRI dengan harapan hasil sumbangan para penaja dapat menyumbang untuk kebajikan anak-anak Indonesia di negara ini.

Prof. Rusdi menyambut baik hasrat PAPTI dan bersedia untuk mewujudkan satu jawatankuasa bersama antara KBRI dan PAPTI bagi menjayakan program tersebut.

"Kebetulan bapak Duta Besar (Bpk Herman Prayitno) kita juga sangat meminati permainan golf. Saya percaya cadangan PAPTI ini akan disambut dengan senang hati oleh beliau," katanya pada pertemuan itu.

Menyampaikan maksud itu, Lukman berkata, pertandingan itu dicadangkan pada bulan Jun ini dan usaha penajaan bagi program itu akan dilakukan oleh pihak PAPTI terutama daripada syarikat-syarikat dan badan-badan korporat yang ada kepentingan di kedua-dua negara.

Selain memberikan sumbangan kepada anak-anak Indonesia di negara ini, pertandingan itu membawa matlamat untuk mengeratkan hubungan silaturrahim antara PAPTI dan KBRI serta hubungan baik kedua-dua negara Malaysia dan Indonesia.

Pada pertemuan itu juga juga PAPTI dan pihak Atase Pendidikan KBRI bersetuju untuk mengadakan beberapa aktiviti bersama yang memberi faedah kepada kedua-dua negara terutama meningkatkan hubungan baik dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.