Himpunan terbesar bekas pelajar Malaysia di Indonesia tahun depan

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Disember 01, 2013
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merancang mengadakan himpunan bekas-bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi di Indonesia, iaitu julung-julung kali diadakan, tahun depan

Menerusi program berbentuk makan malam itu, PAPTI mensasarkan mengumpul sekurang-kurangnya 1,000 bekas pelajar dari seluruh negara sekali gus menjadikannya sebagai himpunan terbesar membabitkan kumpulan tersebut.

Serentak dengan majlis itu, PAPTI akan melancarkan Tabung Pendidikan dengan sasaran dapat mengumpul sebanyak RM1 juta yang akan digunakan bagi membiayai pendidikan anak-anak ahli PAPTI.

"Melalui himpunan ini kita harap dapat mengumpul seberapa ramai rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Indonesia sejak tahun-tahun 1960-an dahulu sehingga hari ini.

"Kita juga akan jadikan program ini untuk mengutip dana bagi Tabung Pendidikan PAPTI selain mengisi tabung kewangan persatuan di samping mendaftar seberapa ramai ahli baharu," kata Presiden PAPTI, Lukman Ismail.

Himpunan tersebut direncanakan pada bulan Ogos 2014. 

Untuk rekod PAPTI yang ditubuhkan sejak 1975 sehingga kini mempunyai kira-kira 300 ahli berdaftar.

Lukman berkata, selain himpunan bekas pelajar Malaysia di Indonesia, PAPTI juga merancang  mengadakan satu persidangan hubungan Malaysia dan Indonesia yang akan menampilkan tokoh-tokoh dalam bidang-bidang berkenaan dari kedua-dua negara.

Persidangan tersebut dirancang diadakan sebelum berakhir tahun 2014 dengan menumpukan kepada isu-isu yang menjadi punca "perkocakan" hubungan kedua-dua negara berjiran ini.

Selain itu PAPTI juga merancang menerbitkan semula buletin PAPTI yang telah dihentikan sejak 1991, mengadakan pertandingan golf amal serta menghasilkan dokumentari mengenai persatuan itu serta peranannya dalam hubungan Malaysia dan Indonesia.

"PAPTI juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat-syarikat milik ahli di mana hasil daripada hubungan tersebut sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak kewangan kita," katanya.

Pada masa kini PAPTI telah menjalinkan kerjasama dengan Tridiva Utama Sdn. Bhd., syarikat milik ahli PAPTI yang terlibat dalam penghantaran pelajar dari Malaysia ke institusi pengajian tinggi di Indonesia, Mesir, India dan Russia. - PAPTI
Categories: ,