PAPTI rancang terbitkan semula buletin persatuan

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merancang untuk menerbitkan semula buletin persatuan selepas kali terakhir diterbitkan 22 tahun lalu dengan diberikan sentuhan baharu dari segi nama, kandungan dan reka letak.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, penerbitan buletin ini penting bagi menyebarkan maklumat mengenai aktiviti persatuan kepada para ahli dan orang ramai, selain yang diterbitkan di laman web dan laman sosial PAPTI.

Menurutnya, selain sebagai penyebar maklumat, buletin PAPTI juga akan dijadikan wadah kepada ahli-ahli PAPTI baik dalam kalangan akademik, pakar perubatan, atau kepakaran dalam pelbagai bidang lain untuk berkongsi ilmu, kemahiran dan pengalaman.

"PAPTI akan memberi peluang seluas-luasnya kepada ahli untuk berkarya dan karya-karya boleh sahaja dalam bentuk ilmiah dan non-ilmiah," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan kepada mana-mana ahli PAPTI yang berkemampuan untuk memberikan penajaan bagi tujuan penerbitan buletin ini yang dijangka akan diterbitkan pertengahan tahun depan.

Kata Lukman, jika semuanya berjalan lancar buletin tersebut akan dilancarkan pada program himpunan bekas-bekas pelajar Malaysia di Indonesia.

Pada masa yang sama, beliau turut mengalu-alukan ahli-ahli PAPTI untuk menyumbang tenaga sebagai barisan editorial buletin tersebut yang akan diketuai oleh Dr. Dasrilsyah Syahrial yang juga mantan Ketua Editor buletin PAPTI sebelum ini. - PAPTI
Share:

Bekas Presiden antara yang dilantik sebagai Ahli Majlis PAPTI

DR ISMAIL ABDULLAH
BEKAS Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) tahun 2005-2007 dan 2007-2008, Prof. Dr. Ismail Abdullah dilantik untuk turut sama membarisi kepimpinan persatuan itu bagi penggal 2013-2015.

Pelantikan Dr. Ismail yang juga pensyarah di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu dibuat oleh Presiden PAPTI, Lukman Ismail dengan sokongan Ahli-ahli Majlis berdasarkan peraturan Perlembagaan persatuan itu yang memberi kuasa kepada Presiden untuk melantik lima ahli majlis tambahan.

Bendahari Agong PAPTI, Dr. Dasrilsyah Syahrial pula kekal sebagai Bendahari Agung bersama-sama seorang lagi Ahli Majlis penggal lalu, Saidi Salleh manakala dua lagi adalah muka baharu iaitu Kama Azro Abu Bakar sebagai Setiausaha Agung PAPTI dan Dr. Mohd Sadad Mahmud sebagai Ahli Majlis.

Pada mesyuarat pertama Ahli Majlis PAPTI sesi baharu itu yang diadakan 30 November, turut diumumkan pengerusi-pengerusi biro yang bakal menggerakkan pelbagai program serta aktiviti yang telah dan akan dilaksanakan.

Berikut adalah barisan Ahli Majlis dan biro-biro yang dibentuk, seperti mana diputuskan dalam mesyuarat pertama Ahli Majlis sesi 2013-2015:
  • LUKMAN ISMAIL  - Presiden/Biro Ekonomi
  • DATO' DR ABDUL LATIFF AWANG - Timbalan Presiden/Biro Perhubungan
  • KAMA AZRO ABU BAKAR - Setiausaha Agung (Dilantik)
  • HASNAH ISMAIL - Penolong Setiausaha Agung
  • DR DASRILSYAH SYAHRIAL - Bendahari Agung (Dilantik)
  • MUHAMMAD NASARUDIN ABD RAIS - Ahli Majlis/Biro Keahlian
  • ONN MOHD YUSOF - Ahli Majlis/Biro Sukan
  • DR NORLEE HAZANIZA AHMAD - Ahli Majlis/Biro Penerangan dan Promosi
  • NOR AIZAN ABD HALIM - Ahli Majlis/Biro Hal Ehwal Wanita
  • IRWAN JAPAR - Ahli Majlis/Biro Pendidikan
  • PROF DR ISMAIL ABDULLAH - Ahli Majlis (Dilantik)/Biro Hubungan Malaysia-Indonesia
  • DR MOHD SADAD MAHMUD - Ahli Majlis (Dilantik)/Biro Tugas-tugas Khas
  • SAIDI SALLEH - Ahli Majlis (Dilantik)/Biro Kebajikan
Turut dilantik ketua-ketua perhubungan zon PAPTI seperti berikut:
  • WAN SHAIFUDIN WAN MADIHI - Zon Sarawak
  • DATUK DR  ZAIN YUSUF - Zon Timur
  • Zon Sabah
  • Zon Utara
  • Zon Selatan
Share:

Himpunan terbesar bekas pelajar Malaysia di Indonesia tahun depan

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) merancang mengadakan himpunan bekas-bekas pelajar Malaysia yang pernah menuntut di mana-mana institusi pengajian tinggi di Indonesia, iaitu julung-julung kali diadakan, tahun depan

Menerusi program berbentuk makan malam itu, PAPTI mensasarkan mengumpul sekurang-kurangnya 1,000 bekas pelajar dari seluruh negara sekali gus menjadikannya sebagai himpunan terbesar membabitkan kumpulan tersebut.

Serentak dengan majlis itu, PAPTI akan melancarkan Tabung Pendidikan dengan sasaran dapat mengumpul sebanyak RM1 juta yang akan digunakan bagi membiayai pendidikan anak-anak ahli PAPTI.

"Melalui himpunan ini kita harap dapat mengumpul seberapa ramai rakyat Malaysia yang pernah menuntut di Indonesia sejak tahun-tahun 1960-an dahulu sehingga hari ini.

"Kita juga akan jadikan program ini untuk mengutip dana bagi Tabung Pendidikan PAPTI selain mengisi tabung kewangan persatuan di samping mendaftar seberapa ramai ahli baharu," kata Presiden PAPTI, Lukman Ismail.

Himpunan tersebut direncanakan pada bulan Ogos 2014. 

Untuk rekod PAPTI yang ditubuhkan sejak 1975 sehingga kini mempunyai kira-kira 300 ahli berdaftar.

Lukman berkata, selain himpunan bekas pelajar Malaysia di Indonesia, PAPTI juga merancang  mengadakan satu persidangan hubungan Malaysia dan Indonesia yang akan menampilkan tokoh-tokoh dalam bidang-bidang berkenaan dari kedua-dua negara.

Persidangan tersebut dirancang diadakan sebelum berakhir tahun 2014 dengan menumpukan kepada isu-isu yang menjadi punca "perkocakan" hubungan kedua-dua negara berjiran ini.

Selain itu PAPTI juga merancang menerbitkan semula buletin PAPTI yang telah dihentikan sejak 1991, mengadakan pertandingan golf amal serta menghasilkan dokumentari mengenai persatuan itu serta peranannya dalam hubungan Malaysia dan Indonesia.

"PAPTI juga akan meneruskan kerjasama dengan syarikat-syarikat milik ahli di mana hasil daripada hubungan tersebut sekurang-kurangnya dapat menampung sedikit sebanyak kewangan kita," katanya.

Pada masa kini PAPTI telah menjalinkan kerjasama dengan Tridiva Utama Sdn. Bhd., syarikat milik ahli PAPTI yang terlibat dalam penghantaran pelajar dari Malaysia ke institusi pengajian tinggi di Indonesia, Mesir, India dan Russia. - PAPTI
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog