Tambah keahlian, banyakkan aktiviti misi Presiden baru PAPTI

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, November 27, 2013
LUKMAN ISMAIL
PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang baharu, Lukman Ismail menanam misi untuk meningkatkan jumlah keahlian persatuan itu khususnya dalam kalangan generasi muda angkatan 80-an dan ke atas.

Dalam ucapan penutup pada Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-21 di Kelab Tasik Putrajaya di sini Sabtu lalu, beliau berkata, sehingga kini keahlian PAPTI yang berdaftar sejak awal penubuhannya tahun 1975 lalu kira-kira 300 orang tetapi yang aktif hanya 50 hingga 100 orang sahaja.

Justeru, beliau bersama barisan Ahli Majlis yang baharu akan meneliti semula perlembagaan PAPTI yang digubal sejak 38 tahun lalu itu bagi disesuaikan dengan keperluan masa kini dan akan datang, terutama membabitkan soal keahlian dan yuran keahlian.

"Saya lihat perlembagaan kita banyak kelemahan khususnya melibatkan keahlian yang menyebabkan kita sukar menambah keahlian. Justeru kami akan meneliti perlembagaan ini dan ia akan dikemukakan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Lukman berkata, akibat kelemahan yang ada pada perlembagaan tersebut PAPTI sukar menarik lebih ramai ahli walaupun ratusan pelajar Malaysia di Indonesia tamat pengajian dan pulang ke tanah air setiap tahun.

Katanya, tanpa keanggotaan daripada generasi muda, persatuan boleh berkubur dalam tempoh yang singkat memandangkan majoriti ahli PAPTI pada masa kini sudah memasuki usia warga emas.

Lukman yang juga alumni Universiti Airlangga, Surabaya dari angkatan 80-an berkata, beliau juga berhasrat memperbanyakkan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara sesuai dengan kedudukan PAPTI sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

Katanya, antara aktiviti utama yang dirancang ialah mengadakan perhimpunan anak-anak Malaysia yang pernah menuntut di Indonesia dan mengadakan satu persidangan berkaitan hubungan Malaysia dan Indonesia, selain meneruskan kerjasama dengan syarikat-syarikat milik ahli PAPTI.

"Diharapkan barisan Ahli Majlis yang terpilih pada hari ini dapat merealisasikan misi ini dan pada masa yang sama kami juga mengharapkan sokongan daripada ahli-ahli semua untu menjayakan aktiviti-aktiviti yang diadakan," katanya. - PAPTI