Serumpun bukan lagi asas hubungan Malaysia-Indonesia - Musa Hitam

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, November 22, 2013
SEBAHAGIAN peserta Persidangan Malaysia-Republik Indonesia 2013 yang berlangsung di Royale Bintang Damansara semalam. - Foto Ihsan Utusan Online
DATO A. Kadir Jasin (berdiri) menjadi moderator persidangan dengan ahli-ahli panel membabitkan wakil-wakil dari Malaysia dan Indonesia, termasuk Tan Sri Mohamed Salleh Yassin yang bercakap atas kapasiti ahli PAPTI. - Foto Ihsan Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Nov - Hubungan Malaysia dan Indonesia kini sudah tidak lagi boleh bersandarkan kepada faktor rumpun nusantara Melayu ataupun 'serumpun'.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, yang juga Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (Eminent Persons Group, EPG) Malaysia-Indonesia menegaskan, mereka yang bersandarkan konsep berkenaan dalam hubungan kedua-dua negara berjiran itu sudah ketinggalan zaman.

"Saya ingin berterus terang, persepsi saya bahawa keutamaan kepimpinan kerajaan Indonesia kepada Malaysia sangat rendah.

“Indonesia kini menjadi kuasa serantau bermartabat selepas beberapa tahun dahulu, Indonesia diterima ke dalam Kumpulan 20 (G20).

"Faktor serumpun hanya diterima apabila ada kepentingan tertentu. Kita sudah cuba untuk mengadakan kerjasama dari dahulu tetapi tidak diterima ini termasuk kerjasama dalam industri kereta," kata Musa dalam sesi soal jawab 'Bicara Tengah Hari' sempena Persidangan Malaysia-Indonesia 2013 di The Royale Bintang Damansara di sini hari ini.

"Realitinya mereka (Indonesia) ada kebanggaan. Kita perlu kenal pasti situasi menang-menag dan tidak boleh bergantung pada sentimen satu rumpun sahaja," tegas Musa.

Pada persidangan itu, Musa menyampaikan bicara bertajuk “Panas-Dingin Hubungan Malaysia-Indonesia: Membina Iklim Saling Percaya”.

Jelas Musa, hubungan 'panas-dingin' antara satu negara dengan negara lain sememangnya tidak boleh dielakkan, termasuk dalam konteks Malaysia dan Indonesia.

Musa bagaimanapun berkata, hubungan 'pasang- surut' kedua-dua negara tidak berada pada paras bahaya kerana hubungan baik yang terjalin antara pemimpin Malaysia dan Indonesia.

"Hubungan ini boleh dirapatkan lagi dalam jalinan kerjasama antara rakyat dengan rakyat termasuk dalam bidang perniagaan.

"Selama ini, kita melihat rakyat Indonesia sebagai pembantu rumah dan buruh sahaja.

“Persepsi ini boleh diubah dengan menarik penyertaan pelabur dari Indonesia dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (SME)," kata Musa.

Persidangan selama sehari itu anjuran bersama Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma), Universiti Malaya dan Institut Pemerintahan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Indonesia. - UTUSAN ONLINE

NOTA:

PAPTI telah terlibat dalam persidangan ini di mana dua ahli veteran PAPTI, Tan Sri Mohamed Salleh Yassin dan Dato Mohd Noor Azam telah dijemput sebagai ahli panel dan moderator pada persidangan manakala tiga Ahli Majlis PAPTI turut diundang sebagai peserta program. Mereka ialah Setiausaha Agung PAPTI, Lukman Ismail, Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Syahrial dan Juruaudit PAPTI, Nasaruddin Rais.