Malaysia Mahu Jalin Perkongsian Strategik Dengan Indonesia Dalam Sektor Perkhidmatan

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, November 13, 2013
SURABAYA, 13 Nov (Bernama) -- Syarikat Malaysia mahu menjalin perkongsian strategik dengan syarikat Indonesia dalam sektor perkhidmatan bagi merebut peluang ekonomi secara bersama, termasuk menjalankan perniagaan di negara ketiga.

Usaha ini dipromosikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam pameran solo, Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) 2013 yang berlangsung empat hari mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Promosi Perdagangan dan Perkhidmatan Matrade Susila Devi berkata syarikat Malaysia tidak berhasrat untuk bersaing di Indonesia, tetapi untuk saling melengkapi kelebihan dan kepakaran masing-masing melalui perkongsian strategik.

"Malaysia mahu menjalin perkongsian (perniagaan dalam bidang perkhidmatan), kita tidak boleh menganggap kita hebat, Indonesia dan Malaysia bukanlah asing, kita boleh bersama-sama membangunkan perniagaan perkhidmatan dan mungkin juga boleh melihat pasaran yang lebih luas seperti di Asean," katanya kepada wartawan di sini Rabu.

MSE 2013 Surabaya disertai 150 perwakilan daripada 62 syarikat dalam sektor perkhidmatan dari Malaysia, yang memberi tumpuan ke atas usaha mempromosi tujuh kumpulan sektor perkhidmatan iaitu pembinaan, ICT, francais, kesihatan, pendidikan, logistik dan pengangkutan serta perkhidmatan perniagaan yang meliputi perunding pengurusan, percetakan dan perkhidmatan hartanah.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Indonesia Nadzri Shamsudin berkata Surabaya dipilih sebagai lokasi untuk mempromosi syarikat Malaysia dalam sektor perkhidmatan memandangkan ia merupakan kota raya kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta, selain ia menyediakan banyak peluang untuk pengembangan perniagaan bagi wilayah Jawa Timur, khususnya dalam bidang pembinaan infrastruktur dan logistik.

Susila berkata siri pameran MSE merupakan inisiatif Matrade untuk mencari kaedah baharu mempromosi sektor perkhidmatan yang diusahakan oleh syarikat Malaysia, dan dalam tempoh lima tahun sejak 2008, 17 pameran PKS sudah dijalankan di pelbagai negara di dunia.

"Sektor perkhidmatan sukar dipamerkan sebab ia bersifat tidak nyata... kalau barang, ia boleh dipamerkan, tetapi bagi perkhidmatan, kita kena pamerkan ciri-ciri perkhidmatan berasaskan sektor yang berlainan seperti sektor pembinaan yang syarikat Malaysia cemerlang dalam pengurusan kemudahan dan pengurusan projek," katanya.

Susila berkata eksport sektor perkhidmatan di Malaysia memang mengembang, namun nilainya masih rendah kerana pertumbuhannya sekitar tujuh dan enam peratus dan pada masa ini sektor perkhidmatan hanya mewakili 16 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, berdasarkan angka 2012.

Bagaimanapun seiring dengan kemajuan ekonomi negara menuju 2020, kerajaan menyasarkan sektor perkhidmatan perlu menyumbang 62 peratus kepada keluaran dalam negara kasar berbanding 58 peratus ketika ini, katanya.

Promosi yang dijalankan melalui MSE membuktikan kejayaan syarikat Malaysia dalam projek penting di negara asing, termasuk pembinaan bangunan ikon dunia seperti bangunan Burj Khalifa dan Al Burj Al Arab di Dubai, dengan syarikat Malaysia membuat struktur keluli bagi kedua-dua bangunan itu.

Untuk berjaya di luar negara, syarikat Malaysia tidak boleh bergerak sendiri tetapi harus mencari rakan kongsi, sama ada berbentuk konsortium, usaha sama atau perkongsian, katanya.

-- BERNAMA