Tambah keahlian, banyakkan aktiviti misi Presiden baru PAPTI

LUKMAN ISMAIL
PUTRAJAYA: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang baharu, Lukman Ismail menanam misi untuk meningkatkan jumlah keahlian persatuan itu khususnya dalam kalangan generasi muda angkatan 80-an dan ke atas.

Dalam ucapan penutup pada Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-21 di Kelab Tasik Putrajaya di sini Sabtu lalu, beliau berkata, sehingga kini keahlian PAPTI yang berdaftar sejak awal penubuhannya tahun 1975 lalu kira-kira 300 orang tetapi yang aktif hanya 50 hingga 100 orang sahaja.

Justeru, beliau bersama barisan Ahli Majlis yang baharu akan meneliti semula perlembagaan PAPTI yang digubal sejak 38 tahun lalu itu bagi disesuaikan dengan keperluan masa kini dan akan datang, terutama membabitkan soal keahlian dan yuran keahlian.

"Saya lihat perlembagaan kita banyak kelemahan khususnya melibatkan keahlian yang menyebabkan kita sukar menambah keahlian. Justeru kami akan meneliti perlembagaan ini dan ia akan dikemukakan pada mesyuarat akan datang," katanya.

Lukman berkata, akibat kelemahan yang ada pada perlembagaan tersebut PAPTI sukar menarik lebih ramai ahli walaupun ratusan pelajar Malaysia di Indonesia tamat pengajian dan pulang ke tanah air setiap tahun.

Katanya, tanpa keanggotaan daripada generasi muda, persatuan boleh berkubur dalam tempoh yang singkat memandangkan majoriti ahli PAPTI pada masa kini sudah memasuki usia warga emas.

Lukman yang juga alumni Universiti Airlangga, Surabaya dari angkatan 80-an berkata, beliau juga berhasrat memperbanyakkan aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada agama, bangsa dan negara sesuai dengan kedudukan PAPTI sebagai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berdaftar.

Katanya, antara aktiviti utama yang dirancang ialah mengadakan perhimpunan anak-anak Malaysia yang pernah menuntut di Indonesia dan mengadakan satu persidangan berkaitan hubungan Malaysia dan Indonesia, selain meneruskan kerjasama dengan syarikat-syarikat milik ahli PAPTI.

"Diharapkan barisan Ahli Majlis yang terpilih pada hari ini dapat merealisasikan misi ini dan pada masa yang sama kami juga mengharapkan sokongan daripada ahli-ahli semua untu menjayakan aktiviti-aktiviti yang diadakan," katanya. - PAPTI
Share:

Kepimpinan PAPTI ramuan orang lama dan baharu

Barisan kepimpinan PAPTI 2013-2015
PUTRAJAYA: Kepimpinan baharu Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-21 pertubuhan itu di Kelab Tasik Putrajaya di sini hari ini menampilkan gabungan "orang lama" dan anak-anak muda.

Malahan barisan kepimpinan yang diketuai oleh Setiausaha Agung PAPTI penggal lalu, Sdr Lukman Ismail itu juga terdiri daripada alumni institusi pengajian tinggi di Indonesia daripada pelbagai bandar di negara tersebut.

Sdr Lukman yang merupakan alumni Universitas Airlangga (Unair) Surabaya dari angkatan 80-an dipilih sebagai Presiden PAPTI bagi sesi 2013-2015 itu manakala alumni Universitas Gajah Mada (UGM) Yogyakarta, Datuk Dr. Abdul Latiff Awang (angkatan 60-an) pula dipilih sebagai Timbalan Presiden. Dr. Abdul Latiff juga merupakan bekas Exco Kerajaan Negeri Terengganu.

Manakala enam Ahli Majlis yang dipilih pula terdiri daripada bekas Timbalan Presiden PAPTI, Pn Hasnah Ismail (Bandung, 60-an), bekas Ahli Majlis penggal lalu Sdr Onn Mohd Yusof (Bandung, angkatan 70-an) dan bekas Juruaudit PAPTI, Sdr Nasarudin Rais (Jakarta, angkatan 80-an).

Turut dipilih Dr. Norlee Hazaniza Ahmad (Surabaya, angkatan 90-an), Nor Aizan Abdul Halim (Jakarta, angkatan 80-an) dan Datuk Irwan Japar dari Semarang dan merupakan angkatan 90-an.

Sdr Lukman dalam ucapannya mengucapkan ribuan terima kasih kepada barisan kepimpinan sebelum ini yang diketuai oleh Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir malahan beliau yang telah berada dalam barisan Ahli Majlis sejak 2001 memberikan banyak pendedahan dan pengalaman dalam menguruskan persatuan tersebut.

Beliau juga berharap kombinasi barisan Ahli Majlis yang dipilih pada pemilihan kali ini dapat menarik lebih ramai alumni Indonesia menyertai PAPTI dan dapat membawa persatuan itu bergerak lebih aktif selepas ini.

Selain barisan kepimpinan yang dipilih hari ini, Presiden PAPTI juga berhak untuk melantik maksimum lima lagi Ahli Majlis bagi melengkapkan barisan kepimpinan beliau.

Berikut barisan kepimpinan PAPTI bagi sesi 2013-2015:
Presiden : LUKMAN ISMAIL
Timbalan Presiden : DATO' DR. ABDUL LATIFF AWANG

Ahli Majlis :
1. IR ONN MOHD YUSOF
2. MUHAMMAD NASARUDDIN MOHD. RAIS
3. HASNAH ISMAIL
4. DR. NORLEE HAZANIZA AHMAD
5. NOR AIZAN ABDUL HALIM
6. DATUK IRWAN JAPAR
Share:

AGM Ke-20 di Kelab Tasik Putrajaya - 23 Nov 2013

PUTRAJAYA: Pada 23 November 2013 telah berlangsung Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-21 yang diadakan di Kelab Tasik Putrajaya, Presint 8, di sini.

Mesyuarat kali ini turut berlangsung pemilihan pucuk pimpinan baharu persatuan, yang diadakan setiap dua tahun sekali.

Berikut antara aksi yang sempat dirakamkan ketika mesyuarat tersebut.























Share:

Serumpun bukan lagi asas hubungan Malaysia-Indonesia - Musa Hitam

SEBAHAGIAN peserta Persidangan Malaysia-Republik Indonesia 2013 yang berlangsung di Royale Bintang Damansara semalam. - Foto Ihsan Utusan Online
DATO A. Kadir Jasin (berdiri) menjadi moderator persidangan dengan ahli-ahli panel membabitkan wakil-wakil dari Malaysia dan Indonesia, termasuk Tan Sri Mohamed Salleh Yassin yang bercakap atas kapasiti ahli PAPTI. - Foto Ihsan Utusan Online

KUALA LUMPUR 21 Nov - Hubungan Malaysia dan Indonesia kini sudah tidak lagi boleh bersandarkan kepada faktor rumpun nusantara Melayu ataupun 'serumpun'.

Bekas Timbalan Perdana Menteri, Tun Musa Hitam, yang juga Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (Eminent Persons Group, EPG) Malaysia-Indonesia menegaskan, mereka yang bersandarkan konsep berkenaan dalam hubungan kedua-dua negara berjiran itu sudah ketinggalan zaman.

"Saya ingin berterus terang, persepsi saya bahawa keutamaan kepimpinan kerajaan Indonesia kepada Malaysia sangat rendah.

“Indonesia kini menjadi kuasa serantau bermartabat selepas beberapa tahun dahulu, Indonesia diterima ke dalam Kumpulan 20 (G20).

"Faktor serumpun hanya diterima apabila ada kepentingan tertentu. Kita sudah cuba untuk mengadakan kerjasama dari dahulu tetapi tidak diterima ini termasuk kerjasama dalam industri kereta," kata Musa dalam sesi soal jawab 'Bicara Tengah Hari' sempena Persidangan Malaysia-Indonesia 2013 di The Royale Bintang Damansara di sini hari ini.

"Realitinya mereka (Indonesia) ada kebanggaan. Kita perlu kenal pasti situasi menang-menag dan tidak boleh bergantung pada sentimen satu rumpun sahaja," tegas Musa.

Pada persidangan itu, Musa menyampaikan bicara bertajuk “Panas-Dingin Hubungan Malaysia-Indonesia: Membina Iklim Saling Percaya”.

Jelas Musa, hubungan 'panas-dingin' antara satu negara dengan negara lain sememangnya tidak boleh dielakkan, termasuk dalam konteks Malaysia dan Indonesia.

Musa bagaimanapun berkata, hubungan 'pasang- surut' kedua-dua negara tidak berada pada paras bahaya kerana hubungan baik yang terjalin antara pemimpin Malaysia dan Indonesia.

"Hubungan ini boleh dirapatkan lagi dalam jalinan kerjasama antara rakyat dengan rakyat termasuk dalam bidang perniagaan.

"Selama ini, kita melihat rakyat Indonesia sebagai pembantu rumah dan buruh sahaja.

“Persepsi ini boleh diubah dengan menarik penyertaan pelabur dari Indonesia dalam bidang Industri Kecil dan Sederhana (SME)," kata Musa.

Persidangan selama sehari itu anjuran bersama Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma), Universiti Malaya dan Institut Pemerintahan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri, Indonesia. - UTUSAN ONLINE

NOTA:

PAPTI telah terlibat dalam persidangan ini di mana dua ahli veteran PAPTI, Tan Sri Mohamed Salleh Yassin dan Dato Mohd Noor Azam telah dijemput sebagai ahli panel dan moderator pada persidangan manakala tiga Ahli Majlis PAPTI turut diundang sebagai peserta program. Mereka ialah Setiausaha Agung PAPTI, Lukman Ismail, Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Syahrial dan Juruaudit PAPTI, Nasaruddin Rais.


Share:

Persidangan Malaysia-Republik Indonesia - 21 Nov 2013

KUALA LUMPUR: Pada 21 November 2013 telah berlangsung Persidangan Malaysia-Republik Indonesia 2013 anjuran Institut Antarabangsa Polisi Awam dan Pengurusan (Inpuma), Universiti Malaya dan Institut Pemerintahan Dalam Negeri, Kementerian Dalam Negeri Indonesia di Royale Bintang Damansara, di sini.

PAPTI diwakili oleh Tan Sri Mohamed Salleh Yassin (ahli panel), Dato Mohd Noor Azam (moderator) dan tiga peserta iaitu Setiausaha Agung PAPTI, Lukman Ismail; Dr. Dasrilsyah Syahrial (Bendahari Agung) dan Nasaruddin Rais (Juruaudit PAPTI).

Persidangan sehari itu turut menampilkan bekas Timbalan Perdana Menteri,  Tun Musa Hitam yang berucap pada majlis makan tengah hari serta lain-lain tokoh termasuk Pengerusi Media Prima, Dato Johan Jaafar, Ketua Pengarang Berita Publishing, Dato A. Kadir Jasin dan lain-lain.







Share:

Malaysia Mahu Jalin Perkongsian Strategik Dengan Indonesia Dalam Sektor Perkhidmatan

SURABAYA, 13 Nov (Bernama) -- Syarikat Malaysia mahu menjalin perkongsian strategik dengan syarikat Indonesia dalam sektor perkhidmatan bagi merebut peluang ekonomi secara bersama, termasuk menjalankan perniagaan di negara ketiga.

Usaha ini dipromosikan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dalam pameran solo, Pameran Perkhidmatan Malaysia (MSE) 2013 yang berlangsung empat hari mulai hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Bahagian Promosi Perdagangan dan Perkhidmatan Matrade Susila Devi berkata syarikat Malaysia tidak berhasrat untuk bersaing di Indonesia, tetapi untuk saling melengkapi kelebihan dan kepakaran masing-masing melalui perkongsian strategik.

"Malaysia mahu menjalin perkongsian (perniagaan dalam bidang perkhidmatan), kita tidak boleh menganggap kita hebat, Indonesia dan Malaysia bukanlah asing, kita boleh bersama-sama membangunkan perniagaan perkhidmatan dan mungkin juga boleh melihat pasaran yang lebih luas seperti di Asean," katanya kepada wartawan di sini Rabu.

MSE 2013 Surabaya disertai 150 perwakilan daripada 62 syarikat dalam sektor perkhidmatan dari Malaysia, yang memberi tumpuan ke atas usaha mempromosi tujuh kumpulan sektor perkhidmatan iaitu pembinaan, ICT, francais, kesihatan, pendidikan, logistik dan pengangkutan serta perkhidmatan perniagaan yang meliputi perunding pengurusan, percetakan dan perkhidmatan hartanah.

Pesuruhjaya Perdagangan Matrade di Indonesia Nadzri Shamsudin berkata Surabaya dipilih sebagai lokasi untuk mempromosi syarikat Malaysia dalam sektor perkhidmatan memandangkan ia merupakan kota raya kedua terbesar di Indonesia selepas Jakarta, selain ia menyediakan banyak peluang untuk pengembangan perniagaan bagi wilayah Jawa Timur, khususnya dalam bidang pembinaan infrastruktur dan logistik.

Susila berkata siri pameran MSE merupakan inisiatif Matrade untuk mencari kaedah baharu mempromosi sektor perkhidmatan yang diusahakan oleh syarikat Malaysia, dan dalam tempoh lima tahun sejak 2008, 17 pameran PKS sudah dijalankan di pelbagai negara di dunia.

"Sektor perkhidmatan sukar dipamerkan sebab ia bersifat tidak nyata... kalau barang, ia boleh dipamerkan, tetapi bagi perkhidmatan, kita kena pamerkan ciri-ciri perkhidmatan berasaskan sektor yang berlainan seperti sektor pembinaan yang syarikat Malaysia cemerlang dalam pengurusan kemudahan dan pengurusan projek," katanya.

Susila berkata eksport sektor perkhidmatan di Malaysia memang mengembang, namun nilainya masih rendah kerana pertumbuhannya sekitar tujuh dan enam peratus dan pada masa ini sektor perkhidmatan hanya mewakili 16 peratus daripada jumlah eksport Malaysia, berdasarkan angka 2012.

Bagaimanapun seiring dengan kemajuan ekonomi negara menuju 2020, kerajaan menyasarkan sektor perkhidmatan perlu menyumbang 62 peratus kepada keluaran dalam negara kasar berbanding 58 peratus ketika ini, katanya.

Promosi yang dijalankan melalui MSE membuktikan kejayaan syarikat Malaysia dalam projek penting di negara asing, termasuk pembinaan bangunan ikon dunia seperti bangunan Burj Khalifa dan Al Burj Al Arab di Dubai, dengan syarikat Malaysia membuat struktur keluli bagi kedua-dua bangunan itu.

Untuk berjaya di luar negara, syarikat Malaysia tidak boleh bergerak sendiri tetapi harus mencari rakan kongsi, sama ada berbentuk konsortium, usaha sama atau perkongsian, katanya.

-- BERNAMA
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog