Dewan Malaysia dan harapan anak bangsa

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Februari 12, 2013
Wajah Wisma Malaysia sekitar tahun 1980-an yang diabadikan oleh rakan-rakan pelajar kita di Jakarta suatu masa dahulu.

Wajah Wisma Malaysia atau kini dikenali Dewan Malaysia yang akan dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri hari ini (12 Februari 2013)

KETIKA ini rakyat Malaysia sama ada yang belajar, bekerja dan menetap di sini berpeluang mengukuhkan lagi ikatan persaudaraan sesama mereka dengan beroperasinya Dewan Malaysia.

Terletak di Jalan Hos Cokroaminoto, Menteng, Jakarta, pembangunan Dewan Malaysia oleh kerajaan yang mentadbir negara hari ini adalah untuk memberi keselesaan kepada rakyatnya.
Lalu, Dewan Malaysia yang baru ini menawarkan apa yang diperlukan oleh anak bangsa yang berada di sini.

Seandainya terdesak dan memerlukan bilik tidur, Dewan Malaysia sentiasa membuka pintu membantu rakyat yang dalam kesusahan sekiranya berada di Jakarta.

Ketika musibah banjir atau bencana alam pula, ibu bapa kepada pelajar-pelajar Malaysia yang menuntut di sini tidak perlu risau dengan keselamatan anak-anak mereka. Ini kerana Dewan Malaysia sentiasa menjadi tempat perlindungan kepada anak-anak yang berjauhan dari keluarga.

Bulan lalu ketika Jakarta dilanda banjir, ramai pelajar Malaysia yang rumah mereka dinaiki air dipindah oleh kerajaan Malaysia ke dewan tersebut.

Bahkan, peranan Dewan Malaysia jugaadalah untuk mengajak seluruh rakyat Malaysia yang berada di sini menjadikan dewan berkenaan sebagai pusat komuniti.

Sesiapa sahaja (selagi memegang status rakyat Malaysia) boleh berkunjung ke Dewan Malaysia untuk menganjurkan majlis silaturahim dan lain-lain acara yang boleh menyatukan rakyat.

"Ia bukan sekadar tempat yang menawarkan bilik tidur, sebaliknya, Dewan Malaysia adalah lambang kepada perpaduan rakyat.

"Peranan Dewan Malaysia ialah menghimpunkan semua rakyat Malaysia yang menetap di Jakarta. Mereka boleh datang ke sini untuk bertemu rakan-rakan senegara, bertemu dan berkongsi pengalaman serta menghidupkan budaya-budaya Malaysia di sini," kata Pengarah Education Malaysia (EM) Prof. Madya Dr. Juzhar Jusoh kepada Utusan Malaysia ketika ditemui di Dewan Malaysia baru-baru ini.

Kerana itu kehadiran Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ke Jakarta untuk merasmikan Dewan Malaysia pagi ini merupakan satu kebanggaan buat rakyat Malaysia.

Manakan tidak, pembangunan Dewan Malaysia saling tidak ubah sebagai manifestasi terhadap komitmen kerajaan mengelola hal ehwal rakyat Malaysia yang berada di luar negara.

Dewan yang melambangkan imej kejayaan Malaysia dalam pentadbirannya berada di kawasan strategik, berprofil tinggi dan menawarkan akses yang mudah untuk ke sana.

Beroperasi 24 jam setiap hari, mana-mana rakyat Malaysia dipelawa untuk berkunjung ke Dewan Malaysia seandainya berada di Jakarta atas urusan rasmi atau tidak rasmi.

Dewan Malaysia menawarkan 56 katil yang cukup selesa yang boleh disewa pada kadar yang sangat minimum dan langsung tidak membebankan.

Inilah keistimewaan Dewan Malaysia di Jakarta yang mula diserahkan oleh kerajaan kepada EM di Jakarta pada Mac tahun lalu untuk ditadbir dan dikelola berteraskan matlamat memberi manfaat kepada rakyat Malaysia.

Justeru, di bawah tanggungjawab Dr. Juzhar, Dewan Malaysia kata beliau, sudah memiliki jadual aktiviti yang dirangka bagi memastikan aspirasi kerajaan dipenuhi.

Dalam hal ini, Dr. Juzhar berkata, keutamaan akan diberikan kepada penuntut-penuntut Malaysia yang sedang menimba ilmu di negara Indonesia.

Inilah bukti keprihatinan kerajaan Malaysia yang sentiasa memastikan generasi yang bakal mewarisi kepimpinan negara.

Dewan Malaysia yang tersergam indah itu, jelas Dr. Juzhar, akan memberi tumpuan pada aktiviti-aktiviti yang akan memberi manfaat yang besar kepada rakyat Malaysia.

Kerana itu, beliau berpendapat, aktiviti berteraskan akademik akan menjadi sebahagian daripada pengisian dalam kalendar Dewan Malaysia pada masa depan.

"Oleh kerana pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia begitu besar jumlahnya, maka kita melihat ada keperluan untuk menjadikan Dewan Malaysia sebagai pusat pertemuan anak-anak bangsa yang cemerlang dalam akademik.

"Semua pelajar dari luar Jakarta seperti Bandung, Bali, Solo, Yogyakarta, Makassar dan lain-lain wilayah di Indonesia boleh menjadikan Dewan Malaysia sebagai pusat pertemuan mereka," jelas Dr. Juzhar lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Rencana/20130212/re_03/Dewan-Malaysia-dan-harapan-anak-bangsa#ixzz2KeXC7Wzf