Usul tingkat hubungan baik Malaysia-Indonesia disokong

Posted by Sekretariat PAPTI on Sabtu, Julai 14, 2012
Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir (tengah) mempengerusikan mesyuarat agung tahunan PAPTI di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) hari ini menyokong sebulat suara usul agar pertubuhan itu menjalankan kajian mendalam berhubung persepsi masyarakat terhadap hubungan Malaysia dan Indonesia.

Usul yang dibentangkan Presiden PAPTI, Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir itu mendapat reaksi positif dari kalangan ahli-ahli persatuan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAPTI ke-20 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian tersebut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah sehingga wujudnya persepsi yang salah tentang Malaysia di kalangan rakyat negara jiran itu yang mengakibatkan hubungan kedua-dua negara itu kelihatan sentiasa panas.

Katanya, tindakan sesetengah pihak di Indonesia yang mempersoalkan dasar-dasar kerajaan negara ini menunjukkan ada "sesuatu yang tidak kena" dan ia perlu dibuat kajian menyeluruh.

"Kita perlu membuat kajian tentang pokok permasalahan. Apakah benar hubungan Malaysia dan Indonesia tidak baik? Apakah benar kumpulan pendemonstran berbayar yang sengaja mengapi-apikan sesuatu isu? Apakah benar anak muda di Jakarta begitu membenci Malaysia?

"Hal-hal inilah yang memerlukan kajian dan saya percaya PAPTI mempunyai kedudukan yang baik untuk menjalankan tugas ini memandangkan kita semua pernah tinggal dan belajar di Indonesia bahkan ramai kalangan kita terdiri golongan akademik yang berpengalaman dalam menjalankan pelbagai kajian," katanya ketika berucap membentangkang usul tersebut pada MAT PAPTI tersebut.

Di samping itu, PAPTI percaya penghantaran lebih ramai pelajar Malaysia ke Indonesi dalam pelbagai bidang antara langkah yang sesuai untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara.

Katanya, sebagai pelajar yang berpeluang tinggal lebih lama di Indonesia, bergaul dengan rakan-rakan di negara itu serta masyarakat sekeliling, mereka boleh menjadi duta negara untuk menyampaikan maklumat sebenar tentang situasi di negara ini.

Bagi tujuan itu, kerajaan seharusnya menyediakan kemudahan biasiswa atau pinjaman pendidikan yang lebih besar untuk pelajar negara ini melanjutkan pengajian di Indonesia dan tidak terlalu bergantung kepada agensi swasta yang lebih mementingkan keuntungan berbanding kepentinganh sosiopolitik kedua-dua negara.