Wujudkan banyak Dewan Malaysia di Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, Jun 15, 2012
BEBERAPA pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia merakamkan ketidakselesaan dengan harga barang yang naik mendadak terutama makanan dan sewa rumah.

Suasana Indonesia bukan macam dahulu lagi kerana pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan telah memberi impak kepada ketumbuhan ekonomi yang dengan sendirinya harga barang keperluan juga meningkat naik.

Bayangkanlah sewa rumah di bandar besar seperti Jakarta, Bandung, Bali, Medan dan lain-lain tempat ramai penuntut kita bukan sahaja terpaksa membayar sewa rumah secara tahunan tetapi sewaannya kini agak mahal mencecah puluhan juta rupiah atau hampir RM3,000 seorang.

Kadar sewa ini pula sentiasa dinaikkan oleh pemilik rumah sehingga membebankan penyewa.
Makanan juga mahal berbanding di negara kita Malaysia. Sarapan pagi di Malaysia cukup dengan RM4 tetapi di sana kadangkala hingga mencecah RM7 atau RM8.

Begitu juga makan tengah hari atau pun malam sememangnya mahal berbanding di Malaysia.
Kadangkala pelajar kita sengaja memakai pakaian mengikut fesyen Indonesia semata-mata bagi kemudahan membeli barang dengan mengharapkan dapat harga yang lebih murah tetapi dengan syarat kenalah bertutur mengikut dialek orang tempatan.

Jika di England kita ada Malaysia Hall kepada semua pelajar, pekerja dan pelancong kenapa tidak diwujudkan lebih banyak Malaysia Hall Indonesia yang menyediakan hidangan Malaysia yang murah.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
JAMALULLAIL
Ampangan,
Seremban

~ Sumber: Forum Pembaca Utusan Malaysia 14 Jun 2012