Malaysia-Indonesia tidak wajar biarkan sentimen ekstrem jejaskan hubungan dua hala, kata Muhyiddin

PUTRAJAYA: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan Malaysia dan Indonesia tidak seharusnya membiarkan sentimen ekstrem menguasai keadaan berikutan wujudnya isu-isu sensasi sehingga menjejaskan hubungan dua hala kedua buah negara.

Sebaliknya, Muhyiddin mahukan hubungan Malaysia dan Indonesia dilihat dalam konteks yang lebih besar kerana banyak bidang kerjasama yang boleh diterokai oleh kedua-dua negara untuk mewujudkan kemakmuran bersama.

Beliau berkata sinergi antara kedua-dua negara yang telah sedia wujud lebih 55 tahun dimanfaatkan sepenuhnya untuk meningkatkan hubungan kerjasama ke tahap yang lebih tinggi.

"Seringkali Malaysia dijadikan “punching bag” oleh pihak-pihak tertentu terutama apabila wujudnya isu-isu sensasi yang disiarkan di media massa. Isu tersebut seringkali digembar-gemburkan tanpa terlebih dahulu membuat sebarang usul periksa mengenai fakta sebenar.

"Malah isu-isu ini dijadikan sumber oleh pihak-pihak tertentu untuk memperlekehkan dasar kerajaan dan akibatnya menjejaskan hubungan baik yang sedia terjalin antara kedua-dua negara,” katanya pada Kolokium ke-5 Hubungan Strategik Dua Hala Malaysia-Indonesia di sini, hari ini.

Katanya tindakan tidak bertanggungjawab oleh pihak tertentu dari kedua-dua negara sedikit sebanyak mewujudkan persepsi yang kurang baik dalam hubungan dan kerjasama antara Malaysia dan Indonesia.

Justeru,beliau berkata kerajaan kedua-dua negara bertekad akan terus menangani dan mengatasi sebarang cabaran yang timbul, di samping berusaha memperkukuh persefahaman dan hubungan akrab antara rakyat kedua-dua negara.

"Cabaran-cabaran yang sedia ada seperti isu pembatasan sempadan maritim dan sempadan darat adalah sesuatu yang amat kompleks di mana penyelesaian muktamad memerlukan masa.

"Bagaimanapun, usaha-usaha mencari persetujuan bersama dalam isu ini menunjukkan bahawa Malaysia dan Indonesia mampu berunding dan mencari penyelesaian bersama.

"Malangnya isu ini dan juga isu-isu lain seperti tenaga kerja sering dieksplotasi oleh sesetengah pihak untuk kepentingan tertentu,” katanya.

Menurutnya selain kedudukan geografi, persamaan warisan budaya dan hubungan persaudaran, Malaysia dan Indonesia juga mempunyai pertalian dan hubungkait dalam banyak aspek yang mana perlu dimanfaatkan untuk kepentingan bersama. Sehubungan itu, beliau mahu semua pihak termasuk kerajaan, parti politik, ahli akedemik, pihak swasta, organisasi bukan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan dan masyarakat serta media massa memainkan peranan memperkukuh hubungan itu.

"Pada hakikatnya hubungan antara Malaysia dan Indonesia tidak dapat dipisahkan. Malah hubungan ini kian bertambah kukuh dan berada pada tahap yang membanggakan.

"Pelbagai faktor menunjukkan bahawa kedua-dua negara sememangnya saling memerlukan antara satu sama lain. Kita bersyukur kerana kerjasama antara Malaysia dan Indonesia sangat aktif dan terus berkembang dari semasa ke semasa,” katanya.

Jelasnya pemimpin tertinggi kedua-dua negara, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono sentiasa menunjukkan komitmen ikhlas dalam memperkukuh lagi hubungan dua hala, selain kunjungan beliau sendiri ke negara jiran itu beberapa kali merupakan inisiatif penting dalam mengeratkan lagi hubungan tersebut.

Menurutnya, kedua-dua negara juga mempunyai pelbagai mekanisme dan platform di peringkat kerajaan untuk memperluas dan meningkatkan skop kerjasama yang saling menguntungkan.

"Mekanisme ini meliputi rundingan tahunan antara pemimpin dan pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja di peringkat menteri dan pegawai kanan kedua-dua negara.

"Malaysia berharap agar kedua-dua negara menggunakan sepenuhnya kesemua mekanisme dua hala ini serta saluran-saluran lain bagi menangani sebarang isu berbangkit secara konstruktif dan komprehensif dan merangka kerjasama yang lebih bersepadu demi kebaikan bersama Malaysia dan Indonesia.

"Selain keakraban hubungan dua hala, Malaysia dan Indonesia perlu melihat kepada peranan yang boleh dimainkan dalam memperjuangkan keamanan dan keadilan sejagat. Kedua-dua negara ini sering dilihat sebagai contoh negara membangun yang progresif di mata dunia,” kata beliau.

Justeru itu, katanya, kerjasama strategik berasaskan kepentingan bersama dalam bidang ekonomi, sosio-budaya, politik antarabangsa, teknologi dan pendidikan perlu diperkukuhkan lagi.

Antaranya, meningkatkan hubungan rakyat dengan rakyat melalui pelbagai saluran; menyokong usaha-usaha melaksanakan sistem pemantauan tenaga kerja dari Indonesia dalam pelbagai sektor ekonomi Malaysia serta mewujudkan penyelarasan yang berkesan dalam memerangi isu-isu keselamatan bukan tradisional seperti pemerdagangan manusia, terrorisme dan perubahan iklim.

Dalam menjayakan aspirasi tersebut, katanya, media massa perlu memainkan peranan penting.

"Saya melihat betapa pentingnya peranan media dan para penganalisis memberikan laporan dan pandangan secara bertanggungjawab, seimbang dan berdasarkan fakta yang betul supaya tidak timbul kekeliruan dan rasa sangsi rakyat kedua-dua negara terhadap satu sama lain,” jelasnya.

Di kalangan negara ASEAN, Indonesia adalah rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan dua hala mencecah RM55.95 bilion pada 2011, iaitu peningkatan sebanyak RM8.42 bilion atau 17.7 peratus daripada nilai bagi 2010 iaitu RM47.5 bilion.

Dari segi pelaburan pula, Malaysia merupakan pelabur keenam terbesar Indonesia dengan mencatatkan RM1.7 bilion pada 2011, manakala nilai pelaburan Indonesia di Malaysia dalam sektor pembuatan dan perkhidmatan pada 2011 direkodkan sebanyak RM1.2 bilion.

Turut hadir pada kolokium itu ialah Pengerusi Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Tan Sri Mohamed Jawhar Hassan, Pengarah Eksekutif Centre for Strategic and International Studies (CSIS) Indonesia, Dr Rizal Sukma dan Ketua Eksekutif ISIS Malaysia, Datuk Dr Mahani Zainal Abidin. - BERNAMA ONLINE, 7 OKT 2012
Share:

Jamuan Hari Raya di Tasik Titiwangsa - 6 Okt 2012

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) sekali lagi mengadakan majlis Jamuan Hari Raya di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa di sini pada 6 Oktober 2012.

Lebih 100 orang ahli PAPTI dan alumni lulusan Indonesia bersama isteri dan anak-anak memeriahkan majlis tahunan tersebut.








Share:

Bpk Herman Prayitno duta baru Indonesia ke Malaysia

Pak Herman Prayitno menyerahkan surat tauliah kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara hari ini. - Pix BERNAMA

KUALA LUMPUR: Duta Besar Indonesia ke Malaysia yang baru, Herman Prayitno hari ini menyerahkan tauliah pelantikan beliau kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah di Istana Negara, di sini.

Penyerahan tauliah itu diadakan bersama tujuh lagi duta asing yang akan memulakan tugasnya di negara ini.

Mereka ialah Duta Besar Romania, Constantin Volodea Nistor; Duta Besar Denmark, Nicolai Ruge; Duta Besar Itali, Mario Sammartino; Duta Besar Finland; Matti Johnnes Pullinen; Duta Besar Norway, Hans Ola Urstad; Duta Besar Sweden, Bengt Carlsson dan Ketua Perwakilan European Union (EU) ke Malaysia, Luc Vandebon.

Herman, 61, adalah bekas Ketua Turus Angkatan Udara Tentera Nasional republik itu dan berkelulusan dari Akademi Tentera Udara Yogyakarta.

Baca di sini untuk biografi Bpk Herman...

Seluruh Ahli Majlis PAPTI mengucapkan syabas atas pelantikan Pak Herman sebagai Duta Besar Indonesia ke Malaysia dan selamat datang. Semoga pelantikan itu dapat mengukuhkan lagi hubungan mesra antara KBRI dan PAPTI selepas ini.
Share:

Salam Aidilfitri daripada kami...

PRESIDEN DAN SELURUH AHLI MAJLIS PERSATUAN ALUMNI PENDIDIKAN TINGGI INDONESIA (PAPTI) MENGUCAPKAN SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI KEPADA SEMUA AHLI PAPTI SERTA ALUMNI INSTITUSI PENGAJIAN TINGGI INDONESIA SERTA SELURUH PELAJAR MALAYSIA YANG SEDANG MENUNTUT DI INDONESIA.

MOHON MAAF ZAHIR DAN BATIN.
BERHATI-HATI DI JALAN RAYA KETIKA MEMANDU PULANG KE KAMPUNG HALAMAN.


Share:

Usul tingkat hubungan baik Malaysia-Indonesia disokong

Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir (tengah) mempengerusikan mesyuarat agung tahunan PAPTI di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur hari ini.
KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) hari ini menyokong sebulat suara usul agar pertubuhan itu menjalankan kajian mendalam berhubung persepsi masyarakat terhadap hubungan Malaysia dan Indonesia.

Usul yang dibentangkan Presiden PAPTI, Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir itu mendapat reaksi positif dari kalangan ahli-ahli persatuan yang hadir pada Mesyuarat Agung Tahunan (MAT) PAPTI ke-20 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, di sini hari ini.

Menurut beliau, kajian tersebut perlu dilakukan bagi mengenal pasti punca masalah sehingga wujudnya persepsi yang salah tentang Malaysia di kalangan rakyat negara jiran itu yang mengakibatkan hubungan kedua-dua negara itu kelihatan sentiasa panas.

Katanya, tindakan sesetengah pihak di Indonesia yang mempersoalkan dasar-dasar kerajaan negara ini menunjukkan ada "sesuatu yang tidak kena" dan ia perlu dibuat kajian menyeluruh.

"Kita perlu membuat kajian tentang pokok permasalahan. Apakah benar hubungan Malaysia dan Indonesia tidak baik? Apakah benar kumpulan pendemonstran berbayar yang sengaja mengapi-apikan sesuatu isu? Apakah benar anak muda di Jakarta begitu membenci Malaysia?

"Hal-hal inilah yang memerlukan kajian dan saya percaya PAPTI mempunyai kedudukan yang baik untuk menjalankan tugas ini memandangkan kita semua pernah tinggal dan belajar di Indonesia bahkan ramai kalangan kita terdiri golongan akademik yang berpengalaman dalam menjalankan pelbagai kajian," katanya ketika berucap membentangkang usul tersebut pada MAT PAPTI tersebut.

Di samping itu, PAPTI percaya penghantaran lebih ramai pelajar Malaysia ke Indonesi dalam pelbagai bidang antara langkah yang sesuai untuk mengeratkan hubungan kedua-dua negara.

Katanya, sebagai pelajar yang berpeluang tinggal lebih lama di Indonesia, bergaul dengan rakan-rakan di negara itu serta masyarakat sekeliling, mereka boleh menjadi duta negara untuk menyampaikan maklumat sebenar tentang situasi di negara ini.

Bagi tujuan itu, kerajaan seharusnya menyediakan kemudahan biasiswa atau pinjaman pendidikan yang lebih besar untuk pelajar negara ini melanjutkan pengajian di Indonesia dan tidak terlalu bergantung kepada agensi swasta yang lebih mementingkan keuntungan berbanding kepentinganh sosiopolitik kedua-dua negara.


Share:

Wujudkan banyak Dewan Malaysia di Indonesia

BEBERAPA pelajar Malaysia yang menuntut di Indonesia merakamkan ketidakselesaan dengan harga barang yang naik mendadak terutama makanan dan sewa rumah.

Suasana Indonesia bukan macam dahulu lagi kerana pertumbuhan ekonomi yang memberangsangkan telah memberi impak kepada ketumbuhan ekonomi yang dengan sendirinya harga barang keperluan juga meningkat naik.

Bayangkanlah sewa rumah di bandar besar seperti Jakarta, Bandung, Bali, Medan dan lain-lain tempat ramai penuntut kita bukan sahaja terpaksa membayar sewa rumah secara tahunan tetapi sewaannya kini agak mahal mencecah puluhan juta rupiah atau hampir RM3,000 seorang.

Kadar sewa ini pula sentiasa dinaikkan oleh pemilik rumah sehingga membebankan penyewa.
Makanan juga mahal berbanding di negara kita Malaysia. Sarapan pagi di Malaysia cukup dengan RM4 tetapi di sana kadangkala hingga mencecah RM7 atau RM8.

Begitu juga makan tengah hari atau pun malam sememangnya mahal berbanding di Malaysia.
Kadangkala pelajar kita sengaja memakai pakaian mengikut fesyen Indonesia semata-mata bagi kemudahan membeli barang dengan mengharapkan dapat harga yang lebih murah tetapi dengan syarat kenalah bertutur mengikut dialek orang tempatan.

Jika di England kita ada Malaysia Hall kepada semua pelajar, pekerja dan pelancong kenapa tidak diwujudkan lebih banyak Malaysia Hall Indonesia yang menyediakan hidangan Malaysia yang murah.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN
JAMALULLAIL
Ampangan,
Seremban

~ Sumber: Forum Pembaca Utusan Malaysia 14 Jun 2012
Share:

YDP Yadim graduan pertama terima PhD UIN Suska Riau

KUALA LUMPUR: Yang  Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah  Malaysia (Yadim) Datuk  Aziz Jamaludin Mhd Tahir (gambar) mencatat sejarah tersendiri apabila menjadi  graduan pertama memperoleh ijazah Doktor  Falsafah (Ph.D) dari Universiti Islam Negeri  Sultan Syarif Kasim Riau  (UIN Suska Riau) baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan Yadim, dengan memperoleh predikat kelulusan Cemerlang (Comloude)  3.67, beliau secara rasminya meraih  gelaran Doktor dalam bidang Perundangan Islam (Hukum Islam).

Beliau berjaya menyelesaikan  pengajian itu tidak sampai tiga tahun meskipun sibuk dengan tugasnya sebagai Yang Dipertua Yadim  serta penglibatan dalam aktiviti  pendakwahan.

Pada majlis Promosi Perdana  Program Doktor pada Pascasarjana  UIN Suska Riau minggu lalu yang  dihadiri lebih 150 undangan, Aziz  berjaya mempertahankan disertasi  beliau bertajuk Pemikiran Hasan al-Banna Tentang Siyasah Syar‘iyyah  dan Aplikasinya Dalam  Sistem Pemerintahan.

Menurut kajian beliau, pemikiran Hasan  al-Banna mempunyai  kesan dan pengaruh  yang besar terhadap gerakan Islam di Mesir  khususnya dan di dunia  Islam umumnya.

Aziz mempertahan kan hujah itu di hadapan barisan  para penilai  yang terdiri daripada  Prof. Dr. M. Nazir (Rektor UIN Suska  Riau), Prof. Dr. H. Said Aqil al-Munawwar (mantan Menteri Agama Indonesia), Prof. Dr. Mahdini, Prof.  Dr. H. Alaidin Koto, Prof. Dr. Zikri  Darussamin, Prof. Dr. H. Sudirman  M. Johan dan Dr. Zulkayandri. - Utusan Malaysia 27 Mac 2012
Share:

Mohd Noh Dalimin Pengerusi MPM

NAIB Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin telah dilantik sebagai Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia bagi tempoh selama tiga tahun mulai 9 Disember 2011.

Surat Cara perlantikan beliau telah ditandatangani oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Wathiqu Billah Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah.

Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang ditubuhkan pada 1 Februari 1980 di bawah Akta Majlis Peperiksaan Malaysia (1/8)Akta 225(3/8) ialah sebuah badan berkanun yang beroperasi di bawah naungan Kementerian Pelajaran Malaysia.

Majlis perasmian penubuhan MPM telah disempurnakan oleh Menteri Pelajaran Malaysia pada ketika itu, iaitu YB Dato” Musa bin Hitam pada 22 April 1980.

Matlamat penubuhan MPM adalah untuk mengelolakan peperiksaan-peperiksaan tertentu dan semua perkara lain yang perlu atau bersampingan dengan peperiksaan-peperiksaan itu.

Selain itu, penubuhan MPM juga bertujuan untuk merealisasikan pengendalian peperiksaan dalam Bahasa Malaysia sepenuhnya.

Hal ini bersesuaian dengan pelaksanaan dasar menggunakan Bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar dalam sistem pendidikan negara dari peringkat pendidikan rendah hingga peringkat pendidikan prauniversiti, iaitu tingkatan enam.

Antara aktiviti yang dilaksanakan oleh MPM dalam mengendalikan peperiksaan adalah seperti menyediakan peraturan dan skema peperiksaan, mengkaji, mengemaskinikan, dan menggubal sukatan pelajaran peperiksaan, menggubal dan menyediakan kertas soalan dan bahan peperiksaan, menyelaraskan pendaftaran calon peperiksaan serta menyelaraskan pengendalian peperiksaan dan pemarkahan skrip jawapan calon.

Seluruh AHLI MAJLIS PAPTI dan ahli-ahli pertubuhan mengucapkan tahniah kepada Profesor Dato’ Dr Mohd Noh Dalimin atas lantikan tersebut.
Share:

Al-Fatihah... Mantan auditor PAPTI meninggal dunia


MANTAN juruaudit dalaman Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Syed Mohamad Syed Hasan, 62, meninggal dunia pagi ini di rumahnya di Taman Melewar, Gombak, Kuala Lumpur.

Allahyarham yang sebelum ini aktif dalam PAPTI termasuk sentiasa menghadiri majlis-majlis anjuran PAPTI dilaporkan meninggal dunia akibat serangan jantung. 

Isterinya, Saribah Salleh dipetik dari Harakah Daily berkata, Allahyarham kelihatan agak lemah sekitar 8 pagi sebelum beliau disahkan meninggal dunia setengah jam kemudian.

Allahyarham merupakan petugas di Pejabat Agung Pas dan menjadi juruaudit dalaman PAPTI bagi sesi 2009-2011.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gombak selepas solat Jumaat.
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog