Dua graduan perubatan dari Malaysia paling cemerlang di Ukrida

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, November 03, 2011
JAKARTA, 3 Nov (Bernama) — Dua graduan perubatan dari Malaysia Dr Mohd Zafrullan Zamberi dan Dr Muhammad Nasum Abdul Kuthosee muncul mahasiswa paling cemerlang Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida) di sini untuk kumpulan doktor Angkatan ke-82 universiti itu.

Mereka masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua daripada tiga penerima Anugerah Cum Laude, iaitu penghargaan tinggi universiti kepada mahasiswa berprestasi cemerlang yang memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 dan ke atas dalam pengajian.

Dr Mohd Zafrullan menamatkan pengajian dengan PGNK 3.58 manakala Dr Muhammad Nasim pula dengan PGNK 3.54. Penerima ketiga anugerah itu ialah seorang mahasiswa dari Indonesia yang mendapat PGNK 3.51.

Sebagai mahasiswa paling cemerlang, kedua-dua pelajar itu diberi penghormatan mendahului senarai 120 graduan perubatan Ukrida pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan ke-82, di universiti itu baru-baru ini.

Sejumlah 26 graduan dari Malaysia, mengangkat sumpah sebagai doktor perubatan pada majlis itu.  - Bernama