Pelajar kita di Malang dibunuh ketika halang motosikalnya dicuri

JAKARTA, 8 Nov (Bernama) — Seorang pelajar Malaysia mati dibunuh ketika  cuba menghalang seorang lelaki mencuri motosikalnya di luar rumahnya di bandar Malang, Jawa  Timur, malam tadi.

Maklumat awal berdasarkan laporan Persatuan Kebangsaan Pelajar Malaysia di  Indonesia, pelajar itu dikenali sebagai Adrian Jay Pereira, penuntut Fakulti Perubatan di Universiti Brawijaya, Malang.

Dalam kejadian yang dipercayai berlaku pada 7 malam itu, Pereira dilaporkan ditetak dengan senjata tajam oleh pencuri berkenaan dan mati di tempat kejadian.

Education Malaysia (EM) (dahulu Jabatan Penuntut Malaysia) di Indonesia  sedang mendapatkan butiran rasmi mengenai kejadian itu daripada pihak polis  Indonesia dan menguruskan pengiriman pulang mayatnya ke Malaysia.

Pereira berasal dari Klang, Selangor.

Atase Pendidikan Malaysia di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta, Ludinata  Misnun, telah berlepas ke Malang dengan pesawat paling awal hari ini.

Seramai 173 pelajar Malaysia kini menuntut di Malang, dan daripada jumlah itu, 161 belajar di Universiti Brawijaya. - Bernama Online
Share:

Dua graduan perubatan dari Malaysia paling cemerlang di Ukrida

JAKARTA, 3 Nov (Bernama) — Dua graduan perubatan dari Malaysia Dr Mohd Zafrullan Zamberi dan Dr Muhammad Nasum Abdul Kuthosee muncul mahasiswa paling cemerlang Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida) di sini untuk kumpulan doktor Angkatan ke-82 universiti itu.

Mereka masing-masing menduduki tempat pertama dan kedua daripada tiga penerima Anugerah Cum Laude, iaitu penghargaan tinggi universiti kepada mahasiswa berprestasi cemerlang yang memperoleh Purata Gred Nilai Kumulatif (PGNK) 3.50 dan ke atas dalam pengajian.

Dr Mohd Zafrullan menamatkan pengajian dengan PGNK 3.58 manakala Dr Muhammad Nasim pula dengan PGNK 3.54. Penerima ketiga anugerah itu ialah seorang mahasiswa dari Indonesia yang mendapat PGNK 3.51.

Sebagai mahasiswa paling cemerlang, kedua-dua pelajar itu diberi penghormatan mendahului senarai 120 graduan perubatan Ukrida pada Majlis Pelantikan Doktor Angkatan ke-82, di universiti itu baru-baru ini.

Sejumlah 26 graduan dari Malaysia, mengangkat sumpah sebagai doktor perubatan pada majlis itu.  - Bernama
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog