Usahakan MBMMBI bersungguh-sungguh, hentikan polemik PPSMI

Masih ada pihak-pihak tertentu yang terus mempertikaikan keputusan Kerajaan Malaysia menghapuskan PPSMI. Mereka bukan sahaja berusaha menghidupkan kembali PPSMI, malah mereka mahu kerajaan mewujudkan sekolah kebangsaan aliran bahasa Inggeris. Kedua-dua Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris amat penting; justru itu program MBMMBI perlu diusahakan bersungguh-sungguh tanpa berbelah bahagi.

Berikut ialah rencana yang disiarkan dalam Utusan Malaysia pada 25 Oktober 2011 yang telah diedit:

Hormati ketetapan, hentikan polemik PPSMI

Oleh DR. SHAMSUL BAHAR ABDUL KADIR
PENULIS ialah Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)

ISU Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sewajarnya tidak perlu dijadikan polemik oleh semua pihak kerana kami percaya keputusan menghentikan pelaksanaan PPSMI dibuat berlandaskan kajian yang mendalam oleh pihak kerajaan.

Kami percaya keputusan yang dibuat Kementerian Pelajaran itu selepas mengambil kira suara ibu bapa di semua peringkat dan kawasan, pandangan guru-guru di sekolah-sekolah bandar serta luar bandar di samping para cendekiawan, akademik dan orang perseorangan yang arif dalam bidang tersebut. Maka adalah tidak wajar jika ada pihak-pihak tertentu yang mendesak PPSMI dilaksanakan semula dengan mengambil pandangan sebelah pihak sahaja.

Sebagai pertubuhan yang menghimpun rakyat Malaysia yang pernah melanjutkan pelajaran di institusi-institusi pengajian tinggi (IPT) di Indonesia sejak tahun 1950-an hingga kini, Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) amat menyokong langkah kerajaan menggantikan PPSMI dengan dasar Memartabat Bahasa Melayu dan Memperkasa Bahasa Inggeris (MBMMBI) yang selari dengan Dasar Pendidikan Negara.

Kami percaya walaupun mempelajari Matematik dan Sains atau lain-lain mata pelajaran dalam bahasa Malaysia sekalipun, kita masih berupaya untuk melahirkan anak-anak dan barisan generasi muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang ilmu.

Sebagai contoh, sebahagian besar ahli-ahli persatuan kami yang mendapat pendidikan awal di peringkat sekolah rendah dan menengah mengunakan bahasa pengantar bahasa Malaysia termasuk mata pelajaran Sains dan Matematik. Kami seterusnya berjaya melanjutkan pelajaran kami dalam pelbagai bidang termasuk sains dan teknologi, kejuruteraan atau perubatan di IPT-IPT di Indonesia yang bahasa pengantarnya adalah bahasa Indonesia sepenuhnya.

Mereka yang telah lulus dan kembali ke tanah air berjaya membuktikan bahawa bahasa bukan penghalang untuk mencipta kecemerlangan dalam kerjaya masing-masing. Malahan ramai di kalangan kami yang berjaya melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi dalam bidang sains dan teknologi di universiti-universiti terkemuka di negara Barat seterusnya mendapat kelulusan cemerlang dalam bidang masing-masing.

Mereka yang berkelulusan dalam bidang kejuruteraan dan perubatan pula berjaya meningkatkan pencapaian mereka dengan memperoleh kelayakan profesional dan menjadi doktor pakar yang di peringkat antarabangsa. Ada yang sudah menjadi naib canselor di IPTA-IPTA terkemuka, ada yang menjadi pakar-pakar dalam pelbagai bidang perubatan, pegawai-pegawai tertinggi dalam syarikat korporat di samping ahli-ahli politik yang berjaya.

Sebut sahaja nama-nama besar seperti Tan Sri Dr. Salleh Mohd. Yassin, Prof. Emeritus Datuk Abu Bakar Hamid, Prof. Dato' Dr. Mohd Noh Dalimin (akademik), Datuk Dr. Abdul Latiff Awang, Prof. Emeritus Dato' Dr. Mohammad Yahaya atau nama-nama seperti Dato' Abdul Rahman Daud (korporat), Dato' Ir. Abdul Hak Amin (korporat), Datuk Dr. Asmah Omar, dan Dr. Siti Zainon Ismail (sosiobudaya). Mereka ini telah membuktikan bahawa mempelajari Sains dan Matematik dalam bahasa Malaysia di peringkat sekolah dan bahasa Indonesia di peringkat universiti bukan penghalang untuk mencapai prestasi cemerlang dalam bidang masing-masing.

Jika berlandaskan sejarah pula, bahasa Malaysia sudah ditetapkan sebagai bahasa perpaduan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Selepas kejadian berdarah 13 Mei 1969, kajian yang dilakukan oleh pakar-pakar menyatakan satu bahasa perpaduan perlu ditetapkan dan sejak itu kerajaan tekun melaksanakan perubahan di mana sekolah-sekolah berbahasa pengantar Inggeris ditukar ke bahasa Malaysia secara berperingkat-peringkat.

Perlu diambil perhatian bahawa gambaran yang dikemukakan kepada umum bahawa PPSMI hanya melibatkan dua mata pelajaran sahaja sehingga tidak menukarkan dasar bahasa Malaysia sebagai bahasa pengantar adalah tidak tepat. Ini kerana apabila dua mata pelajaran tersebut diajarkan dalam bahasa Inggeris di peringkat sekolah menengah, ia akan meningkat kepada lebih 80 peratus apabila memasuki tingkatan empat. Apalagi apabila sampai ke peringkat universiti di mana hampir semua IPT di negara ini menggunakan bahasa Inggeris khususnya untuk bidang-bidang profesional.

Apabila ini berlaku maka hasrat memperkasa bahasa Malaysia sebagai bahasa ilmu tinggal impian belaka. Istilah baharu dalam bidang sains, teknologi, perubatan, pergigian, kejuruteraan dan lain-lain tidak perlu lagi dicipta manakala istilah yang sedia tercipta tidak lagi digunakan. Buku juga tidak akan ditulis dan diterbitkan.

Perbincangan awam pun dalam bidang-bidang alam sekitar, kesihatan, pembangunan manusia, ekonomi, kewangan dan lain-lain tidak akan dapat dijalankan dalam bahasa Malaysia kerana istilah baharu tidak dicipta dan penggunanya pula tidak lagi fasih menggunakan bahasa Malaysia.

Ahli-ahli Parlimen juga akan mendapati sukar membincangkan isu-isu semasa dalam bahasa Malaysia ketika sidang Parlimen. Oleh kerana terlalu sering memohon "dengan izin" apabila mahu menggunakan istilah Inggeris, tidak mustahil akhirnya nanti mereka dibenarkan menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya.

Selanjutnya para wartawan pun akan mendapati sukar untuk membuat liputan persidangan Parlimen dan lain-lain persidangan dalam bahasa Malaysia. Akibatnya akhbar berbahasa Malaysia tidak lagi akan berdaya maju sebagai badan perniagaan. Edarannya tidak cukup besar untuk menampung kos penerbitannya.

Apakah bayangan masa depan kedudukan bahasa Malaysia ini khayalan belaka? Jika sejarah tulisan jawi di Malaysia boleh kita jadikan iktibar, maka kesimpulan ini suatu kemungkinan yang munasabah dan amat menakutkan.

Kami percaya, masalah kelemahan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dan mahasiswa IPT adalah suatu perkara yang serius dan satu penyelesaian munasabah perlu dicari untuk mengatasinya. Mengajar Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris bukan kaedah yang telah teruji di mana-mana pun untuk menyelesaikan masalah ini sebaliknya kaedah mengajar bahasa - apa sahaja bahasa sekalipun termasuk bahasa Inggeris - perlu dikaji semula.

Banyak hal yang perlu dilihat untuk memantapkan penguasaan bahasa Inggeris di peringkat sekolah antaranya tahap kemahiran para guru, korikulum yang sedia ada, alat bantu mengajar yang mencukupi, suasana pembelajaran dan lain-lain.

Kaedah yang telah teruji meningkatkan kemahiran bahasa ialah melalui pembacaan. Justeru, penekanan terhadap pembacaan bahan-bahan kesusasteraan atau karya besar dalam bahasa Inggeris akan jauh lebih berkesan daripada mengajar Sains dan Matematik dalam bahasa tersebut.

Kami mengharapkan agar kerajaan tidak lagi berganjak daripada keputusan menghapuskan PPSMI, seterusnya melaksanakan MBMMBI dengan bersungguh-sungguh serta tidak tunduk terhadap mana-mana pihak yang berusaha untuk menghidupkan PPSMI atau mahupun melahirkan semula sekolah kebangsaan berbahasa pengantar Inggeris.
Share:

Himpunan Sejuta Umat: Alumni Indonesia turut menyokong


KUALA LUMPUR 21 Okt. – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) hari ini menyatakan sokongan mereka terhadap Himpunan Sejuta Umat (Himpun) yang akan diadakan di Stadium Shah Alam petang esok.

Sehubungan itu, Presidennya, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir menggesa ahli-ahli persatuan itu agar menyertai perhimpunan tersebut kerana ia penting bagi membuktikan keutuhan dan kekuatan umat Islam di negara ini masih menebal.

"Kami percaya Himpun dapat menyampaikan mesej yang jelas kepada semua pihak baik kawan maupun lawan, termasuk mereka di luar negara agar tidak memecah-belahkan umat Islam di negara ini dan bahawa kita masih teguh bersatu serta sanggup mempertahankan agama yang kita junjung.

"Islam adalah agama negara ini, biarlah umat Islam menguruskan hal ehwal Islam di Malaysia tanpa campur tangan pihak luar,” katanya di sini hari ini.

PAPTI merupakan persatuan yang menghimpunkan rakyat Malaysia yang pernah mendapat pendidikan di institusi-institusi pengajian tinggi di Indonesia. - Utusan Online 21.10.2011
Share:

Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihat tidak terpancing provokasi

JAKARTA 13 Okt. - Pelajar Malaysia di Indonesia dinasihatkan supaya tidak bertindak balas terhadap provokasi oleh beberapa pihak ekoran tercetusnya semula isu sempadan melibatkan kedua-dua negara.

Education Malaysia di Indonesia (dahulunya Jabatan Penuntut Malaysia) yang mengeluarkan nasihat itu berkata, ia bertujuan mengelak keadaan menjadi bertambah buruk.

Atase Pendidikan di Kedutaan Malaysia di Jakarta, Ludinata Misnun, memberi jaminan kepada ibu bapa pelajar bahawa pihak Education Malaysia di Indonesia dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta sedang memantau 24 jam keadaan keselamatan dan kebajikan anak-anak mereka, berikutan  perkembangan terbaru itu.

Katanya, pelajar Malaysia di seluruh Indonesia telahpun diingatkan supaya sentiasa berwaspada ketika berada di luar rumah bagi mengelak diri daripada terheret dalam kancah  pertikaian isu ini.

"Kami mendapat aduan daripada pelajar yang sedang menjalankan latihan amali di hospital bahawa mereka diprovokasi oleh beberapa doktor dan jururawat.

Ada juga aduan pelajar diprovokasi oleh sebahagian pensyarah dan rakan kuliah dari Indonesia.

"Bagi mengelak perkara yang tidak diingini, EM Indonesia telah meminta semua pelajar Malaysia supaya tidak menjawab atau memberi sebarang respons kepada rakyat Indonesia yang  cuba membuat provokasi kepada mereka,” katanya. - Bernama Online
Share:

Mohd Noh Dalimin dilantik semula sebagai Naib Canselor UTHM

BATU PAHAT: Berkuatkuasa 16 Oktober 2011 ini, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) akan menerima pelantikan semula Naib Canselor UTHM untuk tempoh dua tahun bagi perkhidmatan penggal kedua.

Mengulas tentang pelantikan semula ini, Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin mengucapkan rasa terima kasih terhadap kepercayaan tinggi yang diletakkan oleh Kerajaan Malaysia khususnya kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri dan Yang Berhormat Menteri Pengajian Tinggi terhadap beliau untuk terus menerajui UTHM.

Profesor Dato’ Dr. Mohd Noh Dalimin yang juga merupakan anak jati Batu Pahat, Johor adalah merupakan lulusan Ph.D dari Imperial College London. Sepanjang perkhidmatan di Institusi-Institusi Pengajian Tinggi, beliau mula berkhidmat sebagai Pensyarah di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) semenjak 1981.

Sebelum dilantik sebagai Naib Canselor UTHM pada 2008, beliau pernah berkhidmat di Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan telah juga diberi mandat memegang beberapa jawatan utama di dalam Universiti iaitu Dekan, Timbalan Naib Canselor dan Naib Canselor.

“Saya sangat yakin dengan perkembangan UTHM dan saya akan terus berazam di atas kepercayaan yang telah diberikan untuk terus mencemerlangkan UTHM selari dengan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara Fasa 2 dan Pelan Hala Tuju Malaysian Technical University Network (MTUN) 2011-2015” katanya lagi.

Sumber: Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) - 11 Oktober 2011

PRESIDEN  DAN SELURUH AHLI MAJLIS PAPTI MENGUCAPKAN SYABAS DAN TAHNIAH ATAS PELANTIKAN TERSEBUT. SELAMAT MAJU JAYA!  
Share:

Halal Bihalal PAPTI sederhana tapi meriah

PRESIDEN PAPTI, Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir (duduk kanan) bersama sebahagian ahli PAPTI yang hadir pada majlis Halal Bihalal PAPTI, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR: Majlis Halal Bihalal Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) berlangsung sederhana tetapi meriah dengan kehadiran lebih 100 alumni Indonesia dari angkatan 50-an hingga angkatan 2000-an beserta keluarga masing-masing.

Majlis itu berlangsung di Restoran Nelayan, Tasik Titiwangsa Kuala Lumpur pada malam 1 Oktober lalu bukan sahaja mempertemukan rakan-rakan sekuliah, seuniversiti atau seangkatan malahan turut menjalinkan silaturrahim antara generasi lama dan baru dalam PAPTI.

Walaupun pada malam tersebut turut dilangsungkan majlis resepsi perkahwinan di restoran berkenaan di samping para pengunjung restoran makanan laut itu, ia tidak mengganggu para alumni untuk bertemu, berkenalan, bertukar cerita dan mengimbau kenangan lalu ketika melanjutkan pelajaran di Indonesia sambil menikmati bufet steamboat seafood yang disediakan.

Lebih membanggakan ada di antara mereka pertama kali bertemu semula sejak menamatkan pengajian dan kembali ke tanah air manakala tidak ketinggalan yang membawa sama anak-menantu serta cucu-cucu masing-masing.

"Seronok dapat bertemu kawan-kawan lama dan angkatan muda dalam majlis seperti ini. Saya harap PAPTI dapat terus menganjurkan majlis seperti ini. Kalau boleh di tempat-tempat yang lebih sesuai tanpa gangguan daripada pengunjung lain," komen seorang alumni yang hadir.

Rata-rata mereka yang hadir seronok dan gembira dapat bertemu rakan-rakan lama sehingga ada yang tidak mempedulikan makanan di atas meja kerana banyak hal yang mahu dibualkan sambil bergambar bersama dan mereka mengharapkan PAPTI dapat meneruskan program seperti ini lebih kerap.

Berikut antara aksi yang sempat dirakamkan ketika majlis ini berlangsung. Gambar-gambar lain dapat ditatap menerusi Facebook PAPTI di http://www.facebook.com/groups/papti


SEBAHAGIAN alumni Indonesia dari kalangan kaum ibu yang turut hadir memeriahkan majlis.
Foto Ehsan: Dr Ismail Abdullah
Share:

Halal bihalal PAPTI di Restoran Nelayan - 1 Okt 2011

KUALA LUMPUR: SEKITAR Majlis Halal Bihalal PAPTI yang  berlangsung di Restoran Nelayan, Taman Tasik Titiwangsa, Kuala Lumpur pada 1 Oktober 2011. Lebih 100 alumni Indonesia dari angkatan 60-an hingga angkatan 2000-an berserta keluarga masing-masing telah memeriahkan majlis.

Rata-rata mereka yang hadir seronok dan gembira dapat bertemu rakan-rakan lama sehingga ada yang tidak mempedulikan makanan di atas meja kerana banyak hal yang mahu dibualkan sambil bergambar bersama dan mereka mengharapkan PAPTI dapat meneruskan program seperti ini lebih kerap.











Share:

Catatan Popular

Arkib Blog