PAPTI lancar tabung kutip dana beli bangunan

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, September 26, 2011
PETALING JAYA 25 Sept. – Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) menubuhkan satu tabung khas untuk mengumpul dana bagi membolehkan persatuan itu membeli sebuah bangunan pejabatnya sendiri.

Presidennya, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir berkata, usaha itu dilakukan memandangkan sehingga kini PAPTI yang ditubuhkan sejak lebih 35 tahun lalu tidak memiliki pejabat sendiri dan terpaksa ‘beroperasi’ dari rumah ke rumah.

Menurut beliau, buat permulaan tabung tersebut akan dibuka di kalangan ahli PAPTI di seluruh negara yang kini berjumlah lebih 700 ahli yang berdaftar terdiri daripada kalangan profesional dan akademik tempatan yang berkelulusan dari institusi pengajian tinggi (IPT) Indonesia.

Pihaknya juga mengalu-alukan bukan ahli PAPTI, orang perseorangan mahupun korporat yang sudi menyumbang bagi tujuan tersebut.

“Matlamat kami dalam tempoh enam bulan hingga setahun, kami sudah mempunyai dana yang mencukupi iaitu antara RM150,000 hingga RM300,000 untuk membeli sebuah ruang pejabat bagi membolehkan kami beroperasi di sana.

“Pada masa ini kami menggunakan rumah kediaman kami sebagai alamat pejabat PAPTI manakala mesyuarat pula terpaksa diadakan dari rumah ke rumah,” katanya kepada Utusan Malaysia, di sini hari ini.

PAPTI yang ditubuhkan pada 1975, merupakan satu-satunya persatuan berdaftar yang dinaungi oleh rakyat Malaysia yang pernah mendapat pendidikan di IPT Indonesia sejak tahun 1970-an sehingga hari ini.

 Orang ramai yang sedia menghulurkan sumbangan bagi tabung tersebut boleh berbuat demikian menerusi akaun PAPTI iaitu 1215-0010550-05-6 (CIMB Bank) atau menghubungi Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial 019-305 0491 atau emel papti@ymail.com. - Utusan Malaysia/Edisi KL 26.9.2011
Categories: ,