PAPTI rintis penulisan "novel dalam talian"

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Ogos 25, 2011
Blog Kisah-kisah di Indonesia merupakan "novel dalam talian" PAPTI
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang sedang berusaha untuk menerbitkan buku mengenai sejarah dan pengalaman alumni kini merintis penerbitan "novel dalam talian" menerusi blog Kisah-kisah di Indonesia.

Blog yang dikendalikan oleh Dr. Ismail Abdullah itu buat masa kini telah menyiarkan nukilan-nukilan bersiri beberapa alumni antaranya Samsul Kamil Osman, Dr Zalilah Manan dan Nor Aizan Abdul Halim yang menghasilkan karya berdasarkan pengalaman mereka sepanjang melanjutkan pelajar di universiti di Indonesia.

Turut menyumbangkan karya menerusi blog ini ialah budayawan negara, Dr. Siti Zainon Ismail dan penulis novel mapan, AF Yasin yang juga merupakan ahli PAPTI.

Dr. Ismail berkata, semua karya yang disiarkan dalam blog ini akan dikumpul dan disusun sebelum ia diterbitkan dalam bentuk buku.

"Kami amat berbangga memandangkan mereka yang menyumbang karya ini kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dalam penulisan karya sastera dan datangnya dari pelbagai kerjaya. Kami juga berterima kasih kepada Dr. Siti Zainon dan AF Yasin yang banyak membantu menjayakan idea ini," katanya.

Beliau berkata, penerbitan "novel dalam talian" PAPTI ini juga merupakan langkah segera yang diambil bagi menjayakan perancangan PAPTI untuk menerbitkan buku berkisar pengalaman kalangan alumni dan ahli PAPTI sepanjang belajar di Indonesia, khususnya berkaitan hubungan kedua-dua negara.

Ahli  Majlis PAPTI sebelum ini telah bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Tetap Penulisan Perkisahan Sejarah Alumni Indonesia yang dipengerusikan oleh Dr. Siti Zainon bagi tujuan tersebut.

Dr. Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai lagi alumni menyumbang karya-karya mereka untuk diterbitkan di blog Kisah-kisah di Indonesia tersebut.

Katanya, semua hasil karya para alumni boleh dihantar terus kepadanya menerusi emel: isbah88@yahoo.com


Categories: ,