PAPTI ikut serta meriahkan sambutan HUT RI

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) turut memeriahkan resepsi sambutan Ulang Tahun Republik Indonesia ke-66 yang diadakan di Hotel Royale Chulan, di sini pada 18 Ogos lalu.

Majlis anjuran Kedutaan Besar Republik Indonesia (KBRI) di Kuala Lumpur itu dihadiri kira-kira 1,000 tetamu terdiri wakil-wakil kedutaan asing, agensi-agensi kerajaan Indonesia di Malaysia, para pegawai dan wakil agensi kerajaan Malaysia dan wakil-wakil komuniti dan pelajar Indonesia di Malaysia.

Turut hadir Menteri Kebudayaan dan Kesenian Indonesia, Pemangku Duta Besar Malaysia ke Indonesia dan para pegawai kanan KBRI di Kuala Lumpur.

PAPTI diwakili oleh Setiausaha Agungnya, Sdr Lukman Ismail dan Ahli Majlis PAPTI, Sdr Nasaruddin Othman. Majlis yang berlangsung mulai 8 malam itu berakhir kira-kira 10.30 malam.

Antara acara yang diatur termasuk persembahan kebudayaan Indonesia dan pertunjukan fesyen selain hidangan pelbagai juadah dari menu antarabangsa. KBRI turut menyediakan menu khas kepada para tetamu iaitu bakso dan sate iaitu makanan istimewa Indonesia.

Berikut adalah gambar-gambar yang sempat dirakamkan sepanjang majlis resepsi itu berlangsung:

Pertunjukan fesyen menjadi tumpuan pada majlis tersebut.
Persembahan tarian masyarakat Betawi turut dipentaskan.
Persembahan lagu-lagu patriotik di penghujung majlis.
Bakso jadi pilihan anak-anak Indonesia yang rindukan masakan bonda.
Menu istimewa bakso asli Indonesia disediakan kepada tetamu.
* Gambar kurang memuaskan. Rakaman menggunakan telefon E71
Share:

PAPTI rintis penulisan "novel dalam talian"

Blog Kisah-kisah di Indonesia merupakan "novel dalam talian" PAPTI
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) yang sedang berusaha untuk menerbitkan buku mengenai sejarah dan pengalaman alumni kini merintis penerbitan "novel dalam talian" menerusi blog Kisah-kisah di Indonesia.

Blog yang dikendalikan oleh Dr. Ismail Abdullah itu buat masa kini telah menyiarkan nukilan-nukilan bersiri beberapa alumni antaranya Samsul Kamil Osman, Dr Zalilah Manan dan Nor Aizan Abdul Halim yang menghasilkan karya berdasarkan pengalaman mereka sepanjang melanjutkan pelajar di universiti di Indonesia.

Turut menyumbangkan karya menerusi blog ini ialah budayawan negara, Dr. Siti Zainon Ismail dan penulis novel mapan, AF Yasin yang juga merupakan ahli PAPTI.

Dr. Ismail berkata, semua karya yang disiarkan dalam blog ini akan dikumpul dan disusun sebelum ia diterbitkan dalam bentuk buku.

"Kami amat berbangga memandangkan mereka yang menyumbang karya ini kebanyakannya tidak mempunyai pengalaman dalam penulisan karya sastera dan datangnya dari pelbagai kerjaya. Kami juga berterima kasih kepada Dr. Siti Zainon dan AF Yasin yang banyak membantu menjayakan idea ini," katanya.

Beliau berkata, penerbitan "novel dalam talian" PAPTI ini juga merupakan langkah segera yang diambil bagi menjayakan perancangan PAPTI untuk menerbitkan buku berkisar pengalaman kalangan alumni dan ahli PAPTI sepanjang belajar di Indonesia, khususnya berkaitan hubungan kedua-dua negara.

Ahli  Majlis PAPTI sebelum ini telah bersetuju untuk membentuk Jawatankuasa Tetap Penulisan Perkisahan Sejarah Alumni Indonesia yang dipengerusikan oleh Dr. Siti Zainon bagi tujuan tersebut.

Dr. Ismail berkata, pihaknya mengalu-alukan lebih ramai lagi alumni menyumbang karya-karya mereka untuk diterbitkan di blog Kisah-kisah di Indonesia tersebut.

Katanya, semua hasil karya para alumni boleh dihantar terus kepadanya menerusi emel: isbah88@yahoo.com


Share:

Artikel PAPTI dalam Berita Harian

Klik imej untuk besarkan!
Berikut adalah artikel oleh Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) sempena Sambutan Bulan Kemerdekaan yang disiarkan dalam Surat Pembaca, Berita Harian pada 17 Ogos 2011.

Tahniah!
Share:

Pergiat PAPTI: Lima biro dibentuk

Barisan Ahli Majlis PAPTI 2011/2013
DUDUK (dari kiri): Dr Dasrilsyah Syahrial, Hasnah Ismail, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir, Lukman Ismail. BERDIRI: Dr Mokhtar Abu Bakar, Dr Jambari Ali, Zawawi Che Pa, Nasaruddin Othman, Nor Azurah Zakaria, Dr Zuber Hassan, Mohd Saidi Salleh, Abdul Rahman Mat (turut hadir), Dr Ismail Abdullah. TIDAK HADIR: Ir Onn Mohd Yusoff, Prof Dr Abdul Karim Tajuddin
PUCHONG: Ahli-ahli Majlis Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah mengadakan mesyuarat pertamanya sejak dipilih pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 lalu. Mesyuarat diadakan di kediaman Sdr Zawawi Che Pa di Bandar Kinrara, di sini.

Pada mesyuarat tersebut, Presiden PAPTI, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir telah mengumumkan pelantikan Sdr Lukman Ismail sebagai Setiausaha Agung PAPTI manakala Bendahari Agung kekal di bawah Dr. Dasrilsyah Syahrial.

Presiden turut mengumumkan pengesahan pelantikan lima Ahli Majlis Tambahan iaitu Dr. Jambari Ali, Dr. Zuber Hassan, Sdr Nasaruddin Othman, Sdr Mohd Saidi Salleh serta Pn Nor Azurah Zakaria.

Pada mesyuarat tersebut, sebanyak lima biro telah bersetuju dibentuk berdasarkan keperluan persatuan itu. Lima biro yang dibentuk itu ialah Biro Penerbitan dan Publisiti, Biro Sukan, Biro Kebajikan dan Kerjaya, Biro Ekonomi dan Biro Keahlian.

Berikut senarai ketua-ketua biro berkenaan.
1) Biro Kebajikan dan Kerjaya - Pn. Hasnah Ismail (Timbalan Presiden)
2) Biro Penerbitan dan Publisiti  - Sdr. Lukman Ismail (Setiausaha Agung)
3) Biro Sukan - Ir Onn Mohd Yusoff
4) Biro Keahlian - Dr. Zuber Hassan
5) Biro Ekonomi - Sdr Nasaruddin Othman

"Biro-biro ini perlu merancang aktiviti masing-masing yang mahu dilaksanakan sepanjang sesi ini. Ketua-ketua yang dilantik ini diharap dapat menggerakkan biro mereka," kata Dr. Shamsul.

Sebagai contoh, katanya, Biro Kebajikan bukan hanya bertanggungjawab menjaga hal-ehwal kebajikan ahli-ahli PAPTI sedia ada tetapi juga bertanggungjawab membimbing adik-adik yang baru menamatkan pengajian mereka dan baru kembali ke tanah air.

Biro Keahlian pula bertanggungjawab menggerakkan usaha lebih gigih mendaftar ahli-ahli baru terutama di kalangan angkatan 80-an, 90-an dan 2000-an yang kini memasuki pelbagai sektor pekerjaan terutama perubatan, pergigian dan pendidikan.

Selain penubuhan biro-biro tersebut, Presiden PAPTI turut mengumumkan pelantikan Dr. Ismail Abdullah sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hubungan PAPTI-IKAMA dan Dr Siti Zainon Ismail selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Penulisan Perkisahan Sejarah Alumni Indonesia.

Share:

Catatan Popular

Arkib Blog