Sudah tiba generasi muda terajui PAPTI - Presiden

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Julai 17, 2011
Barisan Ahli Majlis sesi 2011/2013 bergambar bersama sebahagian ahli yang menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-19 di Hotel Equatorial Bangi, baru-baru ini. 
BANGI: Presiden Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI), Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir menggesa lebih ramai generasi muda menyertai persatuan itu bagi membolehkan ia bergerak lebih aktif di samping meneruskan kesinambungannya pada masa depan.

Dalam ucapan penggulungan pada Mesyuarat Agung Tahunan ke-19 PAPTI, beliau berkata, usaha yang berterusan perlu dilakukan bagi menarik kalangan alumni lulusan Indonesia terutama angkatan 80-an dan ke atas untuk menyertai PAPTI.

Katanya, sejak akhir-akhir ini beliau melihat semakin ramai kalangan generasi muda terbabit berminat dengan PAPTI hasil usaha berterusan mempromosikan nama persatuan itu menerusi laman sosial Facebook, laman blog dan Yahoo! Group.

"Saya lihat dengan menggunakan media tekini ini, ramai kalangan lepasan institusi Indonesia yang mula tertarik dengan PAPTI. Itu satu perkembangan baik dan kita akan terus memanfaatkan laman-laman sosial untuk memperkenalkan PAPTI terutama di kalangan generasi muda," katanya.

Bagaimanapun, usaha untuk meramaikan generasi muda dalam barisan pucuk pimpinan persatuan itu nampaknya masih belum berhasil apabila kalangan angkatan 60-an dan 70-an terus menguasai barisan Ahli Majlis bagi sesi 2011/2013 yang dipilih pada mesyuarat agung kali ini.

Pemilihan kali ini menyaksikan Dr. Shamsul dipilih sebulat suara untuk kekal menerajui PAPTI bagi tempoh dua tahun akan datang sementara Pn. Hasnah Ismail juga dari angkatan 70-an sebagai Timbalan Presiden PAPTI menggantikan satu-satunya wakil angkatan 80-an, Lukman Ismail yang hanya dipilih sebagai Ahli Majlis.

Turut kekal sebagai Ahli Majlis ialah bekas Setiausaha Agung, Dr. Mokhtar Abu Bakar, bekas Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial,  Dr. Abdul Karim Tajuddin,  Ir. Onn Mohd Yusoff manakala satu-satunya muka baru ialah Zawawi Che Pa.