PAPTI tubuh jawatankuasa tetap hubungan dengan IKAMA

Posted by Alumni Jawa Timur on Isnin, Julai 04, 2011
BANGI: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah bersetuju menubuhkan Jawatankuasa Tetap Hubungan PAPTI dan Ikatan Alumni Indonesia di Malaysia (IKAMA) yang diketuai oleh bekas Presiden PAPTI, Prof. Dr. Ismail Abdullah.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Ahli Majlis yang berlangsung di kediaman Dr. Jambari Ali, di Bandar Baru Bangi di sini, semalam. Jawatan kuasa ini yang akan turut dianggotai oleh wakil IKAMA bertujuan merancang pelbagai aktiviti bersama bagi meningkatkan hubungan kedua-dua negara amnya dan ikatan PAPTI dan IKAMA khususnya.

Dr. Ismail berkata, hubungan antara PAPTI dan IKAMA ibarat irama dan lagu yang tidak dapat dipisahkan memandangkan kedua-duanya ibarat saudara kembar tetapi lahir di tempat berbeza kerana PAPTI menggabungkan semua rakyat Malaysia yang pernah belajar di Indonesia, sementara IKAMA pula menggabungkan semua rakyat Indonesia yang pernah belajar di Malaysia.

"Langkah pertama jawatankuasa ini ialah untuk menjayakan Seminar Serantau Sains dan Teknologi di Universiti Pandjajaran, Bandung pada bulan Jun 2012," kata beliau yang turut dibantu oleh Dr. Jambari Ali selaku timbalan pengerusi jawatankuasa itu.

Seminar itu akan melibatkan semua negara yang bergabung dalam ASEAN dan menggunakan Bahasa Melayu sepenuhnya dalam pembentangan kertas kerja.

Pihak IKAMA pula mempunyai wakil di Jakarta iaitu Dr. Tiena Amran (kini bertugas di Universiti Trisaki dan Al-Azhar), di Bandung diwakili oleh Dr. Sri Fatimah (bertugas di Universiti Pandjajaran, Bandung) dan Dr. Widayati (kini bertugas di Universiti Pembangunan Veteran Nasional, Jogjakarta).

Ahli-ahli PAPTI dipelawa untuk memberikan pandangan dan buah fikiran berhubung hubungan antara PAPTI-IKAMA dengan menghubungi Dr. Ismail di talian 019-3860824 atau emel: isbah88@gmail.com