Dieng: JPM pantau keselamatan pelajar Malaysia

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Jun 02, 2011
Seorang sukarelawan memantau Kawah Timbang  di kawasan Gunung Berapi Dieng. - Foto: Media Indonesia
JAKARTA 2 Jun — Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) Indonesia bertindak memantau dengan lebih dekat keadaan pelajar Malaysia di Jawa Tengah dan Yogyakarta berikutan perkembangan terbaru semburan gas beracun karbon dioksida (CO2) dari Kawah Timbang kawasan dataran tinggi Gunung Berapi Dieng, walaupun jarak penempatan mereka jauh dari tempat kejadian.

Pengarah JPM Indonesia, Datuk Paduka Dr Junaidy Abu Bakar berkata ketika ini hanya satu kawasan penempatan penuntut Malaysia di daerah Magelang yang diletakkan sebagai kawasan berjaga-jaga daripada bahaya gas itu.

"Keadaan sekarang masih selamat. Jarak Kawah Timbang itu dengan Solo ialah 136 kilometer, dengan Yogyakarta 108 kilometer, dengan Magelang 68 kilometer dan dengan Secang 79 kilometer.

"Saya telah mengarahkan pelajar-pelajar di sana untuk berjaga-jaga dan MSD akan menyediakan pengangkutan segera untuk memindahkan 65 pelajar Malaysia dari Pesantren Sirajul Mukhlasin, Secang, Magelang itu ke Solo, jika muncul tanda-tanda bahaya dan pihak berkuasa telah mengeluaran amaran,” katanya.

Dr Junaidy berkata pihak berkuasa tempatan sekitar kawasan Kawah Timbang kini dalam keadaan berjaga-jaga.

JPM pernah memindahkan penuntut Malaysia dari pesantren itu sebanyak dua kali, iaitu ke Solo dan Jakarta, ketika bencana letusan Gunung Merapi tahun lalu.

Sejak tiga hari lepas, penduduk di kawasan radius 1 kilometer dari Kawah Timbang diarah berpindah apabila CO2 yang tinggi kepekatannya dikesan di kawasan itu.

Pada 1979, seramai 149 orang meninggal dunia dipercayai akibat terhidu gas beracun dari Kawah Timbang yang dikenali sebagai “tragedi Sinila”. Dieng adalah kawasan dataran tinggi di Jawa Tengah, yang meliputi daerah Banjarnegara dan Wonosobo.

Kawah gunung berapi yang terdapat di Dieng ialah Sileri, Sinila, Siglagah, Condrodimuko, Sikidang dan Timbang. - Bernama, 2 Jun 2011