Ekspo Pendidikan Tinggi Indonesia di PWTC 20-22 Mei 2011

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Mei 19, 2011
KUALA LUMPUR: Kerajaan Indonesia yakin penganjuran Ekspo Pendidikan Tinggi yang bermula Jumaat hingga Ahad ini akan membuka minda dan pilihan lebih luas kepada pelajar tempatan untuk melanjutkan pelajaran ke negara berkenaan.

Penasihat Kedutaan Indonesia, Suryana Sastradiredja berkata, program pertama anjuran bersama Kementerian Pengajian Tinggi itu akan disertai 22 institusi pengajian tinggi (IPT) dari Indonesia.

Beliau berkata, pihaknya akan menempatkan pelbagai universiti, politeknik dan khidmat perunding pendidikan negara itu pada ekspo di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) bagi membolehkan pengunjung membuat pilihan terbaik.

"Kita menyasarkan golongan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dari seluruh negara akan mengunjungi ekspo ini," katanya pada sidang akhbar di Kedutaan Indonesia di sini, hari ini.

Suryana memberitahu, orang ramai boleh mengunjungi ekspo tersebut bermula pukul 2 petang sehingga pukul 6 petang Jumaat ini manakala pada Sabtu dan Ahad pula, ekspo tersebut akan bermula seawal pukul 10 pagi.

Mengulas lanjut beliau berkata, setakat ini, kira-kira 6,000 pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran di Indonesia dan sebahagian besar daripada mereka mengambil bidang kedoktoran, pergigian dan farmasi.

"Sebenarnya, Indonesia juga menawarkan pelbagai bidang pengajian termasuk Kejuruteraan Mekanikal, Pertanian dan Teknologi Marin," ujarnya.

Beliau berkata, dengan adanya ekspo seumpama itu, kemasukan pelajar Malaysia dijangka meningkatkan sekurang-kurangnya 20 peratus untuk sesi pengajian akan datang.

Katanya, ini adalah selari dengan bilangan pelajar Indonesia iaitu kira-kira 15,000 orang yang mengikuti pengajian tinggi di Malaysia kini. - Utusan Online 19 Mei 2011

TAMBAHAN INFO:

Institusi-institusi pengajian tinggi Indonesia yang mengambil bahagian dalam ekspo ini ialah:
  1. Institut Pertanian Bogor
  2. Institut Manajemen Telkom
  3. Institut Teknologi Bandung
  4. Institut Teknologi Sepuluh November
  5. Universitas Achmad Dahlan
  6. Universitas Andalas
  7. Universitas Diponegoro
  8. Universitas Dr. Moestopo Beragama
  9. Universitas Hasanuddin
  10. Universitas Indonesia
  11. Universitas Islam Negeri Syarif Hidayatullah
  12. Universitas Muhammadiyah Surakarta
  13. Universitas Negeri Yogyakarta
  14. Universitas Padjadjaran
  15. Universitas Parahyangan
  16. Universitas Pasundan
  17. Universitas Riau
  18. Universitas Sebelas Maret Surakarta
  19. Politeknik Manufaktur Bandung
  20. Universitas Airlangga
  21. Universitas Pendidikan Indonesia
  22. Universitas Muhammadiyah Malang
  23. Universitas Negeri Yogyakarta