Tawaran biasiswa tarik lebih ramai pelajar Indonesia ke Malaysia

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, April 22, 2011
JAKARTA 10 Feb. - Dalam usaha menarik rakyat Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia, kerajaan menawarkan pelbagai pelan biasiswa kepada bakal siswazah dari negara jiran itu.

Tawaran biasiswa itu merupakan insentif yang dijangka membuka ruang yang lebih luas bagi menarik kemasukan yang lebih besar pelajar antarabangsa di Malaysia.

Selain pelan biasiswa, pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) juga menjadi tarikan buat rakyat Indonesia untuk memilih melanjutkan pengajian di Malaysia.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Vanitha Mohan, tawaran itu akan diberikan kepada mana-mana rakyat Indonesia yang berkelayakan dan memenuhi syarat serta berhasrat menyambung pengajian di mana-mana universiti di Malaysia.

"Tawaran ini merupakan pendekatan yang sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pameran pendidikan Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 di sini, hari ini.

Pameran Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Nasional Indonesia bermula hari ini sehingga 12 Februari ini.

Vanita memberitahu, Kementerian Pengajian Tinggi yang menyokong pameran itu turut membuka ruang pameran pendidikan yang diwakili oleh 12 buah universiti Malaysia.

Sehingga kini, hampir 10,000 rakyat Indonesia berada di Malaysia untuk melanjutkan pengajian di pelbagai universiti.

Menjelang 2015, negara mensasarkan kemasukan 150,000 pelajar antarabangsa dari seluruh dunia yang sekali gus untuk menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Sehubungan itu, Vanitha berkata, divisyen Education Malaysia yang bertanggungjawab memasarkan sistem pendidikan negara berharap pameran yang disertai kali kedua itu akan menarik minat lebih ramai rakyat Indonesia.

"Kita gembira kerana selama ini rakyat Indonesia sudah sedia maklum mengenai tahap kualiti pendidikan yang ditawarkan di Malaysia.

"Kerana itu, kita akan terus mempromosikan pendidikan Malaysia di Indonesia biarpun pada masa sama kita harus berhadapan dengan persaingan yang sengit dari negara-negara luar yang lain," katanya. - Utusan 10/2/2011