SIRIM perkenal teknologi cuka di Makasar

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, April 22, 2011

SHAH ALAM 21 April - SIRIM Bhd. (SIRIM) melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya memperkenalkan teknologi penghasilan cuka asli kepada komuniti Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Kejayaan itu secara tidak langsung akan membantu usaha membangunkan industri cuka di wilayah itu serta meningkatkan nama Malaysia dalam pembangunan teknologi.

SIRIM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, projek tersebut menggunakan aplikasi teknologi fermentasi untuk menghasilkan cuka daripada nira pokok palma Aren (Arenga vinegar).

Kata kenyataan itu lagi, projek berkenaan dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, SIRIM dan mendapat sokongan peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta kerjasama daripada Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makasar.

''Pelancaran dan penyerahan tauliah projek berkenaan kepada UNHAS telah dilakukan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili pada satu majlis di Makassar, Indonesia hari ini,'' kata kenyataan tersebut.

Turut hadir pada majlis penyerahan tauliah itu ialah Pengerusi SIRIM, Datuk Jamaliah Kamis.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada Program Kerjasama MOSTI - Ujung Padang yang dimeterai sewaktu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Ujung Padang, Makassar pada November 2009.

Program kerjasama itu bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Pokok palma Aren ditanam di daerah Bantaeng, Sulawesi Selatan dengan jumlah produktiviti sebanyak 128,650 batang pokok di kawasan seluas 2,573 hektar.

Tambah kenyataan itu, SIRIM turut membina kilang cuka Aren di Bantaeng, Sulawesi Selatan, Indonesia. Loji cuka Aren mampu menghasilkan produk cuka jernih sehingga 200 liter sehari.

Jelas SIRIM lagi, latihan teknikal untuk pemindahan teknologi penghasilan cuka turut diberikan kepada usahawan tempatan.

Selain itu, SIRIM juga membantu usahawan dalam aspek pelabelan dan pembungkusan produk. - Utusan 21/4/2011