Jalinkan usahawan Malaysia, Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Jumaat, April 22, 2011
BANDUNG 28 Jan. - Malaysia dan Indonesia boleh membantu ASEAN menjadi kuasa ketiga terbesar dalam bidang ekonomi bagi rantau Asia selepas China dan India menerusi jalinan kerjasama usahawan kedua-dua negara.

Timbalan Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah yakin dengan bilangan penduduk melebihi 600 juta orang, pertumbuhan ekonomi rantau ini akan bertambah pesat.

"Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dan Indonesia yang mencatatkan pertumbuhan 51 peratus daripada KDNK ASEAN membolehkan mereka memainkan peranan melonjakkan pertumbuhan ekonomi di rantau ini," katanya kepada pemberita sempena Maybank Semi '10-Seminar Ekonomi Malaysia-Indonesia di sini hari ini.

Seminar itu merupakan program tahunan anjuran Ikatan Setia Kawan Malaysia-Indonesia (Iswami) yang menghimpunkan pengamal media bersama ahli perniagaan kedua-dua negara dalam usaha merangka kerjasama ekonomi serta merapatkan lagi hubungan mereka.

Ahmad Husni percaya dengan kepadatan penduduk yang sedia ada, negara jiran ini mampu mencapai pertumbuhan memberangsangkan bersama Brazil, China dan Rusia.

"Indonesia mempunyai potensi dengan nilai transaksi pembangunan yang besar dari segi skala ekonomi dan jika digabungkan dengan Malaysia, ia akan menjadi tumpuan utama kepada pertumbuhan utama di kawasan ASEAN," tambahnya.

Beliau memberitahu, Malaysia sudah bertapak di Indonesia dalam bidang perkhidmatan kewangan, teknologi maklumat dan petrolium, perladangan dengan penglibatan Malayan Banking dan CIMB hingga berada dalam rangking ke-10 bank terbesar di rantau ASEAN. - Utusan 28/1/2011