PAPTI lanjut kerjasama dengan Tridiva Utama

PAPTI telah melanjutkan jalinan kerjasama dengan Tridiva Utama Sdn. Bhd. iaitu sebuah syarikat yang mengendalikan penghantaran pelajar Malaysia ke universiti-universiti ternama di Indonesia bagi menghantar lebih ramai pelajar ke negara itu.

Presiden PAPTI, Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir berkata, ia adalah lanjutan daripada kerjasama yang telah dijalinkan tahun lalu di mana PAPTI akan bertanggungjawab membantu mencari para pelajar yang berminat untuk melanjutkan pelajaran di Indonesia dan disalurkan menerusi Tridiva Utama.

Menurut beliau, syarikat tersebut akan menguruskan latihan persiapan sebelum menduduki Ujian Masuk Perguruan Tinggi Negeri (UMPTN) yang merupakan prasyarat kemasukan ke universiti-universiti di Indonesia.

Katanya, PAPTI juga akan membantu Tridiva Utama menyediakan khidmat tenaga pengajar bagi membimbing para pelajar terbabit.

"Kami berharap melalui kerjasama ini ia akan dapat membantu menjana kewangan PAPTI di samping menggalakkan lebih ramai pelajar dari negara ini melanjutkan pelajaran mereka ke Indonesia," katanya.

Dr Shamsul berkata, pada masa sama PAPTI juga turut menjalinkan kerjasama dengan sebuah lagi syarikat Alfa Bagan untuk mengendalikan kursus-kursus kepada pelajar yang mahu mengikuti UMPTN Indonesia.

Katanya, melalui kerjasama ini PAPTI yang ahli-ahlinya mempunyai pelbagai latar belakang bidang dan kepakaran membantu memastikan pelajar yang mengikuti kursus tersebut dapat mengikuti ujian berkenaan dengan baik.

Sementara itu Pengarah Urusan Tridiva Utama, Dra. Lien Sundari Soedarso berkata, buat masa kini pihaknya menyediakan tempat-tempat di enam universiti ternama di Indonesia iaitu Universiti Gajah Mada, Universiti Airlangga, Universiti Brawjiaya, Universiti Sumatera Utara, Universiti Padjajaran dan Universiti Andalas.

Beliau berkata, universiti-universiti terbabit membuka pintu kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan, pergigian dan farmasi.

Maklumat lanjut mengenai pengajian di Indonesia, cara memohon dan bayaran yang dikenakan boleh berhubung terus dengan Tridiva Utama di talian  03-40422998 atau mengunjungi laman webnya: http://www.tridivautama.com.my/.

Share:

SIRIM perkenal teknologi cuka di Makasar

SHAH ALAM 21 April - SIRIM Bhd. (SIRIM) melangkah setapak ke hadapan apabila berjaya memperkenalkan teknologi penghasilan cuka asli kepada komuniti Makasar, Sulawesi Selatan, Indonesia.

Kejayaan itu secara tidak langsung akan membantu usaha membangunkan industri cuka di wilayah itu serta meningkatkan nama Malaysia dalam pembangunan teknologi.

SIRIM dalam kenyataan yang dikeluarkan di sini berkata, projek tersebut menggunakan aplikasi teknologi fermentasi untuk menghasilkan cuka daripada nira pokok palma Aren (Arenga vinegar).

Kata kenyataan itu lagi, projek berkenaan dikendalikan oleh Pusat Penyelidikan Bioteknologi Perindustrian, SIRIM dan mendapat sokongan peruntukan daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) serta kerjasama daripada Universitas Hasanuddin (UNHAS), Makasar.

''Pelancaran dan penyerahan tauliah projek berkenaan kepada UNHAS telah dilakukan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Maximus Johnity Ongkili pada satu majlis di Makassar, Indonesia hari ini,'' kata kenyataan tersebut.

Turut hadir pada majlis penyerahan tauliah itu ialah Pengerusi SIRIM, Datuk Jamaliah Kamis.

Projek berkenaan adalah sebahagian daripada Program Kerjasama MOSTI - Ujung Padang yang dimeterai sewaktu lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak ke Ujung Padang, Makassar pada November 2009.

Program kerjasama itu bertujuan mengeratkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

Pokok palma Aren ditanam di daerah Bantaeng, Sulawesi Selatan dengan jumlah produktiviti sebanyak 128,650 batang pokok di kawasan seluas 2,573 hektar.

Tambah kenyataan itu, SIRIM turut membina kilang cuka Aren di Bantaeng, Sulawesi Selatan, Indonesia. Loji cuka Aren mampu menghasilkan produk cuka jernih sehingga 200 liter sehari.

Jelas SIRIM lagi, latihan teknikal untuk pemindahan teknologi penghasilan cuka turut diberikan kepada usahawan tempatan.

Selain itu, SIRIM juga membantu usahawan dalam aspek pelabelan dan pembungkusan produk. - Utusan 21/4/2011
Share:

Tawaran biasiswa tarik lebih ramai pelajar Indonesia ke Malaysia

JAKARTA 10 Feb. - Dalam usaha menarik rakyat Indonesia melanjutkan pengajian di Malaysia, kerajaan menawarkan pelbagai pelan biasiswa kepada bakal siswazah dari negara jiran itu.

Tawaran biasiswa itu merupakan insentif yang dijangka membuka ruang yang lebih luas bagi menarik kemasukan yang lebih besar pelajar antarabangsa di Malaysia.

Selain pelan biasiswa, pelbagai program pengajian yang ditawarkan oleh institusi pengajian tinggi (IPT) juga menjadi tarikan buat rakyat Indonesia untuk memilih melanjutkan pengajian di Malaysia.

Menurut Ketua Penolong Pengarah Kementerian Pengajian Tinggi, Vanitha Mohan, tawaran itu akan diberikan kepada mana-mana rakyat Indonesia yang berkelayakan dan memenuhi syarat serta berhasrat menyambung pengajian di mana-mana universiti di Malaysia.

"Tawaran ini merupakan pendekatan yang sejajar dengan matlamat kerajaan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab kecemerlangan pendidikan," katanya kepada Utusan Malaysia ketika ditemui pada pameran pendidikan Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 di sini, hari ini.

Pameran Kampus-Kampus Tren Jakarta 2011 dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Nasional Indonesia bermula hari ini sehingga 12 Februari ini.

Vanita memberitahu, Kementerian Pengajian Tinggi yang menyokong pameran itu turut membuka ruang pameran pendidikan yang diwakili oleh 12 buah universiti Malaysia.

Sehingga kini, hampir 10,000 rakyat Indonesia berada di Malaysia untuk melanjutkan pengajian di pelbagai universiti.

Menjelang 2015, negara mensasarkan kemasukan 150,000 pelajar antarabangsa dari seluruh dunia yang sekali gus untuk menjayakan matlamat menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan.

Sehubungan itu, Vanitha berkata, divisyen Education Malaysia yang bertanggungjawab memasarkan sistem pendidikan negara berharap pameran yang disertai kali kedua itu akan menarik minat lebih ramai rakyat Indonesia.

"Kita gembira kerana selama ini rakyat Indonesia sudah sedia maklum mengenai tahap kualiti pendidikan yang ditawarkan di Malaysia.

"Kerana itu, kita akan terus mempromosikan pendidikan Malaysia di Indonesia biarpun pada masa sama kita harus berhadapan dengan persaingan yang sengit dari negara-negara luar yang lain," katanya. - Utusan 10/2/2011
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog