PAPTI digesa tarik lebih ramai golongan muda

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Oktober 19, 2010
PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) digesa menarik penyertaan lebih ramai golongan muda menyertai persatuan itu memandangkan pada masa kini kebanyakan ahli PAPTI terdiri daripada kalangan pesara.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-18 di Royal Selangor Club, Bukit Kiara 16 Oktober lalu, barisan kepimpinan PAPTI diminta lebih agresif menarik golongan muda bagi memastikan PAPTI terus hidup subur pada masa depan.

"Setiap kali datang mesyuarat, muka-muka ini sahaja yang ada. Semuanya dah beruban dan bercucu. Ada jugak yang bertongkat macam saya. PAPTI kenalah cari orang-orang muda jangan hanya disertai kita-kita yang dah pencen ni," kata Haji Zulkifli Mahmud yang datang dari Sungai Petani, pada mesyuarat itu.

Kira-kira 500 ahli PAPTI menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan serentak dengan majlis makan malam PAPTI.

Katanya, andai PAPTI dikuasai oleh golongan pesara seperti sekarang agak sukar untuk PAPTI bergerak aktif memandangkan tenaga yang ada agak terhad.

"Biarlah PAPTI digerakkan oleh orang muda dan kita-kita yang dah tua-tua ini menyokong dari belakang," katanya yang turut disokong beberapa lagi ahli lain.

Sementara itu Ahmad Zaini Ismail dari Kuala Lumpur pula mencadangkan supaya PAPTI menggunakan rangkaian teknologi maklumat termasuk rangkaian sosial untuk menarik penyertaan lebih ramai golongan muda.

Katanya, media internet adalah kaedah paling berkesan untuk menarik penyertaan golongan muda serta berhubung dengan para pelajar Malaysia yang masih menuntut di Indonesia.

Sementara itu, Timbalan Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, PAPTI sudah mula menggerakkan usaha untuk menarik penyertaan golongan muda dan hasilnya beberapa muka baru daripada golongan muda telah menghadiri mesyuarat tersebut.

Katanya, ia adalah petanda baik hasil pelbagai usaha yang dilakukan oleh PAPTI sebelum ini termasuk menggunakan rangkaian kumpulan alumni berdasarkan bandar-bandar di seluruh Indonesia untuk menarik rakan-rakan mereka menyertai PAPTI.

Malah katanya, jumlah keahlian di kalangan golongan muda sebenarnya semakin bertambah .

"Walaupun begitu, untuk menarik mereka aktif dalam PAPTI bukan perkara mudah memandangkan mereka semua masih dalam proses membina kerjaya dan sibuk dengan keluarga," katanya.

Majlis makan malam yang diadakan kali ini memberi banyak makna kepada ahli kerana selain ia jarang-jarang mampu dilakukan oleh PAPTI, majlis itu juga telah menemukan kembali rakan-rakan yang sama belajar di Indonesia dahulu.

"Terima kasih PAPTI kerana mengadakan majlis makan malam ini. Sekurang-kurangnya saya dapat bertemu dengan rakan-rakan yang sudah lama tidak berjumpa. Ia benar-benar malam nostalgia," kata seorang ahli PAPTI.

Majlis juga dihiburkan dengan tarian tradisional dari negara jiran itu serta persembahan nyanyian.

(Nota: Gambar-gambar sekitar AGM dan dinner akan menyusul kemudian...)