ITB akan buka kampus di Malaysia

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, Julai 06, 2010
LANGKAWI:  Institut Teknologi Bandung (ITB), Indonesia akan membuka kampus cawangan pertamanya di Malaysia tidak lama lagi.

Naib Dekan Sekolah Akademik, Perniagaan dan Pengurusan ITB, Ir Gatot Yudoko berkata, ITB masih mengenal pasti beberapa lokasi sesuai termasuk di Johor untuk mewujudkan kampus itu.

"Kita masih dalam perbincangan dengan pihak terbabit sebelum memilih lokasi yang sesuai,” katanya pada sidang akhbar semasa menyertai Persidangan Antarabangsa Mengenai Teknologi dan Operasi Pengurusan anjuran bersama Universiti Utara Malaysia (UUM) dan ITB di sini hari ini.

Persidangan tiga hari yang berakhir esok itu dihadiri 82 peserta termasuk 12 dari luar negara iaitu United Kingdom, Kanada, Jordan, Yaman, India, Indonesia dan Pakistan.

ITB terkenal sebagai institusi terkemuka bukan sahaja di rantau ini malah di peringkat antarabangsa kerana melahirkan ramai jurutera terbaik.

Mengenai kerjasama dengan UUM, Gatot berkata ITB akan terus menjalin kerjasama dengan UUM dalam penganjuran persidangan seumpama serta bertukar-tukar maklumat dan pengalaman.

Kedua-dua negara mendapat manfaat daripada persidangan itu dalam usaha memperkasakan pengurusan teknologi dan operasi, katanya.

Menurutnya persidangan itu diadakan secara bergilir-gilir, dan akan diadakan di Bandung pada 2012, selepas diadakan di tempat sama pada 2006 manakala 2010 di Malaysia.

Persidangan itu memberi peluang kepada peserta untuk bertemu, berbincang dan belajar dengan pakar-pakar bidang yang berkaitan di peringkat antarabangsa.

Beliau berkata kerjasama UUM dan ITB adalah satu perkongsian pintar yang penting kepada Malaysia dan Indonesia.  - Bernama 6 Julai 2010