Perkembangan bantuan PAPTI kepada mangsa gempa Padang

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, Oktober 22, 2009
Sejak tertubuhnya tabung bantuan mangsa gempa Padang sudah ada ahli-ahli PAPTI dan mungkin juga yang bukan ahli menderma.

Ada beberapa dermawan yang belum atau tidak memaklumkan siapa mereka itu tetapi telah menderma secara langsung ke dalam akaun PAPTI sama ada melalui mesin bank maupun secara online.

Elok juga kalau yang telah menderma memaklumkan kepada Bendahari PAPTI nama dan jumlah sumbangan mereka untuk rekod kami tetapi bukanlah satu kemestian.

Majlis PAPTI akan menjalankan amanah memastikan derma yang disalurkan melalui PAPTI sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukannya.

Sebagai langkah awal Bendahari Agung telah mewakili PAPTI melawat Sumatera Barat buat beberapa hari dan pada 6 Oktober lalu beliau telah menyampaikan sumbangan PAPTI kepada Rumah Sakit Islam Siti Rahmah Padang, sebuah hospital swasta yang dikendalikan oleh Yayasan RSI Siti Rahmah.

Hospital ini tidak terjejas oleh bencana alam yang melanda Padang baru-baru ini dan menjadi tumpuan mereka yang menjadi mangsa bencana sehingga menjadi penuh sesak sehingga ada pesakit yang dirawat melimpah ke luar ruangan wad hospital.

Sumbangan awal yang telah disampaikan tersebut berupa ubat-ubatan (bernilai lebih dari RM800) dan wang tunai sebanyak RM2,000. Masih ada derma yang diterima PAPTI yang belum diagihkan dan akan dilaksanakan dalam peringkat berikutnya - di mana kami mencadangkan melanjutkan kutipan derma sehingga terkumpul sekurang-kurangnya RM10,000.

PAPTI akan menghantar lagi wakil-wakil ke Sumatera Barat,dan adalah dalam rancangan kami untuk mengenal pasti sebuah sekolah yang terkena bencana untuk dijadikan sebagai tumpuan bantuan PAPTI selanjutnya.

Sekian dulu berita setakat ini dan berita selanjutnya dan yang lebih lengkap akan menyusul kemudian.

Sekali lagi kami mengalu-alukan sumbangan dari ahli maupun kawan-kawan yang lain agar rancangan kami untuk memberi bantuan secara lebih berkesan dan berjangka panjang tercapai.

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir
Presiden PAPTI