Ahli Majlis PAPTI kunjungi Dubes Indonesia

Tan Sri Da'i Bachtiar (empat dari kiri) bergambar bersama Ahli-ahli Majlis PAPTI (dari kanan), Pn Rohana Kassim, Dr. Jambari Ali, Mohd. Safian Abdul Rahman, Lukman Ismail, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir, Dra. Lien Sundari Soedarso dan atase pendidikan Indonesia ke Malaysia di pejabatnya, di Kuala Lumpur.
AHLI Majlis PAPTI yang diketuai Presidennya, Dr. Shamsul Bahar Abd. Kadir hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar di pejabatnya, di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Pertemuan selama lebih satu jam itu adalah sebagai program memperkenalkan barisan Ahli Majlis yang baru di samping membincangkan pelbagai hal berkaitan kedua-dua negara terutama berkaitan penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia, atau sebaliknya.

Selain Dr. Shamsul turut serta ialah Timbalan Presiden, Lukman Ismail; Penolong Setiausaha Agung, Mohd. Safian Abdul Rahman dan ahli-ahli majlis iaitu Dr. Jambari Ali, Dra. Lien Sundari Soedarso dan Puan Rohana Kassim.

Pada pertemuan tersebut, Bapak Da'i telah bersetuju untuk menerima cadangan PAPTI untuk melantik beliau sebagai penasihat PAPTI.

Bapak Da'i  dalam pertemuan itu menyanjung tinggi usaha PAPTI menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan di Indonesia termasuk dengan Ikatan Alumni Malaysia di Indonesia (Ikama) kerana yakin melalui usaha sedemikian dapat membantu mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara serumpun ini.

Beliau berkata, pada masa kini banyak isu yang telah dimainkan oleh kedua-dua pihak terutama di kalangan generasi muda sehingga menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara sedangkan di peringkat kerajaan dan generasi lama, ia cukup akrab.

"Justeru kita perlu mencari jalan bagaimana kita dapat memastikan generasi muda kedua-dua negara dapat memahami latar belakang dan budaya satu sama lain. Saya kira cara terbaik ialah penyaluran maklumat melalui TV," katanya.
Share:

Perkembangan bantuan PAPTI kepada mangsa gempa Padang

Sejak tertubuhnya tabung bantuan mangsa gempa Padang sudah ada ahli-ahli PAPTI dan mungkin juga yang bukan ahli menderma.

Ada beberapa dermawan yang belum atau tidak memaklumkan siapa mereka itu tetapi telah menderma secara langsung ke dalam akaun PAPTI sama ada melalui mesin bank maupun secara online.

Elok juga kalau yang telah menderma memaklumkan kepada Bendahari PAPTI nama dan jumlah sumbangan mereka untuk rekod kami tetapi bukanlah satu kemestian.

Majlis PAPTI akan menjalankan amanah memastikan derma yang disalurkan melalui PAPTI sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukannya.

Sebagai langkah awal Bendahari Agung telah mewakili PAPTI melawat Sumatera Barat buat beberapa hari dan pada 6 Oktober lalu beliau telah menyampaikan sumbangan PAPTI kepada Rumah Sakit Islam Siti Rahmah Padang, sebuah hospital swasta yang dikendalikan oleh Yayasan RSI Siti Rahmah.

Hospital ini tidak terjejas oleh bencana alam yang melanda Padang baru-baru ini dan menjadi tumpuan mereka yang menjadi mangsa bencana sehingga menjadi penuh sesak sehingga ada pesakit yang dirawat melimpah ke luar ruangan wad hospital.

Sumbangan awal yang telah disampaikan tersebut berupa ubat-ubatan (bernilai lebih dari RM800) dan wang tunai sebanyak RM2,000. Masih ada derma yang diterima PAPTI yang belum diagihkan dan akan dilaksanakan dalam peringkat berikutnya - di mana kami mencadangkan melanjutkan kutipan derma sehingga terkumpul sekurang-kurangnya RM10,000.

PAPTI akan menghantar lagi wakil-wakil ke Sumatera Barat,dan adalah dalam rancangan kami untuk mengenal pasti sebuah sekolah yang terkena bencana untuk dijadikan sebagai tumpuan bantuan PAPTI selanjutnya.

Sekian dulu berita setakat ini dan berita selanjutnya dan yang lebih lengkap akan menyusul kemudian.

Sekali lagi kami mengalu-alukan sumbangan dari ahli maupun kawan-kawan yang lain agar rancangan kami untuk memberi bantuan secara lebih berkesan dan berjangka panjang tercapai.

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir
Presiden PAPTI
Share:

PAPTI bawa bekalan ubat-ubatan

Wakil PAPTI kini sedang berada di Padang, Sumatera Barat, lokasi gempa bumi berkekuatan 7.6 skala Richter yang mengorbankan beratus-ratus orang manakala ribuan lagi masih hilang bagi meringankan beban mangsa gempa.

PAPTI yang diketuai oleh Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial akan berada di sana beberapa hari dengan membawa bantuan ubat-ubatan sumbangan ahli-ahli PAPTI dan juga meninjau bentuk bantuan yang diperlukan di kawasan terbabit.

Sumbangan tunai ahli berjumlah RM2,000 sejurus dilancarkan turut digunakan untuk disumbangkan terus kepada mangsa.

Sekembalinya wakil tersebut, Majlis PAPTI akan menyusun program bantuan yang lebih mantap agar bantuan kita  akan memberi kesan yang mendalam kepada penduduk terbabit.

Justeru, saya bagi pihak PAPTI mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah menghulurkan derma, dan juga kepada mereka yang telah menghubungi kami dengan niat membantu selanjutnya. Semoga sumbangan anda diberkati Allah.

Majlis PAPTI akan berusaha agar sumbangan anda akan sampai kepada pihak yang memerlukannya.

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir
Presiden PAPTI
Share:

PAPTI hantar bantuan ke Padang, tubuh tabung

PAPTI akan menghantar bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat dan buat permulaan satu pasukan peninjau akan berlepas ke sana Ahad ini bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan.

Pasukan itu diketuai oleh Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial yang akan turut membawa bekalan ubat-ubatan sebagai bantuan permulaan kepada mangsa.

Sehubungan dengan itu PAPTI mengharapkan sokongan dan kerjasama para ahli dan orang ramai untuk menjadi sukarelawan PAPTI yang akan ditugaskan bagi membantu mangsa-mangsa gempa dengan kadar segera.

Pada masa yang sama PAPTI juga melancarkan tabung bantuan gempa Padang. Justeru, para ahli PAPTI, orang perseorangan, kalangan korporat dan NGO lain dialu-alukan untuk memberikan sumbangan. Semua sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank : 1215-0010550-056.

Maklumat lanjut berhubung sukrelawan PAPTI dan tabung bantuan mangsa gempa PAPTI boleh menghubungi:
  • Presiden PAPTI, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir - 012-2861707
  • Bendahari Agung PAPTI, Dr. Dasrilsyah Shahrial - 019-3050491
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog