PAPTI mahu perbincangan peringkat menteri

Posted by Alumni Jawa Timur on Selasa, September 08, 2009
KUALA LUMPUR 7 Sept. - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mencadangkan agar perbincangan peringkat menteri Malaysia dan Indonesia perlu bagi menyelesaikan salah faham berhubung persamaan kebudayaan kedua-dua negara.

Presidennnya, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir berkata, perbincangan tersebut perlu disegerakan agar pihak media terutama di negara jiran itu tidak terus membesarkan isu-isu berkenaan.

“PAPTI sangat prihatin dengan tindakan sebilangan rakyat Indonesia yang mengambil tindakan memburuk-burukkan Malaysia. Punca masalah mungkin datang dari kedua-dua belah pihak, Malaysia dan Indonesia.

“Justeru, demi menjaga hubungan akrab kedua-dua negara, perbincangan peringkat menteri perlu diadakan agar tidak ada pihak yang menangguk di air keroh dan membesar-besarkan isu berkenaan demi kepentingan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Sept. 2009 (MS 16)