Kempen memburukkan Malaysia oleh Indonesia: Hadapi dengan waras

Posted by Alumni Jawa Timur on Jumaat, September 11, 2009
Baru-baru ini ada yang bertanya apakah komen atau reaksi PAPTI terhadap perkembangan memburuk-burukkan Malaysia di dalam media Indonesia.

Sebenarnya kita perlu kaji apakah ini satu rancangan oleh kumpulan tertentu yang tidak suka hubungan Malaysia-Indonesia yang begitu baik ataukah ia hanya aksi segelintir rakyat Indonesia yang kemudian dibesar-bearkan oleh media Indonesia sebagai berita sensasi.

Atau ia berpunca daripada perasaan dan sikap yang lebih mendalam, mungkin berpunca daripada berbagai faktor, dari sejak zaman konfrantasi dengan propaganda "ganyang Malaysia" yang begitu hebat pada waktu itu, diikuti pula perkembangan di kedua negara sejak itu, termasuk isu kepulauan Sipadan dan Litigan, kawasan lautan Ambalat, kemajuan syarikat-syarikat Malaysia bergerak di Indonesia.

Mungkin juga akibat tenaga kerja Indonesia di Malaysia yang mendapat pendapatan yang lumayan sehingga menimbulkan iri hati di kalangan yang lain yang tidak dapat kesini, dan lain-lain faktor. Mungkin juga kelemahan di Malaysia sendiri, termasuk kesombongan sebahagian rakyat, kumpulan professional dan/atau beberapa pemimpin Malaysia yang memandang rendah serta remeh apa saja yang berkaitan dengan Indonesia.

Namun demikian, PAPTI sebagai organisasi yang dianggotai oleh cerdik pandai dan mempunyai pertalian dengan kedua-dua negara ini, perlu bertindak bijak, rasional dan fikirkan penyelesaian yang lebih strategik dan berjangka panjang. Ini kita perlu fikirkan bersama dan Majlis PAPTI akan berusaha mengadakan forum perbincangan di kalangan kita sama ada secara formal atau informal dalam masa terdekat.

Yang sering kami dengar, dan disebutkan semula oleh Prof Datuk Bakar, amat penting adalah hubungan peribadi diantara pemimpin-pemimpin masyarakat di kedua negara ini. Contohnya semasa usaha penyelesaian konfrantasi dahulu dimana peranan perhubungan perbadi diantara beberapa individu-individu di kedua belah pihak telah mainkan peranan penting kearah penyelesaian persengketaan pada waktu itu.

Hubungan peribadi diantara pemimpin-pemimpin tertinggi kedua negara pada waktu zaman Tun Razak dan Tun Adam Malik juga begitu baik. Tidak begitu lama dahulu, peranan Tan Sri Mohamad Rahmat pula sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Penerangan.

Banyak lagi contoh-contoh lain, saperti perhubungan Petronas-Pertamina semasa dahulu, hubungan antara universiti kedua negara, hubungan sastrawan dan budayawan, dll.

Dengan demikian, marilah ita ajak rakyat Malaysia bertenang dan berfikir secara waras, disamping itu eloklah kita cuba mainkan peranan mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara kita, pemimpin agensi serta organisasi berkaitan, agar memulakan hubungan yang lebih akrab dengan pihak yang berkenaan di Indonesia.

Sehubungan ini juga saya pernah memohon dan diulangi di sini agar ahli-ahli PAPTI yang mempunyai hubungan atau mengetahui individu serta organisasi di Indonesia yang boleh kita mula jalinkan kerjasama, sila maklumkan kepada kami supaya kita boleh merancangkan tindakan atau aktiviti yang jitu untuk membantu meningkatkan hubungan baik Malaysia-Indonesia.

Dr. Shamsul Bahar Abd Kadir
Presiden PAPTI