Hanya libatkan kelompok kecil - Try Sutrisno

Posted by Sekretariat PAPTI on Khamis, September 10, 2009
KUALA LUMPUR 9 Sept. - Gerakan 'Sapu Malaysia' yang mencetuskan kegusaran rakyat negara ini di Indonesia sebenarnya hanya melibatkan sekelompok kecil warga republik itu yang tidak memahami cerita sebenar di sebalik isu tarian Pendet.

Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Indonesia, Tan Sri Try Sutrisno yang juga bekas Naib Presiden republik itu berkata, justeru rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan gembar-gembur tentang kemarahan rakyat Indonesia terhadap Malaysia berhubung isu tersebut.

"Ketegangan mungkin dicetuskan oleh beberapa kelompok yang kurang memahami apa yang berlaku tetapi kita akan mencari jalan penyelesaiannya.

"Insya-Allah, kita akan memupuk dan menyuburkan hal-hal yang baik dan membuang jauh perkara negatif kepada kedua-dua negara," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menemui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

EPG Malaysia-Indonesia ditubuhkan pada 2008 bagi memberi tumpuan meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan sosiobudaya.

Semalam, Rais meminta EPG Malaysia-Indonesia memainkan peranan meredakan ketegangan hubungan antara rakyat kedua-dua negara ekoran dakwaan tarian Pendet republik itu dicuri negara ini.

Beberapa pihak khususnya media di Indonesia sebelum ini menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet berasal dari Bali dalam promosi pelancongannya.

Penayangan klip komersial yang mengandungi elemen tarian itu sebenarnya dibuat oleh sebuah syarikat swasta bagi promosi siri dokumentari di Discovery Channel yang tiada kaitan dengan Kerajaan Malaysia. - Utusan Malaysia 10 Sept. 2009