Dr. Shamsul Bahar kembali terajui PAPTI

Posted by Sekretariat PAPTI on Ahad, Jun 28, 2009
Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir kembali menerajui PAPTI bagi penggal 2009/2011 selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan PAPTI yang berlangsung di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, semalam.

Beliau yang kini merupakan ahli perniagaan pernah menjadi Presiden PAPTI sekitar tahun 1980-an dan berjaya menggerakkan persatuan itu dengan aktif sehingga nama PAPTI cukup dikenali dan disegani.

Kini ahli-ahli PAPTI sebulat suara memilih beliau sekali lagi untuk menerajui PAPTI untuk tempoh dua tahun akan datang selepas Prof. Mady Dr. Ismail Abdullah yang memegang jawatan itu sejak tahun 2005 lalu.

"Cukuplah empat tahun saya menerajui PAPTI sekarang saya harap ia diberi peluang kepada orang lain. Siapa tahu pengganti saya mampu membawa PAPTI kembali aktif seperti sebelum ini," kata Dr. Ismail ketika menyampaikan ucapan aluannya sebelum mesyuarat itu berlangsung.

PAPTI yang ditubuhkan pada tahun 1976 hampir terkubur selepas persatuan itu tidak aktif hampir 10 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2004 termasuk gagal mengemukakan laporan mesyuarat tahunan dan kewangan kepada pendaftar pertubuhan sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, atas usaha Dr. Ismail serta beberapa barisan Ahli Majlisnya, PAPTI akhirnya dapat hidup semula dan meneruskan aktivitinya seperti biasa.

Sementara itu, Dr. Shamsul Bahar berkata, beliau mengharapkan penyertaan ahli-ahli PAPTI bagi memastikan persatuan itu kembali aktif kerana tanpa adanya sokongan dan kerjasama ahli PAPTI tetap tidak mampu digerakkan.

"Ahli-ahli tidak boleh menyerahkan tugas kepada barisan Ahli Majlis ini untuk memastikan ia subur sebaliknya ahli-ahli juga patut memainkan peranannya termasuk ikut serta setiap program yang diatur," katanya.

Jelas beliau, ini termasuk semua ahli dan juga para alumni lulusan Indonesia mulai dari angkatan tahun-tahun 1960-an, 70-an, 80-an sehinggalah ke generasi baru selepas tahun 1990-an.

Berikut keputusan pemilihan barisan Ahli Majlis PAPTI 2009/2011 seperti yang diputuskan pada mesyuarat agung PAPTI kali ini.
-----------------------------------------------------------------------------
PRESIDEN : DR. SHAMSUL BAHAR ABD. KADIR

TIMBALAN PRESIDEN : EN. LUKMAN ISMAIL

ENAM AHLI MAJLIS:
1. PROF. DR. JAMBARI HAJI ALI
2. PN. ROHANA KASSIM
3. DRS. LIEN SUNDARI SOEDARSO
4. DRS. ONN YUSOFF
5. EN. HASBULLAH ABU KASSIM
6. DR. ABDUL RAHMAN KURAIS

AUDITOR:
1. DR. ABDUL HAMID ABDUL AZIZ
2. DRS. SYED MOHAMAD SYED HASSAN
----------------------------------------------------------------------------