Ahli Majlis PAPTI kunjungi Dubes Indonesia

Tan Sri Da'i Bachtiar (empat dari kiri) bergambar bersama Ahli-ahli Majlis PAPTI (dari kanan), Pn Rohana Kassim, Dr. Jambari Ali, Mohd. Safian Abdul Rahman, Lukman Ismail, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir, Dra. Lien Sundari Soedarso dan atase pendidikan Indonesia ke Malaysia di pejabatnya, di Kuala Lumpur.
AHLI Majlis PAPTI yang diketuai Presidennya, Dr. Shamsul Bahar Abd. Kadir hari ini mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Tan Sri Da'i Bachtiar di pejabatnya, di Kedutaan Besar Indonesia di Kuala Lumpur.

Pertemuan selama lebih satu jam itu adalah sebagai program memperkenalkan barisan Ahli Majlis yang baru di samping membincangkan pelbagai hal berkaitan kedua-dua negara terutama berkaitan penghantaran pelajar Malaysia ke Indonesia, atau sebaliknya.

Selain Dr. Shamsul turut serta ialah Timbalan Presiden, Lukman Ismail; Penolong Setiausaha Agung, Mohd. Safian Abdul Rahman dan ahli-ahli majlis iaitu Dr. Jambari Ali, Dra. Lien Sundari Soedarso dan Puan Rohana Kassim.

Pada pertemuan tersebut, Bapak Da'i telah bersetuju untuk menerima cadangan PAPTI untuk melantik beliau sebagai penasihat PAPTI.

Bapak Da'i  dalam pertemuan itu menyanjung tinggi usaha PAPTI menjalinkan kerjasama dengan rakan-rakan di Indonesia termasuk dengan Ikatan Alumni Malaysia di Indonesia (Ikama) kerana yakin melalui usaha sedemikian dapat membantu mengeratkan hubungan antara kedua-dua negara serumpun ini.

Beliau berkata, pada masa kini banyak isu yang telah dimainkan oleh kedua-dua pihak terutama di kalangan generasi muda sehingga menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara sedangkan di peringkat kerajaan dan generasi lama, ia cukup akrab.

"Justeru kita perlu mencari jalan bagaimana kita dapat memastikan generasi muda kedua-dua negara dapat memahami latar belakang dan budaya satu sama lain. Saya kira cara terbaik ialah penyaluran maklumat melalui TV," katanya.
Share:

Perkembangan bantuan PAPTI kepada mangsa gempa Padang

Sejak tertubuhnya tabung bantuan mangsa gempa Padang sudah ada ahli-ahli PAPTI dan mungkin juga yang bukan ahli menderma.

Ada beberapa dermawan yang belum atau tidak memaklumkan siapa mereka itu tetapi telah menderma secara langsung ke dalam akaun PAPTI sama ada melalui mesin bank maupun secara online.

Elok juga kalau yang telah menderma memaklumkan kepada Bendahari PAPTI nama dan jumlah sumbangan mereka untuk rekod kami tetapi bukanlah satu kemestian.

Majlis PAPTI akan menjalankan amanah memastikan derma yang disalurkan melalui PAPTI sampai kepada pihak yang benar-benar memerlukannya.

Sebagai langkah awal Bendahari Agung telah mewakili PAPTI melawat Sumatera Barat buat beberapa hari dan pada 6 Oktober lalu beliau telah menyampaikan sumbangan PAPTI kepada Rumah Sakit Islam Siti Rahmah Padang, sebuah hospital swasta yang dikendalikan oleh Yayasan RSI Siti Rahmah.

Hospital ini tidak terjejas oleh bencana alam yang melanda Padang baru-baru ini dan menjadi tumpuan mereka yang menjadi mangsa bencana sehingga menjadi penuh sesak sehingga ada pesakit yang dirawat melimpah ke luar ruangan wad hospital.

Sumbangan awal yang telah disampaikan tersebut berupa ubat-ubatan (bernilai lebih dari RM800) dan wang tunai sebanyak RM2,000. Masih ada derma yang diterima PAPTI yang belum diagihkan dan akan dilaksanakan dalam peringkat berikutnya - di mana kami mencadangkan melanjutkan kutipan derma sehingga terkumpul sekurang-kurangnya RM10,000.

PAPTI akan menghantar lagi wakil-wakil ke Sumatera Barat,dan adalah dalam rancangan kami untuk mengenal pasti sebuah sekolah yang terkena bencana untuk dijadikan sebagai tumpuan bantuan PAPTI selanjutnya.

Sekian dulu berita setakat ini dan berita selanjutnya dan yang lebih lengkap akan menyusul kemudian.

Sekali lagi kami mengalu-alukan sumbangan dari ahli maupun kawan-kawan yang lain agar rancangan kami untuk memberi bantuan secara lebih berkesan dan berjangka panjang tercapai.

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir
Presiden PAPTI
Share:

PAPTI bawa bekalan ubat-ubatan

Wakil PAPTI kini sedang berada di Padang, Sumatera Barat, lokasi gempa bumi berkekuatan 7.6 skala Richter yang mengorbankan beratus-ratus orang manakala ribuan lagi masih hilang bagi meringankan beban mangsa gempa.

PAPTI yang diketuai oleh Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial akan berada di sana beberapa hari dengan membawa bantuan ubat-ubatan sumbangan ahli-ahli PAPTI dan juga meninjau bentuk bantuan yang diperlukan di kawasan terbabit.

Sumbangan tunai ahli berjumlah RM2,000 sejurus dilancarkan turut digunakan untuk disumbangkan terus kepada mangsa.

Sekembalinya wakil tersebut, Majlis PAPTI akan menyusun program bantuan yang lebih mantap agar bantuan kita  akan memberi kesan yang mendalam kepada penduduk terbabit.

Justeru, saya bagi pihak PAPTI mengucapkan ribuan terima kasih kepada yang telah menghulurkan derma, dan juga kepada mereka yang telah menghubungi kami dengan niat membantu selanjutnya. Semoga sumbangan anda diberkati Allah.

Majlis PAPTI akan berusaha agar sumbangan anda akan sampai kepada pihak yang memerlukannya.

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir
Presiden PAPTI
Share:

PAPTI hantar bantuan ke Padang, tubuh tabung

PAPTI akan menghantar bantuan bagi membantu mangsa gempa bumi di Padang, Sumatera Barat dan buat permulaan satu pasukan peninjau akan berlepas ke sana Ahad ini bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan.

Pasukan itu diketuai oleh Bendahari Agung, Dr. Dasrilsyah Shahrial yang akan turut membawa bekalan ubat-ubatan sebagai bantuan permulaan kepada mangsa.

Sehubungan dengan itu PAPTI mengharapkan sokongan dan kerjasama para ahli dan orang ramai untuk menjadi sukarelawan PAPTI yang akan ditugaskan bagi membantu mangsa-mangsa gempa dengan kadar segera.

Pada masa yang sama PAPTI juga melancarkan tabung bantuan gempa Padang. Justeru, para ahli PAPTI, orang perseorangan, kalangan korporat dan NGO lain dialu-alukan untuk memberikan sumbangan. Semua sumbangan boleh disalurkan ke akaun CIMB Bank : 1215-0010550-056.

Maklumat lanjut berhubung sukrelawan PAPTI dan tabung bantuan mangsa gempa PAPTI boleh menghubungi:
  • Presiden PAPTI, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir - 012-2861707
  • Bendahari Agung PAPTI, Dr. Dasrilsyah Shahrial - 019-3050491
Share:

Kempen memburukkan Malaysia oleh Indonesia: Hadapi dengan waras

Baru-baru ini ada yang bertanya apakah komen atau reaksi PAPTI terhadap perkembangan memburuk-burukkan Malaysia di dalam media Indonesia.

Sebenarnya kita perlu kaji apakah ini satu rancangan oleh kumpulan tertentu yang tidak suka hubungan Malaysia-Indonesia yang begitu baik ataukah ia hanya aksi segelintir rakyat Indonesia yang kemudian dibesar-bearkan oleh media Indonesia sebagai berita sensasi.

Atau ia berpunca daripada perasaan dan sikap yang lebih mendalam, mungkin berpunca daripada berbagai faktor, dari sejak zaman konfrantasi dengan propaganda "ganyang Malaysia" yang begitu hebat pada waktu itu, diikuti pula perkembangan di kedua negara sejak itu, termasuk isu kepulauan Sipadan dan Litigan, kawasan lautan Ambalat, kemajuan syarikat-syarikat Malaysia bergerak di Indonesia.

Mungkin juga akibat tenaga kerja Indonesia di Malaysia yang mendapat pendapatan yang lumayan sehingga menimbulkan iri hati di kalangan yang lain yang tidak dapat kesini, dan lain-lain faktor. Mungkin juga kelemahan di Malaysia sendiri, termasuk kesombongan sebahagian rakyat, kumpulan professional dan/atau beberapa pemimpin Malaysia yang memandang rendah serta remeh apa saja yang berkaitan dengan Indonesia.

Namun demikian, PAPTI sebagai organisasi yang dianggotai oleh cerdik pandai dan mempunyai pertalian dengan kedua-dua negara ini, perlu bertindak bijak, rasional dan fikirkan penyelesaian yang lebih strategik dan berjangka panjang. Ini kita perlu fikirkan bersama dan Majlis PAPTI akan berusaha mengadakan forum perbincangan di kalangan kita sama ada secara formal atau informal dalam masa terdekat.

Yang sering kami dengar, dan disebutkan semula oleh Prof Datuk Bakar, amat penting adalah hubungan peribadi diantara pemimpin-pemimpin masyarakat di kedua negara ini. Contohnya semasa usaha penyelesaian konfrantasi dahulu dimana peranan perhubungan perbadi diantara beberapa individu-individu di kedua belah pihak telah mainkan peranan penting kearah penyelesaian persengketaan pada waktu itu.

Hubungan peribadi diantara pemimpin-pemimpin tertinggi kedua negara pada waktu zaman Tun Razak dan Tun Adam Malik juga begitu baik. Tidak begitu lama dahulu, peranan Tan Sri Mohamad Rahmat pula sewaktu beliau memegang jawatan Menteri Penerangan.

Banyak lagi contoh-contoh lain, saperti perhubungan Petronas-Pertamina semasa dahulu, hubungan antara universiti kedua negara, hubungan sastrawan dan budayawan, dll.

Dengan demikian, marilah ita ajak rakyat Malaysia bertenang dan berfikir secara waras, disamping itu eloklah kita cuba mainkan peranan mempengaruhi pemimpin-pemimpin negara kita, pemimpin agensi serta organisasi berkaitan, agar memulakan hubungan yang lebih akrab dengan pihak yang berkenaan di Indonesia.

Sehubungan ini juga saya pernah memohon dan diulangi di sini agar ahli-ahli PAPTI yang mempunyai hubungan atau mengetahui individu serta organisasi di Indonesia yang boleh kita mula jalinkan kerjasama, sila maklumkan kepada kami supaya kita boleh merancangkan tindakan atau aktiviti yang jitu untuk membantu meningkatkan hubungan baik Malaysia-Indonesia.

Dr. Shamsul Bahar Abd Kadir
Presiden PAPTI
Share:

Hanya libatkan kelompok kecil - Try Sutrisno

KUALA LUMPUR 9 Sept. - Gerakan 'Sapu Malaysia' yang mencetuskan kegusaran rakyat negara ini di Indonesia sebenarnya hanya melibatkan sekelompok kecil warga republik itu yang tidak memahami cerita sebenar di sebalik isu tarian Pendet.

Pengerusi Kumpulan Tokoh Terkemuka (EPG) Indonesia, Tan Sri Try Sutrisno yang juga bekas Naib Presiden republik itu berkata, justeru rakyat Malaysia tidak perlu bimbang dengan gembar-gembur tentang kemarahan rakyat Indonesia terhadap Malaysia berhubung isu tersebut.

"Ketegangan mungkin dicetuskan oleh beberapa kelompok yang kurang memahami apa yang berlaku tetapi kita akan mencari jalan penyelesaiannya.

"Insya-Allah, kita akan memupuk dan menyuburkan hal-hal yang baik dan membuang jauh perkara negatif kepada kedua-dua negara," katanya.

Beliau bercakap pada sidang akhbar selepas menemui Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim di pejabatnya di Bangunan Sultan Abdul Samad di sini hari ini.

EPG Malaysia-Indonesia ditubuhkan pada 2008 bagi memberi tumpuan meningkatkan kerjasama dalam bidang ekonomi, pelaburan dan sosiobudaya.

Semalam, Rais meminta EPG Malaysia-Indonesia memainkan peranan meredakan ketegangan hubungan antara rakyat kedua-dua negara ekoran dakwaan tarian Pendet republik itu dicuri negara ini.

Beberapa pihak khususnya media di Indonesia sebelum ini menuduh Malaysia sengaja menggunakan tarian Pendet berasal dari Bali dalam promosi pelancongannya.

Penayangan klip komersial yang mengandungi elemen tarian itu sebenarnya dibuat oleh sebuah syarikat swasta bagi promosi siri dokumentari di Discovery Channel yang tiada kaitan dengan Kerajaan Malaysia. - Utusan Malaysia 10 Sept. 2009
Share:

PAPTI mahu perbincangan peringkat menteri

KUALA LUMPUR 7 Sept. - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) mencadangkan agar perbincangan peringkat menteri Malaysia dan Indonesia perlu bagi menyelesaikan salah faham berhubung persamaan kebudayaan kedua-dua negara.

Presidennnya, Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir berkata, perbincangan tersebut perlu disegerakan agar pihak media terutama di negara jiran itu tidak terus membesarkan isu-isu berkenaan.

“PAPTI sangat prihatin dengan tindakan sebilangan rakyat Indonesia yang mengambil tindakan memburuk-burukkan Malaysia. Punca masalah mungkin datang dari kedua-dua belah pihak, Malaysia dan Indonesia.

“Justeru, demi menjaga hubungan akrab kedua-dua negara, perbincangan peringkat menteri perlu diadakan agar tidak ada pihak yang menangguk di air keroh dan membesar-besarkan isu berkenaan demi kepentingan mereka,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sumber: Utusan Malaysia, 8 Sept. 2009 (MS 16)
Share:

PAPTI dukacita bencana gempa di Jawa Barat

PERSATUAN Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) ingin menyampaikan rasa sedih dan dukacita dengan kejadian gempa bumi kuat yang berlaku di Jawa Barat petang semalam sehingga mengorbankan banyak nyawa dan memusnahkan harta benda.

Dalam suasana umat Islam sedang menyambut bulan Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelma, sudah pasti bencana ini memberikan satu dugaan besar kepada mangsa khususnya yang beragama Islam yang memerlukan kesabaran yang tinggi.

Justeru, PAPTI amat bersimpati kepada semua mangsa bencana tersebut dan mendoakan agar mereka tabah dan sabar menghadapi dugaan dari Allah.
Share:

Sadad juara golf perkenalan PAPTI


Sdr. Mohd. Sadad Mahmud (tiga dari kanan) mengungguli pertandingan golf PAPTI yang berlangsung di Danau Golf Club, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 1 Ogos lalu.

Seramai lapan peserta mengambil bahagian pada pertandingan yang diadakan sebagai permulaan bagi Biro Sukan dan Rekreasi PAPTI yang diketuai oleh Drs. Onn Mohd. Yusoff melaksanakan aktiviti lain selepas ini.

Turut serta pada pertandingan tersebut ialah Dato' Dr. Muhammad Yahaya, Ir. Shahlan Shahudin, Sdr. Mahat Ibrahim, Sdr. Arham Salam, Dr. Jamaludin dan Dr. Mokhtar Abu Bakar.
Share:

Tan Sri Salleh terima anugerah tertinggi ITB

Pengarah, United Nations University, International Institute for Global Health (UNU-IIGH), Prof. Tan Sri Dr. Mohamed Salleh Mohamed Yasin telah diberikan Anugerah Ganesa Wirya Jasa Adiutama, iaitu salah satu anugerah tertinggi yang diberikan oleh Institut Teknologi Bandung (ITB) atas jasa-jasa beliau dalam pembangunan ITB.

Anugerah yang diberikan sempena peringatan 89 tahun pendidikan teknik Indonesia itu disampaikan pada 4 Julai lalu.

Beliau merupakan tokoh tunggal dari luar Indonesia yang menerima anugerah tersebut. Empat yang lain ialah Allahyarham Edie Kartasubama, Allahyarham Sudjoko, Susanto Imam Rahayu dan Raden Panji Muhammad Noer.

Salleh, 58, pernah mendapat pendidikan di peringkat ijazah sarjana muda di ITB pada tahun 1976 sehingga 1980 sebelum melanjutkan pelajaran ke peringkat Ph.D di University of Bath, United Kingdom.

Beliau bertugas sebagai Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mulai tahun 2003 sebelum bersara pada 2006. Beliau kemudian dilantik sebagai Ketua Eksekutif, Lembaga Akreditasi Negara (LAN) pada tahun yang sama sebelum dilantik sebagai Pengarah UNU-IIGH setahun kemudian.

Presiden dan seluruh Ahli Majlis mengucapkan syabas dan tahniah kepada beliau atas penganugerahan tersebut.

Berita lanjut, dalam baca laporan di sini !
Share:

Hasil mesyuarat pertama Ahli Majlis PAPTI

Mesyuarat ahli majlis PAPTI kali pertama telah diadakan pada 12 Julai 2009 di Bilik Mesyuarat Jabatan Biologi, Fakulti Sains, UPM Serdang. Dan antara keputusan mesyuarat adalah seperti berikut:

1. PELANTIKAN:a) Mesyuarat bersetuju melantik Dr. Dasrilsyah Syahrial sebagai Bendahari Agung dan Sdr. Mohd. Safian Abdul Rahman sebagai Penolong Setiausaha Agung manakala jawatan Setiausaha Agung masih dikosongkan bagi mendapatkan calon paling sesuai.

b) Timbalan Presiden, Sdr. Lukman Ismail akan menerajui Biro Penerangan dan Publisiti manakala Drs. Onn Mohd Yusoff pula mengetuai Biro Sukan. Biro-biro lain akan ditentukan kemudian berdasarkan keperluan.

2) KUNJUNGAN:
a) PAPTI akan mengadakan kunjungan hormat terhadap TYT Tun Mohd. Khalil Yaakob, Yang Dipertua Negeri Melaka bagi melantik beliau sebagai Ahli Kehormat danpenaung PAPTI jika beliau bersedia.

b) Mengadakan pertemuan dengan YAB Datuk Seri Mohd. Ali Rustam, Ketua Menteri Melaka / Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) bagi memupuk kerjasama dengan DMDI.

c) Mengadakan kunjungan dan pertemuan dengan Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Datuk Seri Da'i Bahtiar.

Semua kunjungan ini akan dilaksanakan secepat mungkin!

3) AKTIVITI:a) Pertandingan golf amal PAPTI dengan jemputan VVIP TYT Tun Mohd. Khalil Yaakob selain pertandingan golf tertutup PAPTI

b) Memberikan kursus dan bimbingan kepada calon2 pelajar ke Indonesia dengan kerjasama agensi penghantaran pelajar.

c) Meningkatkan hubungan dengan Ikatan Alumni Indonesia ke Malaysia (IKAMA)

4) UCAPAN TAHNIAH:a) Presiden dan Ahli Majlis PAPTI merakamkan ucapan tahniah kepada Tan Sri Salleh Mohd. Yassin kerana diberikan Anugerah Ganesa Wirya Jasa Adiutama oleh Institut Teknologi Bandung (ITB) sempena peringatan 89 tahun pendidikan tinggi di Indonesia.
Share:

Dr. Shamsul Bahar kembali terajui PAPTI

Dr. Shamsul Bahar Abdul Kadir kembali menerajui PAPTI bagi penggal 2009/2011 selepas memenangi jawatan itu tanpa bertanding pada mesyuarat agung tahunan PAPTI yang berlangsung di Fakulti Sains, Universiti Putra Malaysia (UPM) Serdang, semalam.

Beliau yang kini merupakan ahli perniagaan pernah menjadi Presiden PAPTI sekitar tahun 1980-an dan berjaya menggerakkan persatuan itu dengan aktif sehingga nama PAPTI cukup dikenali dan disegani.

Kini ahli-ahli PAPTI sebulat suara memilih beliau sekali lagi untuk menerajui PAPTI untuk tempoh dua tahun akan datang selepas Prof. Mady Dr. Ismail Abdullah yang memegang jawatan itu sejak tahun 2005 lalu.

"Cukuplah empat tahun saya menerajui PAPTI sekarang saya harap ia diberi peluang kepada orang lain. Siapa tahu pengganti saya mampu membawa PAPTI kembali aktif seperti sebelum ini," kata Dr. Ismail ketika menyampaikan ucapan aluannya sebelum mesyuarat itu berlangsung.

PAPTI yang ditubuhkan pada tahun 1976 hampir terkubur selepas persatuan itu tidak aktif hampir 10 tahun iaitu dari tahun 1995 hingga 2004 termasuk gagal mengemukakan laporan mesyuarat tahunan dan kewangan kepada pendaftar pertubuhan sepanjang tempoh tersebut.

Bagaimanapun, atas usaha Dr. Ismail serta beberapa barisan Ahli Majlisnya, PAPTI akhirnya dapat hidup semula dan meneruskan aktivitinya seperti biasa.

Sementara itu, Dr. Shamsul Bahar berkata, beliau mengharapkan penyertaan ahli-ahli PAPTI bagi memastikan persatuan itu kembali aktif kerana tanpa adanya sokongan dan kerjasama ahli PAPTI tetap tidak mampu digerakkan.

"Ahli-ahli tidak boleh menyerahkan tugas kepada barisan Ahli Majlis ini untuk memastikan ia subur sebaliknya ahli-ahli juga patut memainkan peranannya termasuk ikut serta setiap program yang diatur," katanya.

Jelas beliau, ini termasuk semua ahli dan juga para alumni lulusan Indonesia mulai dari angkatan tahun-tahun 1960-an, 70-an, 80-an sehinggalah ke generasi baru selepas tahun 1990-an.

Berikut keputusan pemilihan barisan Ahli Majlis PAPTI 2009/2011 seperti yang diputuskan pada mesyuarat agung PAPTI kali ini.
-----------------------------------------------------------------------------
PRESIDEN : DR. SHAMSUL BAHAR ABD. KADIR

TIMBALAN PRESIDEN : EN. LUKMAN ISMAIL

ENAM AHLI MAJLIS:
1. PROF. DR. JAMBARI HAJI ALI
2. PN. ROHANA KASSIM
3. DRS. LIEN SUNDARI SOEDARSO
4. DRS. ONN YUSOFF
5. EN. HASBULLAH ABU KASSIM
6. DR. ABDUL RAHMAN KURAIS

AUDITOR:
1. DR. ABDUL HAMID ABDUL AZIZ
2. DRS. SYED MOHAMAD SYED HASSAN
----------------------------------------------------------------------------
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog