Penduduk Surabaya terpikat dengan produk Malaysia

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Julai 07, 2008
SURABAYA : "Tengoklah, teh tarik, wow!," kata Wiling Susanti dari sebuah syarikat pengeluar makanan dan minuman dengan penuh kekaguman apabila melihat cara minuman itu disediakan. Wanita ini mengaku telah jatuh cinta dengan minuman itu sejak pertama kali mencubanya.

"Uncang teh ini, yang diadun khusus bagi menyediakan teh tarik, lebih enak daripada produk teh keluaran tempatan kita," katanya.

Minuman yang popular dalam kalangan penduduk Malaysai itu disediakan chef Shahrizan Mohd Rafi, yang dibawa khusus dari Malaysia ke Pesta Malaysia 2008 bagi memperomosikan produk keluaran Malaysia pada 27 dan 28 Jun di Sinar Supermarket di sini, anjuran pejabat Perbadanan Pembangunan Perniagaan Luar Malaysia (Matrade) Jakarta.

Setelah menikmati keenakan minuman itu, Wiling berkata beliau akan mengesyorkan kepada syarikat tempatnya bekerja supaya mengimport produk berkenaan kerana yakin penduduk Surabaya kini bersedia meneroka cita rasa baru teh, selain "es teh manis" yang menjadi kegemaran mereka.

Sementara itu, Shahrizan, 22, pula berkata beliau amat gembira apabila berjaya menarik lebih banyak orang, khususnya rakyat Indonesia, menjadi penggemar teh tarik.

Chef dari Kuala Selangor ini, yang pernah memenangi pertandingan menyediakan teh tarik di Malaysia, berkata beliau tidak jemu menyediakan beribu-ribu cawan minuman itu sambil menari dan mempamerkan kebolehannya "menarik" teh sepanjang pesta dua hari itu.

"Kebanyakan pengunjung terhibur dan menunjukkan tanda "bagus" kepada saya sebagai tanda mereka sukakan minuman ini. Saya jadi macam seorang selebriti, ramai yang bergambar dengan saya," katanya.

Pengunjung berkenaan adalah antara beribu-ribu penduduk Surabaya yang berpeluang meninjau kira-kira 600 produk yang dipamerkan oleh 35 syarikat Malaysia pada pesta itu.

Selepas meneliti bungkusan, merasa dan membuat perbandingan harga, kebanyakan pengunjung berkata mereka sukakan barangan keluaran Malaysia.

Kebanyakan daripada kalangan golongan elit yang tinggal di bandar raya kedua terbesar di Indonesia ini berkata mereka kagum dengan kualiti pembungkusan produk keluaran Malaysia yang bertaraf dunia.

Seorang daripada mereka, Yulee, yang bertugas dengan syarikat import eksport tempatan kedengaran berkata: "Tengok ini... orang akan menyangkanya biskut terkenal dari Eropah.

Dan rasanya... saya pasti, lebih enak," sambil mengambil sebiji lagi biskut coklat keluaran Malaysia bagi memenuhi seleranya.

Seorang lagi chef selebriti Malaysia Zamzuri Abdul Wahab, pensyarah kanan di KDU College di Petaling Jaya, telah menawan hati kebanyakan kaum ibu ke pesta itu apabila beliau mempamerkan kemahirannya di dapur, yang dibuka di ruang legar pasar raya berkenaan.

"Saya yakin pengunjung di sini sukakan Malaysia, terutama hidangan yang saya sediakan.

"Semuanya habis diambil sebaik saja saya selesai menyediakannya," kata chef yang sentiasa ceria itu, yang bukan saja mahir dalam menyajikan "nasi lemak" kepada pengunjung, tetapi juga menjadi tarikan pelawat apabila beliau bertindak sebagai pengacara bersama dengan seorang selebriti televisyen tempatan.

Pengarah urusan Sinar Supermarket Edward Tjandrakusuma, yang kagum dengan persembahan pada pesta itu memberitahu Bernama bahawa beliau bertindak tepat apabila membuat keputusan menjadi tuan rumah Pesta Malaysia 2008.

"Jumlah pengunjung ke pasar raya ini meningkat dengan ketara sepanjang dua hari berkenaan. Bagi saya, promosi ini berjaya, baik bagi pasar raya ini, mahupun bagi Malaysia, memandangkan kami menerima kira-kira 60,000 pengunjung sepanjang dua hari berkenaan," katanya.

Beliau berkata penduduk Surabaya yang berjumlah kira-kira 3.2 juta, kini lebih mudah menerima cita rasa antarabangsa dan sedia mencuba makanan serta produk baru kerana mereka memiliki kuasa membeli lebih tinggi berbanding penduduk di bandar raya wilayah kecil lain.

Tjandrakusuma berkata beliau percaya produk pengguna dari Malaysia, terutama makanan dan minuman, mudah mendapat tempat di sini dan penduduk Islam Indonesia lebih yakin dengan status halal produk yang dihasilkan negara Islam seperti Malaysia.

"Saya yakin kami berjaya mewujudkan suasana 'Feel Good' (keindahan rasa) tentang Malaysia di sini dan apa yang perlu dilakukan ialah memperbanyakkan lagi promosi bagi menanam dalam minda penduduk Surabaya tentang kehebatan produk Malaysia," katanya sambil melahirkan harapan agar beliau dapat mengadakan promosi serupa pada masa akan datang.

Sambil mengucapkan terima kasih kepada Matrade yang menjadi tuan rumah bersama acara itu, Tjandrakusuma berkata beliau tidak tahu bahawa Malaysia mempunyai begitu banyak produk berkualiti, sehinggalah beliau membuat tinjauan singkat ke Kuala Lumpur beberapa bulan lepas.

Pengarah Bahagian Produk Matrade Wan Norma Wan Daud, yang merasmikan pelancaran promosi itu dan berada di pasar raya berkenaan sepanjang dua hari pesta itu diadakan, berkata beliau gembira apabila melihat begitu banyak pengunjung yang kagum dengan produk yang dipamerkan.

"Ramai yang mengucapkan tahniah kepada saya kerana berjaya menganjurkan pesta ini, yang membuka mata mereka tentang kualiti barangan Malaysia. Ramai juga yang meminta Matrade mengadakan pesta ini secara tetap di sini, suatu permintaan, yang rasa saya, akan kami cuba penuhi," katanya.

Wan Norma berkata pejabat Matrade di Jakarta akan mengadakan promosi serupa di lebih banyak bandar raya lain di seluruh Indonesia supaya pengeluar dan pekilang Malaysia tidak terlepas peluang ketika produk dari seluruh dunia mencurah masuk ke negara ini, yang mencatat pertumbuhan ekonomi pada kadar 6.5 peratus setahun.

Ketua Matrade Jakarta N. Haridass kelihatan begitu gembira pada akhir pesta dua hari itu bukan saja kerana produk Malaysia menerima sambutan hebat, tetapi juga kerana usaha beliau menganjurkan pertandingan melukis bagi kanak-kanak, program kebajikan bagi rumah anak yatim dan pertandingan memasak masakan Malaysia, turut mencapai kejayaan.

"Saya percaya kami telah pamerkan kepada penduduk Surabaya tentang kesungguhan kami untuk menjadi pilihan dan keutamaan mereka dengan memastikan produk Malaysia dipamerkan secara berterusan di rak Sinar Supermarket.

"Kami juga telah buktikan, walaupun secara kecil-kecilan, bahawa syarikat Malaysia berada di barisan depan dalam melaksanakan tanggungjawab sosial kami terhadap masyarakat. Dan "Feel Good" Malaysia ini amat wajar diteruskan," katanya.

Haridass berkata Pameran Malaysia 2008 pertama kali dianjurkan secara bersama dengan agensi lain seperti Pejabat Penggalakan Pendidikan Malaysia di Jakarta, Malaysia Airlines dan pejabat Tourism Malaysia Jakarta.

"Pengalaman yang diperoleh di sini akan banyak membantu kami dalam merancang pesta seumpanya yang lebih baik dan besar di bandar raya lain sepanjang tahun ini," katanya. - Bernama, 6 Julai 2008.