PAPTI... Persatuan yang mati hidup semula

Posted by Sekretariat PAPTI on Isnin, Jun 30, 2008
Antara barisan Ahli Majlis PAPTI (dari kiri) Dr. Norlee Hazaniza Ahmad, Dr. Ismail Abdullah (Presiden), Hasbullah Abu Kasim (Setiausaha Agung), Dr. Jambari Ali (Timbalan Presiden) dan Rohana Kassim ketika Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-16, di UPM Serdang, 28 Jun lalu.
"PAPTI sudah mati". Itulah kata-kata Presidennya, Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah pada ucapan dasar Presiden sempena Meysuarat Agung Tahunan ke-16 persatuan itu, di Serdang, Sabtu lepas.

Tetapi persatuan itu kini berjaya dihidupkan semula oleh sekumpulan ahli yang masih sayangkan persatuan yang banyak memberi jasa kepada para alumni lulusan universiti-universiti di Indonesia itu.

Katanya, persatuan yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu itu telah diisytiharkan "mati" oleh Pendaftar Pertubuhan ekoran kegagalan memperoleh laporan mesyuarat agung tahunan dan penyata kewangan selama lima tahun.

"Bagaimanapun, atas dasar sayangkan PAPTI daripada mati berkubur, ia berjaya dihidupkan semula dalam satu malam," kata beliau.

Dengan nada kesal, beliau berkata, PAPTI kini semakin dilupakan oleh lulusan Indonesia sedangkan sebelum ini ia berjasa menguruskan kursus Ujian Masuk Pengajian Tinggi Negeri (UMPTN), iaitu peperiksaan wajib untuk memasuki universiti di negara jiran itu, mengurus penghantaran pelajar dan lain-lain.

Namun, sejak PAPTI "mati" ia juga sudah mati dari ingatan ahli melainkan segelintir generasi tua ahli yang masih menggagahkan diri membina semula puing-puing "kematian" persatuan tunggal yang mewakili alumni Indonesia itu.

"PAPTI ibarat bapa... bapa yang berjasa membesarkan anak-anaknya tetapi akhirnya dilupakan oleh anak-anaknya sendiri," kata beliau.

Dr. Ismail berkata, beliau sedar sikap ahli-ahli untuk tidak bergiat aktif di dalam PAPTI kerana persatuan itu "tidak mampu memberikan apa-apa" kepada mereka sepertimana mereka harapkan.

Katanya, PAPTI tidak mempunyai wang dan tidak dapat memberikan gelaran atau jawatan penting sepertimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, beliau sangat berharap melalui semangat yang ada, beliau dan seluruh Ahli Majlis yang ada serta sebahagian ahli yang masih setia untuk membina dan memperkukuhkan semula PAPTI.

Untuk itu, katanya, pelbagai usaha akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mencapai matlamat tersebut termasuk mencari ikhtiar mendapatkan sumber kewangan bagi membolehkan persatuan bergerak lebih aktif.

Katanya, sepanjang tahun lalu beberapa aktiviti telah dilaksanakan termasuk mengadakan lawatan Nostalgia ke Jakarta dan Bandung serta menjalinkan hubungan dengan Ikatan Mahasiawa Malaysia (Ikama), mengadakan pertemuan dengan para editor kanan media-media di Indonesia.

Selain itu, majlis Jalinan Silaturahmi antara Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia dan PAPTI juga telah diadakan, yang turut mendapat liputan agak meluas oleh media-media utama di negara ini.

Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil-wakil PAPTI Sabah yang diketuai oleh Ketuanya, Ir. Awang Rahim sanggup "terbang" dari negeri itu semata-mata untuk menghadiri mesyuarat tersebut.