Graduan latihan doktor dari universiti tidak diiktiraf dikurangkan

Posted by Sekretariat PAPTI on Rabu, Jun 18, 2008
PUTRAJAYA: Tempoh latihan khas bagi para graduan perubatan dari institusi luar negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dikurangkan daripada tiga tahun kepada 18 bulan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.

Menurut beliau, pihaknya telah mengemukakan masalah yang dihadapi oleh graduan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan dan meminta agar tempoh latihan yang perlu dijalani oleh mereka dikurangkan.

"Setelah menimbang masalah yang dikemukakan, Kementerian Kesihatan kemudian bersetuju supaya supaya tempoh latihan itu dikurangkan daripada tiga tahun kepada 18 bulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Subramaniam berkata, antara alasan untuk meminta pengurangan tempoh latihan itu termasuk atas faktor usia memandangkan kebanyakan graduan tersebut telah berusia 40-an dan mereka menganggap tempoh tiga tahun itu terlalu lama.

Sambil berterima kasih kepada Menteri kesihatan Datuk Liow Tiong Lai kerana bersetuju mengurangkan tempoh latihan itu, Subramaniam meminta semua 250 graduan terbabit supaya segera mendaftar di institusi yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 untuk menjalani latihan.

Tahun lepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Mohd Ismail Merican Kesihatan mengumumkan format baru peperiksaan untuk graduan perubatan dari universiti luar negara yang tidak diiktiraf.

Beliau berkata peperiksaan itu disusun oleh kementerian dengan kerjasama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan tiga fakulti perubatan universiti iaitu Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Krian di Kelantan; Pusat Perubatan Universiti, Universiti Malaya dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata pelajar perubatan lepasan universiti seumpama itu perlu menjalani pemeriksaan di bawah Seksyen 12(1) (aa) Akta Perubatan 1971 untuk melayakkan diri sebagai Doktor.

Para graduan tersebut merupakan lulusan universiti dari beberapa buah negara seperti Rusia, Indonesia, India dan Taiwan. - Bernama, 18 Jun 2008.