PAPTI... Persatuan yang mati hidup semula

Antara barisan Ahli Majlis PAPTI (dari kiri) Dr. Norlee Hazaniza Ahmad, Dr. Ismail Abdullah (Presiden), Hasbullah Abu Kasim (Setiausaha Agung), Dr. Jambari Ali (Timbalan Presiden) dan Rohana Kassim ketika Mesyuarat Agung Tahunan PAPTI ke-16, di UPM Serdang, 28 Jun lalu.
"PAPTI sudah mati". Itulah kata-kata Presidennya, Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah pada ucapan dasar Presiden sempena Meysuarat Agung Tahunan ke-16 persatuan itu, di Serdang, Sabtu lepas.

Tetapi persatuan itu kini berjaya dihidupkan semula oleh sekumpulan ahli yang masih sayangkan persatuan yang banyak memberi jasa kepada para alumni lulusan universiti-universiti di Indonesia itu.

Katanya, persatuan yang ditubuhkan lebih 30 tahun lalu itu telah diisytiharkan "mati" oleh Pendaftar Pertubuhan ekoran kegagalan memperoleh laporan mesyuarat agung tahunan dan penyata kewangan selama lima tahun.

"Bagaimanapun, atas dasar sayangkan PAPTI daripada mati berkubur, ia berjaya dihidupkan semula dalam satu malam," kata beliau.

Dengan nada kesal, beliau berkata, PAPTI kini semakin dilupakan oleh lulusan Indonesia sedangkan sebelum ini ia berjasa menguruskan kursus Ujian Masuk Pengajian Tinggi Negeri (UMPTN), iaitu peperiksaan wajib untuk memasuki universiti di negara jiran itu, mengurus penghantaran pelajar dan lain-lain.

Namun, sejak PAPTI "mati" ia juga sudah mati dari ingatan ahli melainkan segelintir generasi tua ahli yang masih menggagahkan diri membina semula puing-puing "kematian" persatuan tunggal yang mewakili alumni Indonesia itu.

"PAPTI ibarat bapa... bapa yang berjasa membesarkan anak-anaknya tetapi akhirnya dilupakan oleh anak-anaknya sendiri," kata beliau.

Dr. Ismail berkata, beliau sedar sikap ahli-ahli untuk tidak bergiat aktif di dalam PAPTI kerana persatuan itu "tidak mampu memberikan apa-apa" kepada mereka sepertimana mereka harapkan.

Katanya, PAPTI tidak mempunyai wang dan tidak dapat memberikan gelaran atau jawatan penting sepertimana yang diharapkan.

Bagaimanapun, beliau sangat berharap melalui semangat yang ada, beliau dan seluruh Ahli Majlis yang ada serta sebahagian ahli yang masih setia untuk membina dan memperkukuhkan semula PAPTI.

Untuk itu, katanya, pelbagai usaha akan dilakukan dari masa ke semasa untuk mencapai matlamat tersebut termasuk mencari ikhtiar mendapatkan sumber kewangan bagi membolehkan persatuan bergerak lebih aktif.

Katanya, sepanjang tahun lalu beberapa aktiviti telah dilaksanakan termasuk mengadakan lawatan Nostalgia ke Jakarta dan Bandung serta menjalinkan hubungan dengan Ikatan Mahasiawa Malaysia (Ikama), mengadakan pertemuan dengan para editor kanan media-media di Indonesia.

Selain itu, majlis Jalinan Silaturahmi antara Kedutaan Besar Indonesia ke Malaysia dan PAPTI juga telah diadakan, yang turut mendapat liputan agak meluas oleh media-media utama di negara ini.

Mesyuarat Agung Tahunan ke-16 tersebut turut dimeriahkan dengan kehadiran wakil-wakil PAPTI Sabah yang diketuai oleh Ketuanya, Ir. Awang Rahim sanggup "terbang" dari negeri itu semata-mata untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
Share:

Graduan latihan doktor dari universiti tidak diiktiraf dikurangkan

PUTRAJAYA: Tempoh latihan khas bagi para graduan perubatan dari institusi luar negara yang tidak diiktiraf oleh kerajaan dikurangkan daripada tiga tahun kepada 18 bulan, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S. Subramaniam.

Menurut beliau, pihaknya telah mengemukakan masalah yang dihadapi oleh graduan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan dan meminta agar tempoh latihan yang perlu dijalani oleh mereka dikurangkan.

"Setelah menimbang masalah yang dikemukakan, Kementerian Kesihatan kemudian bersetuju supaya supaya tempoh latihan itu dikurangkan daripada tiga tahun kepada 18 bulan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Subramaniam berkata, antara alasan untuk meminta pengurangan tempoh latihan itu termasuk atas faktor usia memandangkan kebanyakan graduan tersebut telah berusia 40-an dan mereka menganggap tempoh tiga tahun itu terlalu lama.

Sambil berterima kasih kepada Menteri kesihatan Datuk Liow Tiong Lai kerana bersetuju mengurangkan tempoh latihan itu, Subramaniam meminta semua 250 graduan terbabit supaya segera mendaftar di institusi yang ditetapkan dalam Jadual Kedua Akta Perubatan 1971 untuk menjalani latihan.

Tahun lepas Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Mohd Ismail Merican Kesihatan mengumumkan format baru peperiksaan untuk graduan perubatan dari universiti luar negara yang tidak diiktiraf.

Beliau berkata peperiksaan itu disusun oleh kementerian dengan kerjasama Majlis Perubatan Malaysia (MMC) dan tiga fakulti perubatan universiti iaitu Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Krian di Kelantan; Pusat Perubatan Universiti, Universiti Malaya dan Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau berkata pelajar perubatan lepasan universiti seumpama itu perlu menjalani pemeriksaan di bawah Seksyen 12(1) (aa) Akta Perubatan 1971 untuk melayakkan diri sebagai Doktor.

Para graduan tersebut merupakan lulusan universiti dari beberapa buah negara seperti Rusia, Indonesia, India dan Taiwan. - Bernama, 18 Jun 2008.
Share:

JPA elok kaji balik pengiktirafan Ukrida

Kampus Ukrida, Jakarta

SAYA adalah pelajar perubatan Universiti Kristen Krida Wacana (Ukrida), Jakarta, Indonesia. Universiti ini adalah sebuah universiti swasta dan mendapat pengiktirafan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Perubatan Malaysia (MMC) beberapa tahun lalu.

Namun begitu, pada dasarnya universiti ini pada pandangan saya tidak layak diberi pengiktirafan dan bingung bagaimana pihak JPA dan MMC boleh menyenaraikan universiti ini sebagai satu universiti perubatan yang diiktiraf di Indonesia.
Ada pelbagai masalah yang kami hadapi di sini, antaranya:
  1. Jumlah pelajar yang ramai tetapi universiti terlalu kecil sehingga tidak mampu menampung semua pelajar. Contohnya pelajar 2007 ada sebahagian yang terpaksa belajar di makmal sepanjang masa kerana kekurangan ruang kuliah.
  2. Pelajar menggunakan cara pembelajaran sistem baru Problem Based Learning (PBL) menghadapi masalah lebih besar kerana pihak universiti gagal mengeluarkan jadual pembelajaran yang teratur.
    Mengikut sistem baru ini, pembelajarannya adalah mengikut blok dengan setiap blok ada sistem mengikut tubuh manusia. Namun kerana sistem ini masih baru, pelajar 2006 serta 2007 dianggap sebagai bahan eksperimen, maka sering kali pelbagai masalah timbul seperti pembahagian blok tidak teratur sehingga ada bahan kuliah untuk blok sebelumnya terpaksa dimasukkan ke blok yang akan datang. Jangka waktu untuk setiap blok adalah terlalu singkat sedangkan bahan yang harus dipelajari adalah terlalu banyak.
  3. Pihak universiti mengambil mudah masalah ujian dan penjadualan. Pensyarah sering kali tidak menepati jadual dan datang sama ada lewat sejam atau terlalu awal. Perubahan jadual ujian atau perkuliahan tidak diberikan notis dan sering pemberitahuan hanya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) atau dipesan kepada pelajar.
  4. Yang paling ketara apabila ada kesalahan pemberian soalan ketika ujian, membabitkan pelajar 2006 diberi soalan ujian pelajar 2004 dan kesalahan itu disedari oleh pensyarah. Mereka menjanjikan untuk mengadakan ujian semula tetapi sungguh memeranjatkan apabila markah untuk ujian itu keluar beberapa minggu selepas ujian.
    Apabila ditanya mengapa tidak dilakukan ujian semula, pihak pensyarah menjawab ada ramai mahasiswa yang lulus ujian itu walaupun pada hakikatnya ramai mahasiswa yang gagal. Hal ini membuatkan kami curiga adakah pihak universiti cuba untuk mengambil keuntungan kerana kami harus mengambil semester pendek kerana bayaran untuk semester pendek terlalu mahal.
  5. Selain itu pihak pensyarah juga tidak tegas ketika ujian dilakukan dan setiap kali ujian, masalah meniru antara satu sama lain didapati berleluasa.
  6. Universiti ini juga berkurangan tenaga pengajar. Sering kuliah pelajar 2005 terpaksa dibatalkan terutama untuk subjek Ilmu Bedah kerana pensyarah harus mengajar pelajar 2006. Disebabkan kekurangan tenaga pengajar juga, latihan praktikum mikrobiologi tidak pernah dibahagikan kepada kumpulan dan hampir 170 pelajar disumbatkan dalam ruang makmal menyebabkan suasana tidak kondusif untuk belajar.
    Malah sering ujian untuk Mikrobiologi juga dilakukan di dalam satu ruang kuliah kecil dengan jarak antara pelajar hanya satu kerusi.
Ada pelbagai lagi masalah yang dihadapi penuntut Malaysia di sini, selain terpaksa belajar semuanya di dalam bahasa Indonesia dan bahasa Inggeris seperti diharamkan terutama ketika membuat tugasan dan perbincangan.

Kami kecewa kerana pengurusan JPA dan Mara tidak menyelidiki dulu sebelum menghantar pelajar ke sini. Sungguh menyedihkan apabila melihat bakal doktor di sini seperti orang bodoh, tidak tahu apa yang dipelajarinya terutama yang menggunakan sistem PBL, pelajar bingung, pihak universiti pun bingung.

Saya mengharap pihak terbabit mengkaji semula tindakan menghantar pelajar perubatan ke Indonesia terutama membabitkan universiti swasta. Jangan kerana ingin meramaikan jumlah doktor di Malaysia, kualiti doktor terabai.

WAKIL BAKAL DOKTOR UKRIDA
Jakarta, Indonesia.

- Sumber: Berita Harian, 3 Jun 2008.
Share:

Catatan Popular

Arkib Blog