PAPTI jalin hubungan dengan Ikama

DATO' Mohd Noor Azam (tengah) dan Ketua Pengarah DBP, Dato' Dr. Fridaus Abdullah (dua dari kanan) ketika mengadakan pertemuan dengan ketua-ketua IKAMA di Jakarta, baru-baru ini.
TANGGAL 4 Februari 2008 bertempat di Hotel Manhattan, Jakarta, PAPTI dan Ikama bertemu. Inilah pertemuan pertama antara sepasang kembar yang satu lahir di Malaysia dan yang satu lagi lahir di Indonesia.

PAPTI adalah singkatan bagi Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia yang menggabungkan seluruh warga Malaysia yang pernah belajar di Indonesia dan Ikama pula ialah Ikatan Alumni Malaysia yang menggabungkan seluruh warga Indonesia yang pernah belajar di Malaysia.

Pertemuan pertama yang penuh makna itu berlangsung ketika PAPTI mengadakan Lawatan Nostalgia ke Indonesia bagi mengenang kembali detik-detik pahit manis berada di Indonesia selama lima hingga tujuh tahun.

Daripada pertemuan pertama itu, diharapkan berbagai kegiatan dapat diatur bagi menghidupkan rasa persaudaraan yang mantap dan abadi di antara kedua-dua persatuan tersebut.

Pada hari bersejarah itu PAPTI diwakili oleh Presidennya Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah, Ketua Rombongan, Dato Mohd Noor Azam, Ketua Biro Pendidikan PAPTI, Drs. Lokman Mohd Zen dan Ketua Biro Ekonomi PAPTI Ir Mohari Moharal.

Manakala Ikama pula diwakili Ketua Ikama Jakarta Dr Ir Tiena Gustina Amran, Dr Alfitri Salam, Wakil Ketua Ikama Jakarta, Dr Widayati R. Soedjojo H., Ketua Ikama Yogyakarta.

Melalui pertemuan itu maka termeterilah sebuah hubungan yang sangat bermakna antara Ikama dan PAPTI sudah terjalin hubungan jarak dekat dengan pertemuan itu dan hubungan jarak jauh melalui email dan SMS.

Semoga episod ini menjadi titik tolak kepada kerjasama paling erat antara Malaysia dan Indonesia.

- Dipetik dari: paptiikama.blogspot.com
Share:

Suara PAPTI dalam Kongres Pemuafakatan Melayu

Keratan akhbar Mingguan Malaysia 4 Mei 2008.
JOHOR BAHRU : Takrif istilah kedaulatan dan ketuanan Melayu perlu dijelas serta diperbetulkan bagi memastikan perjuangan Melayu berada di landasan yang betul.

Presiden (wakil) Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi di Indonesia, Datuk Noor Azam berkata, timbul beberapa takrifan mengenai perkara tersebut dan ia perlu diperbetulkan.

Menurutnya, takrifan yang tidak tepat itu termasuklah pandangan yang mengatakan ketuanan Melayu hanya bersandarkan kecemerlangan kaum itu dan bukan kekuasaan Melayu.

"Kongres perlu memberi takrif secara jelas mengenai apa yang dimaksudkan dengan istilah kedaulatan dan ketuanan Melayu kerana ada takrifan yang tidak dapat diterima,'' katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi perbahasan kertas kerja Kedaulatan Politik Melayu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada, di sini hari ini.

Menurut Noor, kongres itu juga perlu menolak takrif pakatan pembangkang yang mengatakan bahawa tidak isu ketuanan, perpaduan dan kepentingan Melayu, tetapi yang ada hanya perpaduan rakyat.

"Takrif pakatan pembangkang perlu ditolak tetapi pada masa yang sama kita tidak menolak kedaulatan rakyat namun kedaulatan Melayu mesti ada," jelasnya. - Mingguan Malaysia, 4 Mei 2008.

Share:

Catatan Popular