Pertemuan hati ke hati budayawan Malindo

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, April 29, 2008
Cendekiawan Malaysia dan Indonesia bertemu dalam satu majlis yang diusahakan oleh PAPTI di Jakarta baru-baru ini turut disertai oleh Dr. Firdaus Abdullah (dua kiri). - Foto ihsan Utusan.
JAKARTA : Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) Malaysia semalam mengadakan pertemuan hati ke hati dengan tokoh budayawan dan cendekiawan Indonesia bagi meredakan ketegangan setelah timbul pelbagai konflik budaya dan isu tenaga kerja Indonesia.

Jawatankuasa itu juga mengadakan dialog dengan bekas pelajar Indonesia yang pernah menuntut dan mengajar di Malaysia serta wartawan tempatan bagi membetulkan tanggapan buruk media Indonesia terhadap Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Setiakawan Malaysia-Indonesia, Datuk Noor Azam berkata, walaupun media Indonesia lebih bebas dan semangat kebangsaan rakyat kedua-dua negara berbeza, usaha perlu dijalankan secara berterusan untuk mengurangi ketegangan yang timbul.

“Saya melihat perjumpaan ini amat positif, mereka boleh meluahkan perasaan secara terbuka untuk kita mencari penyelesaian, " kata Noor Azam.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas majlis minum pagi bersama tokoh budayawan dan cendekiawan Indonesia di sebuah hotel di sini.

Hadir pada majlis itu ialah Duta Besar, Datuk Zainal Abidin Zain, Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Dr. Firdaus Abdullah dan Presiden PAPTI, Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah.

Menurut beliau, kedua-dua pihak akan mengenal pasti beberapa bidang kerjasama yang boleh dilaksanakan bersama dan meneruskan kerjasama sedia ada untuk diaktifkan semula.

“Kita berharap hasil kerjasama itu dapat disebar luas melalui media supaya rakyat mendapat gambaran yang sebenar tentang sejarah, perkara baik dan hubungan dua negara,” katanya. – Utusan Malaysia, 6 Februari 2008.