PAPTI turut protes filem Fitna

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, April 29, 2008
MELAKA : Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) turut mengutuk penerbitan filem Fitna yang secara nyata menghina Islam dan menggesa ahlinya memboikot barang keluaran Belanda.

Presidennya, Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah berkata, pihaknya kesal dengan tindakan ahli Parlimen Belanda, Geert Wilders yang sengaja mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia.

''Saya percaya filem ini sengaja diterbitkan bagi menimbulkan kemarahan umat Islam. Oleh sebab itu, kami mengutuk sekeras-kerasnya atas penerbitan filem Fitna ini," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

PAPTI merupakan persatuan yang dianggotai oleh bekas-bekas pelajar yang pernah menuntut di Indonesia dan ia ditubuhkan sejak 30 tahun lalu.

Ismail berkata, sebagai tanda memprotes tindakan ahli Parlimen Belanda itu, beliau menggesa seluruh ahli PAPTI agar memboikot produk-produk keluaran negara itu. - Utusan Malaysia, 3 April 2008.