PAPTI akan kukuhkan hubungan Malaysia-Indonesia

Posted by Sekretariat PAPTI on Selasa, April 29, 2008
Ahli-ahli PAPTI bergambar kenangan dengan Tatang Budie Utama (duduk tengah) pada majlis Silaturahmi Kedutaan Besar Indonesia dan PAPTI di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR : Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) akan terus berusaha untuk memperkukuhkan hubungan di antara Malaysia dan Indonesia, setelah beberapa isu yang menimbulkan ketegangan antara kedua-dua negara.

Presidennya, Prof. Madya Dr. Ismail Abdullah berkata, PAPTI akan membantu mengatasi masalah itu dengan memberi kesedaran kepada generasi muda yang kini menuntut dan yang telah melanjutkan pelajaran di negara republik berkenaan.

Menurutnya, PAPTI mahu memperkukuhkan persaudaraan rumpun Melayu di antara Indonesia dan Malaysia, khususnya dalam bidang agama, budaya dan pendidikan, sejajar dengan perlembagaan persatuan.

‘‘Oleh sebab itu, kami memandang serius perkara ini dan akan terus berusaha untuk mengeratkan hubungan persaudaraan kedua-dua negara ini,” katanya kepada pemberita pada majlis ramah mesra ahli-ahli PAPTI di Kedutaan Indonesia di sini hari ini.

Sejak kebelakangan ini, hubungan di antara Malaysia dan Indonesia mengalami sedikit kerenggangan akibat beberapa masalah kecil termasuk dalam isu batik dan lagu tradisonal Rasa Sayange digunakan dalam kempen Malaysia: Truly Asia bagi menarik kemasukan pelancong asing.

Ismail berkata, pihaknya tidak ingin memperbesarkan isu-isu sebegini, walaupun ia memberi kesan kepada negara.

‘‘Pihak kami juga akan berusaha untuk memperluaskan penggunaan Bahasa Melayu dalam semua bidang di kedua-dua negara,” katanya.

Sementara itu, Pemangku Duta Besar Indonesia, Tatang Budie Utama Razak berkata, hubungan perdagangan di antara kedua-dua negara pada tahun 2007 telah membantu untuk menghasilkan keuntungan sebanyak AS$10 bilion.

‘‘Kita harus menitik beratkan perkara sebegini kerana Malaysia merupakan sebuah daripada negara Islam pertama yang sedang membangun di rantau ini.

‘‘Lupakan segala permasalahan yang wujud. Kita harus mengukuhkan hubungan kedua-dua negara ini untuk mencapai kejayaan dalam segala bidang,” katanya. - Utusan Malaysia, 12 April 2008