• Jamuan Hari Raya 2014

    BERTEMPAT di Restoran Ombak Steamboat, Kota Damansara, Petaling Jaya telah diadakan majlis Jamuan Aidilfitri Lulusan Indonesia serta Pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin 2014 anjuran Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI)...

    Read More
  • Presiden PAPTI kunjungi Duta Palestin

    PRESIDEN PAPTI, Sdr Lukman Ismail dan Ahli Majlis PAPTI, Sdr Nasaruddin Ab Rais baru-baru ini telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Palestin ke Malaysia, Dr. Anwar Al Agha di pejabatnya di sini...

    Read More
  • Kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia

    Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas Duta Besar Indonesia ke Malauysia, Bpk Herman Prayitno di pejabatnya, di sini....

    Read More
  • Pertemuan Presiden dan mantan-mantan presiden

    Pertemuan di kediaman Mohamed Salleh dianggap bersejarah kerana buat pertama kali Presiden dan mantan-mantan presiden bertemu dalam suasana yang cukup ceria dan penuh kekeluargaan....

    Read More

24 Julai 2015

PAPTI anjur pertandingan menulis esei untuk mahasiswa Malaysia

KUALA LUMPUR: Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) buat julung kalinya menganjurkan Pertandingan Menulis Esei yang terbuka kepada seluruh mahasiswa Malaysia yang sedang menuntut di institusi pengajian tinggi di Indonesia.

Pertandingan dengan tajuk "Mahasiswa Malaysia di Indonesia Penghubung Diplomatik Dua Negara Serumpun" itu yang diadakan bersempena Ulang Tahun Ke-40 penubuhan persatuan itu tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Dr. Junaini Kasdan berkata, penganjuran pertandingan itu bertujuan mencungkil bakat para mahasiswa Malaysia dalam bidang penulisan serta membudayakan perkongsian ilmu dalam kalangan mereka.

"Ia juga bertujuan memacu kesedaran mahasiswa Malaysia di negara jiran itu bahawa mereka juga bertanggungjawab sebagai duta kecil negara, selain memeriahkan sambutan ulang tahun PAPTI ke-40," katanya.

Pertandingan tersebut dibuka sekarang dan akan berakhir pada 30 September ini dengan menawarkan hadiah berupa wang tunai sebagai RM1,000 untuk pemenang pertama, RM750 untuk pemenang kedua manakala tempat ketiga sebanyak RM500, selain sijil penyertaan.

Hadiah-hadiah kepada pemenang pula akan disampaikan pada malam Himpunan Alumni Indonesia yang akan berlangsung di The Everly Putrajaya pada 28 November, yang bakal dihadiri oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Dr. Junaini berkata, pertandingan itu juga diharap dapat memperkenalkan PAPTI kepada seluruh mahasiswa Malaysia di sana memandangkan persatuan ini sudah tidak begitu dikenali oleh generasi muda hari ini.

Beliau berkata, PAPTI juga bekerjasama dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dalam menganjurkan pertandingan itu.



10 Julai 2015

Mesyuarat Agung PAPTI diadakan 26 Disember

PRESIDEN PAPTI, Lukman Ismail mempengerusikan Mesyuarat Majlis PAPTI di Kelab Tasik Putrajaya pada Khamis.
PUTRAJAYA: Mesyuarat Agung Tahunan Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) ke-22 yang pada awalnya akan diadakan pada 28 November ini serentak dengan Himpunan Alumni Indonesia 2015 (HAI2015), dijadualkan semula ke 26 Disember.

Keputusan itu dibuat pada Mesyuarat Majlis PAPTI kali keempat bagi sesi 2015 yang berlangsung di Kelab Tasik Putrajaya di sini pada Khamis.

Penjadualan semula mesyuarat agung itu bagi membolehkan seluruh Ahli Majlis PAPTI memberi tumpuan menjayakan HAI2015 yang merupakan acara terbesar yang pernah dianjurkan oleh PAPTI sebelum ini.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail berkata, himpunan tersebut perlu diberi tumpuan kerana selain kali pertama dianjurkan, ia juga akan membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang akan merasmikan himpunan tersebut.

"Pada awalnya kita merencanakan untuk mengadakan mesyuarat agung dan HAI2015 pada hari yang sama tetapi memikirkan soal kesibukan Ahli-ahli Majlis maka kita putuskan supaya Mesyuarat Agung Ke-22 itu dijadualkan semula.

"Bagaimanapun ia akan tetap diadakan tahun ini dan kita telah putuskan untuk mengadakannya pada Sabtu 26 Disember 2015. Tempat dan masa akan dimaklumkan kemudian. Notis mesyuarat akan dikeluarkan sebulan sebelum tarikh mesyuarat," katanya.

Hadir sama Timbalan Presiden PAPTI, Datuk Dr Abdul Latiff Awang dan Setiausaha Agung PAPTI, Puan Hasnah Ismail.

Mesyuarat Agung tahun ini penting memandangkan akan berlangsung proses pemilihan barisan Ahli Majlis PAPTI baharu bagi sesi 2015-2017 sesuai dengan Perlembagaan PAPTI yang menetapkan pemilihan diadakan dua tahun sekali.

Lukman berkata, pada mesyuarat Ahli Majlis itu, PAPTI juga bersetuju untuk menganjurkan Pertandingan Menulis Esei sempena Ulang Tahun Ke-40 penubuhan PAPTI.

Pertandingan itu terbuka kepada seluruh pelajar Malaysia yang sedang menuntuk di Indonesia dan pemenang utama akan diterbangkan ke tanah air untuk menerima hadiah daripada Timbalan Perdana Menteri pada malam HAI2015.

Katanya, tajuk esei dan syarat-syarat serta tempoh pertandingan akan diumumkan melalui laman web ini dalam masa terdekat.

Pada mesyuarat kali ini juga, Ahli Majlis PAPTI telah menerima cadangan untuk menubuhkan sebuah yayasan pendidikan.

"Mesyuarat pada dasarnya bersetuju dengan cadangan penubuhan yayasan ini tetapi kami akan membentangkannya pada mesyuarat agung ini untuk diputuskan," katanya,

Selesai mesyuarat Ahli-ahli Majlis PAPTI yang hadir telah berbuka puasa bersama-sama di kelab tersebut.

06 Julai 2015

Iftar Ramadan bersama Duta Besar Indonesia

DUTA Besar Indonesia, Bapak Herman Prayitno (empat kanan) dan Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail (empat kiri) bergambar bersama barisan Ahli Majlis PAPTI yang menghadiri masjlis buka puasa di KBRI Kuala Lumpur baru-baru ini.
PADA 4 Julai lalu, Ahli Majlis PAPTI telah memenuhi undangan berbuka puasa bersama Duta Besar Indonesia ke Malaysia, Herman Prayitno yang berlangsung di Aula Hasanuddin, Kedutaan Besar Republik Indonesia di Kuala Lumpur.

Ahli Majlis PAPTI diketuai oleh Presidennya, Sdr Lukman Ismail bersama tujuh lagi wakil iaitu Sdr Nasaruddin Ab Rais; Dr Norlee Hazaniza Ahmad; Pn Nor Aizan Abd Halim; Dr Ismail Abdullah dan isteri, Umi Purwati Sunoto; Dr Mohd Sadad Mahmud dan Dato' Dr Mohd Zain Yusof.

Pada majlis itu, Presiden PAPTI telah menyerahkan surat undangan menghadiri Himpunan Alumni Indonesia 28 November ini kepada Bpk Duta Besar selain sempat beramah mesra serta menyampaikan ucapan takziah atas tragedi nahas pesawat TNI Hercules C-130 di Medan tempoh hari.

27 Mei 2015

Jualan meja untuk Himpunan Alumni Indonesia laris

HOTEL The Everly Putrajaya tempat di mana akan berlangsung Himpunan Alumni Indonesia 2015, November ini.

KUALA LUMPUR - Jualan meja bagi majlis makan malam Himpunan Alumni Indonesia 2015 (HAI2015) yang akan diadakan pada 28 November ini mendapat sambutan yang hebat.

Sebanyak 50 meja yang disediakan untuk peringkat awal telah hampir habis ditempah oleh para alumni Indonesia terutama alumni dari Jakarta, Surabaya, Bandung, Medan, Yogyakarta,  Semarang dan Bali.

Pengerusi Jawatankuasa HAI2015, Lukman Ismail berkata, walaupun tempahan meja hampir habis, namun Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) selaku penganjur menyediakan meja tambahan untuk mereka yang masih bercadang untuk mendapatkannya.

"Pada permulaan ini PAPTI hanya menyediakan 50 meja untuk tempahan iaitu untuk 500 orang pertama. Tetapi kita akan menyediakan tambahan antara 10 hingga 20 meja lagi, bergantung kapasiti ruang" katanya di sini hari ini.

HAI2015 yang diadakan bersempena sambutan Ulang Tahun ke-40 penubuhan PAPTI akan berlangsung di The Everly Putrajaya bermula 8 malam dan akan dirasmikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Lukman yang juga Presiden PAPTI berkata, walaupun dari segi jualan meja telah hampir habis namun alumni Indonesia boleh hadir dan mengisi meja-meja yang telah ditempah mengikut kota-kota yang ada pelajar Malaysia di Indonesia, dari Acheh sehingga Menado.

"Para alumni juga boleh hadir sebagai individu jika tiada tempahan meja dibuat tetapi bergantung kepada kekosongan," katanya.

Maklumat lanjut dan tempahan tempat boleh menghubungi talian 012-3205057 (Nor Aizan) dan 016-3559611 (Dr Norlee). Tarikh akhir tempahan dan bayaran meja ialah pada 25 Julai 2015.

18 Mei 2015

Timbalan Perdana Menteri sah rasmi Himpunan Alumni Indonesia


KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin mengesahkan akan menghadiri dan merasmikan Himpunan Alumni Indonesia 2015 (HAI2015), pada 28 November ini.

Surat pengesahan bertarikh 5 Mei dan ditandatangani oleh Setiausaha Sulit Kanan beliau, Datuk Mohd. Sukor Abd. Manan diterima oleh PAPTI beberapa hari lalu.

Menurut Presiden PAPTI, Lukman Ismail, kehadiran Timbalan Perdana Menteri pada HAI205 bakal memberi impak besar kepada persatuan dan seluruh alumni amnya.

"Kita berharap dengan kehadiran YAB Tan Sri Muhyiddin, himpunan ini akan memberi impak besar memandangkan ia kali pertama diadakan sempena ulang tahun penubuhan ke-40 PAPTI," katanya di sini hari ini.

Surat pengesahan kehadiran YAB Timbalan Perdana Menteri.
HAI2015 anjuran PAPTI bertujuan mengumpul seberapa ramai rakyat Malaysia lulusan institusi pengajian tinggi di Indonesia mulai tahun 1960-an sehingga kini.

Dianggarkan lebih 10,000 lulusan Indonesia telah memasuki pelbagai bidang kerjaya di tanah air pada masa kini.

Lukman berkata, alumni Indonesia boleh dikategorikan kepada empat generasi iaitu sebelum konfrantasi, selepas konfrantasi, angkatan 80-90-an dan angkatan alaf baharu.

"Bayangkan andai semua generasi ini dapat kita kumpulkan dibawah satu bumbung, sudah pasti ia menjadi satu sejarah tersendiri buat kami," katanya.

HAI2015 bakal dilangsungkan di The Everly Putrajaya pada 28 November dengan diserikan pelbagai pengisian bagi meraikan generasi lama dan baru alumni Indonesia.

01 Mei 2015

Pertemuan Presiden PAPTI dengan mantan-mantan presiden

SUNGAI BULOH: Tanggal 1 Mei 2015 berlangsung pertemuan tidak dirancang antara Presiden PAPTI, Sdr Lukman Ismail dengan mantan-mantan presiden iaitu Tan Sri Mohamed Salleh Mohamed Yasin, Dr Shamsul Bahar Abdul Kadir dan Prof Dr Saberi Othman.

Pertemuan di kediaman Mohamed Salleh di sini dianggap bersejarah kerana buat pertama kali Presiden dan mantan-mantan presiden bertemu dalam suasana yang cukup ceria dan penuh kekeluargaan.

Ia bermula apabila Presiden PAPTI bercadang untuk bertemu dengan Mohamed Salleh bagi memaklumkan pelantikan beliau selaku Penasihat Himpunan Alumni Indonesia yang dirancang pada 28 November ini.

Terlanjur dengan cadangan itu,  Mohamed Salleh telah mengundang rakan-rakannya iaitu Dr Shamsul Bahar dan Dr Saberi bersama isteri masing-masing.

Daripada situ terjadilah pertemuan Presiden PAPTI dengan mantan-mantan presiden tersebut.

Turut bersama dalam pertemuan itu ialah Ahli-ahli Majlis PAPTI iaitu Sdr Nasarudin Md Rais dan Dr Sadad Mahmud serta mantan Ahli Majlis, Dr Jambari Ali.





14 April 2015

Dua lagi Ahli Majlis tambahan dilantik

SYUHAIDI SURANI
DR JUNAINI KASDAN

SERDANG - Persatuan Alumni Pendidikan Tinggi Indonesia (PAPTI) melantik dua muka baharu sebagai Ahli Majlis bagi memantapkan lagi persatuan itu bagi pelaksanaan pelbagai aktiviti yang dirancang selepas ini.

Dua muka baharu itu ialah Dr. Junaini Kasdan, lulusan Universitas Airlangga, Surabaya angkatan 1990 dan Syuhaidi Surani, alumni Institut Agama Islam Negeri (IAIN) Sunan Ampel, Surabaya dari angkatan 1997.

Kedua-dua wakil "orang muda"  itu melengkapkan kuota lantikan lima orang Ahli Majlis tambahan oleh Presiden PAPTI.

Presiden PAPTI, Lukman Ismail ketika mengumumkan pelantikan itu berkata, Junaini akan mempengerusikan Biro Kebajikan manakala Syuhaidi pula akan mengetuai Biro Tugas-tugas yang sebelum ini di bawah Kama Azro Abu Bakar. Kama Azro akan mengepalai Biro Agama.

"Syuhaidi juga akan bertindak sebagai Setiausaha Kerja bagi PAPTI. Ia bagi melancarkan lagi pengurusan PAPTI khususnya dalam melaksanakan aktiviti, termasuk Himpunan Alumni Indonesia yang akan diadakan 28 November ini," katanya.

Beliau berkata, dengan pengalaman dan semangat yang ditunjukkan oleh kedua-dua Ahli Majlis baharu ini, perjalanan PAPTI selepas ini diharapkan lebih lancar.

Tiga lagi Ahli Majlis yang dilantik sebelum ini ialah Prof Dr Ismail Abdullah yang bertindak sebagai Pengerusi Biro Hubungan Antarabangsa, Dr Mohd Sadad Mahmod (Penolong Setiausaha Agung) serta Kama Azro.

Seorang lagi Ahli Majlis yang dilantik sebelum ini, Sdr Mohd Saidi Salleh digugurkan.

Sementara itu, mesyuarat juga bersetuju dengan cadangan untuk melantik Dr Ahmad Nabieh Abqory Rahmat sebagai Wakil Perhubungan PAPTI di Jakarta.

Dr. Ahmad Nabieh, lulusan perubatan dari Universitas Trisakti, Jakarta akan menjadi wakil perhubungan PAPTI dengan Persatuan Kebangsaan Pelajar-pelajar Malaysia di Indonesia (PKPMI) dan Kedutaan Malaysia di Indonesia serta kerajaan Indonesia.